Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1431H/2009M dilancarkan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah di hadapan ribuan umat Islam yang membanjiri Dewan Sa’adah Wisma MUIS Kota Kinabalu. 

Antara yang ditunggu-tunggu ialah pengumuman penerima anugerah kali ini.

Mantan Timbalan Mufti Negeri Sabah (1994-1996), Datuk Hj Ahmad Othman yang kini berusia 80 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah kali ini.

Sumbangan besar beliau ialah menyusun kurikulum baru Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS) dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) pada tahun 1976.

Selain itu, beliau juga berusaha mendapatkan pengiktirafan dan kouta pelajar Sabah di Universiti Ummul Qura Makkah (1980) dan mendapatkan pengiktirafan pelajar lepasan SMU Toh Puan Hajjah Rahmah KK untuk melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar.

(Biodata lanjut dalam artikel akan datang).

Anugerah Sayyidatina Khadijah diberikan kepada Dr Hajjah Bibi Florina Abdullah yang berasal dari Papar. Sumbangan besar beliau ialah dalam bidang kejururawatan yang berkait langsung dengan masyarakat. Sejak 1998 sehingga kini beliau adalah Presiden Sabah Nurses Association (SANA).

Anugerah Khalid Ibnul Walid disampaikan kepada Hj Abdullah Wahid (31 tahun) dari Semporna, johan qari negeri Sabah sebanyak 6 kali – 2003, 2004,  2006, 2007, 2008 dan 2009. Penyertaannya dalam MTQ kebangsaan, beliau pernah mendapat tempat ketiga pada tahun 2008 & 2009.  Pada 17-28 Julai lalu, beliau mewakili Malaysia ke MTQ Antarabangsa di Tehran, Iran.

Sementara itu, Anugerah Khas disampaikan kepada Badan Kebajikan Telekom Malaysia (BAKIT); Masjid Cemerlang kepada Masjid Nurussyakirin Taman Indah Jaya, Sandakan; Surau Cemerlang kepada Surau al-Falah Kg Murni Nabawan (kategori kampung) dan Surau SMK Keningau 2 (kategori sekolah); Anugerah ar-Raudhah kepada Taman Perkuburan Firdaus Kg Pimping Membakut.