Satu detik yang sebolehnya tidak ingin saya lalui.

Tetapi Allah SWT telah mentakdirkan demikian berlakunya perpisahan sesudah adanya pertemuan. Saya teringat berkali-kali dengan ungkapan Ust Hj Muchlish : “Kalau tidak mahu berpisah, jangan bertemu”.

Perkenalan kami begitu ringkas dan santai sekali tetapi penuh bermakna. Masjid Nurul Hikmah di Bukit Padang itu menjadi lokasinya.

Saya menanti isteri yang mengajar di sana, sementara beliau pula menanti anak-anaknya yang bersekolah di situ. Begitulah setiap hari sehingga akhirnya menjadi persahabatan begitu erat sekali.

Bersama-sama mengisi program pemantapan aqidah di Sipitang, Tenom, Ranau, Tambunan; misi menyelamatkan aqidah 2 beradik hingga kami belayar menaiki bot laju menyeberang lautan; bersama-sama menziarahi para muallaf di pelbagai kampung dan bandar.

Bersama-sama menziarahi para pendakwah dan alim ulama; menyantuni para pesakit di hospital; bergerak dan menyinggahi masjid dan surau, usrah dan membaca ma’thurat bersama..

Allah! Sungguh indah dan bermakna sekali persahabatan itu.

Saya ingin buat pengakuan. Saya tidak ada sahabat dalam dunia dakwah ini yang hampir setiap hari kami berhubung, sama ada bertemu langsung atau di telefon, emel dan seumpamanya KECUALI dia.

Kerana itu bila mereka sekeluarga kembali ke negeri asal, saya mengalirkan airmata.

Kini saya begitu ‘jeles’ sekali.

Pendukung-pendukung asal dan utama program pemantapan aqidah di bawah PUM Sabah hampir kesemuanya sudah kembali ke sebelah sana. Ust Abdullah Din, Cikgu Nasirin, Cikgu Jamil dan Ust Khaidir.

Allah, bantulah kami. Cikgu Jamil, terima kasih atas ruang persahabatan yang sedikit itu.