Jam 7.30 malam kami tiba di Sharief Mansion Hotel, Bandar Quiapo Manila. (Baca Kiapo).

Kami memilih untuk menginap di kawasan ini kerana di masyarakat di sini majoritinya beragama Islam. Oleh itu, masalah makan dan minum lebih mudah dan tidak diragukan lagi.

Sambil duduk menanti rakan-rakan menempah bilik, saya melihat suasana sekeliling. Tiba di kawasan masyarakat Islam di sini membuatkan hati merasa lebih selamat.

Lebih 2 jam sebelum itu diperjalanan, barulah ternampak perempuan yang memakai tudung sementara lelaki berkopiah putih, baru kembali dari masjid.

Tiba di Kota Manila yang begitu besar dan sesak ini mengenangkan saya akan nostalgia di bumi Mesir.

Ada persamaan pada beberapa hal. Kesesakannya, rekaan bangunannya, hon kenderaan yang membingitkan telinga, suasana merempat dan sebagainya.

Sudah lama tidak mengecapi rasa sesak sebegitu. Dalam perjalanan sebelum tiba di Bandar Quiapo ini, di belakang kami ada kenderaan bomba bergerak cemas. Namun tidak banyak kenderaan memberi ruang. Semuanya mengejar hal sendiri.

Hotel Sharief Mansion dikira yang terbaik di kawasan ini. Bilik beraircond dengan tandas dicas sebanyak P700 semalam atau kira-kira RM50++. Bilik berkipas dan tanpa tandas pula dengan kadar P300 semalam.

Kadar murah itu berpadananlah dengan kualiti yang diperolehi pelanggan. Kami menempah 4 buah bilik untuk 8 orang seperjalanan. Bagaimanapun, katil yang disediakan hanya sebuah. Pandai-pandailah berkongsi dan bertolak ansur.

Berehat barang 5-10 minit, kami keluar semula untuk mengisi perut yang kosong sejak 7 jam lalu. Restoran yang menjadi pilihan ialah Restoran Nihayah Halal Fastfood.

Hj Abu Aslam, Cikgu Zakaria dan Ust Ibrahim lebih beruntung kerana mereka boleh berbahasa Irranun (atau di sini dipanggil Maranau), yang menjadi salah satu bahasa perantaraan kebanyakan masyarakat Islam di sini.

Menjamu waktu ini lebih menyelerakan. Lapar dan letih antara faktornya. Menu yang tidak banyak berbeza berbanding di tempat sendiri juga lebih memudahkan. Hanya beras yang dimasak adalah jenis basmati, lebih sedap.

Kami dihidangkan nasi sekali ganda berbanding jumlah kami. Nasi tambah mereka beri lebih awal. Macam tau-tau saja.