Tahun 2002, bersama 18 anak Sabah dari Mesir kami menunaikan fardhu haji. Naik bas beberapa jam ke Pelabuhan Safaja sebelum belayar bersama kapal besar merentasi Laut Merah selama satu hari dua malam.

Kapal besar itu boleh memuatkan beribu orang bersama kenderaan, dan ketika itu jamaah haji dari Mesir dan benua Afrika memenuhi kapal laut dengan gelagat masing-masing.

Di kalangan kami yang 18 itu, ada yang sering kami bertemu kini. Tidak kurang juga yang lama tidak ditemui. Apa khabar Ust Rohinin, Ust Eka, Ust Hardie, Ust Aping (yang bakal menikah), Ust Berry, Ust Azmi, Ust Pojie, Ust Mustakim dan lain-lain?

Ketibaan di tanah suci begitu mendebarkan. Perasaan  bermacam-macam. Teringat lagi, apabila memasuki Masjid al-Haram, Ust Julnie berkata : “Haa.. nampak kamu ka’abah? Nampak?”

Manakan tidak, sepanjang perjalanan, ada yang bercerita tentang dosa dan kesalahan yang dilakukan, bimbang Allah menutup pandangan daripada melihat KaabahNya yang mulia itu. Juga terpengaruh dengan kisah-kisah orang yang ‘dihukum’ dengan hukuman sebegitu melalui buku dan majalah.

Sepanjang tawaf, selain berdoa untuk sendiri, tidak dilupakan doa-doa yang dikirim oleh kawan-kawan yang tinggal. Ada doa minta kawin, doa supaya lulus peperiksaan, doa supaya ibu bapanya aman daripada perceraian, dan bermacam-macam lagi.

Ada satu doa saya yang begitu mengesankan hingga ke saat ini. Saya berdoa kepada Allah SWT, minta kahwin.

Tengah tahun 2002, saya balik Sabah bercuti. Bulan 8, mengikat tali pertunangan dan pada oktober saya selamat mendirikan rumahtangga bersama isteri yang dikasihi.