Selepas bersarapan di restoran yang sama pada pagi jumaat, kami terus saja meronda kawasan-kawasan sekitar Bandar Quiapo ini. Oleh kerana kami tiba pada sebelah malam, hari ini barulah dapat meluangkan masa menyaksikan suasana sebenar.

Di sekitar ini, kami menyaksikan deretan kedai menjual VCD dan DVD filem-filem Hollywood, Hong Kong dan lain-lain secara besar-besaran. Kami mendapat maklum bahawa di kawasan ini jugalah kilang-kilang VCD dan DVD diproses.

Saya kurang maklum adakah di sini terdapat istilah VCD atau DVD cetak rompak atau haram, kerana ia dilakukan secara terbuka tanpa gangguan sesiapa. Ataupun ia satu industri yang dibenarkan di negara ini.

Kami juga melihat di kaki-kaki lima deretan kedai itu para pekerja mereka mengemas dan menyarungkan VCD dan DVD berkenaan ke kotak atau sarungnya.

Setiap DVD atau VCD dijual dengan harga semurah RM2.00 hingga RM2.50. Bahkan dalam setiap DVD itu pula boleh memuatkan sehingga puluhan filem pula.

Tajuk-tajuk filem yang dijual pula ada yang baru, ada lama, dan ada juga berbentuk kompilasi. Misalnya filem Harry Porter daripada pertama sehingga terkini. Begitu juga koleksi filem aksi seperti Jackie Chan, Jet Li, dan ramai bintang Hollywood, filem kartun seperti Tom & Jerry, Mr Bean dan lain-lain, dijual secara kompilasi dalam satu DVD.

Jangan terkejut, VCD dan DVD lucah juga boleh didapati secara terbuka. Begitulah musuh merosakkan umat Islam yang menjadi penjual dan pelanggannya.

Tidak banyak gambar yang sempat dirakamkan, bimbang juga.