Dari Sipitang, kami bergegas pula ke Kg Limbawang Beaufort untuk majlis pernikahan berikutnya yang dijadual pada 4.30 petang.

Alhamdulillah, kami tiba lebih awal sedikit sebelum rombongan pengantin lelaki tiba beberapa minit kemudian yang berkonvoi dari Tawau.

Suraya Fitri Aching adalah taraf makcik kepada kakak ipar saya, Intan. Suraya adalah adik bungsu kepada ibu Intan.  

Suraya juga rakan isteri saya ketika sama-sama belajar di sekolah menengah dan di Mesir. Bahkan sama-sama pula di Mansoura dan serumah dengan Omeng yang menikah minggu lalu. Dengan saya boleh juga dikatakan rapat.

Dalam satu program bersama dari Mansoura, kami sempat bersama-sama menziarahi maqam ulama terkemuka, almarhum Shaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, dan beberapa maqam ulama yang lain.

Sementara Aras Sulaiman khabarnya seorang guru di SM Sabah Chinese Tawau, rakan sekampung kepada sahabat kami di Mesir, Mustafa Kamal Achmad Rofaie.

Cikgu Aras terlebih dahulu menyapa saya apabila kami bertemu, katanya pernah bertemu dalam satu program di KK.

Tersenyum mendengar sembang di rumah itu kerana Suraya dipanggil Nek Su di kalangan ahli keluarganya.

Kakak ipar saya adalah anak buahnya dan dalam masa yang sama, anak-anak kepada kakak ipar saya adalah pangkat cucunya pula.

Patutlah dipanggil nenek. Hehehe..