Alhamdulillah, menurut rakan-rakan JHEAINS yang hadir, kerja-kerja ibadah qurban di Maahad Tahfiz yang terletak di Kepayan (bersebelahan Kg Bunga Raya) pada ahad lalu berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak.

Penduduk kampung juga khabarnya ramai yang membantu untuk melapah sehingga sesi pembahagian selesai. Antaranya dari Kg Bunga Raya, Kg Muhibbah Petagas dan Kg Sri Pandan Putatan.

Sembilan ekor lembu yang diqurbankan, disembelih oleh Ust Hj Awwaluddin, Ust Jasimin, Ust Hj Khamis dan Ust Mohammad Syafie bermula sekitar jam 7 pagi dan selesai pada jam 11.30 pagi.

Pembahagian daging qurban pula dimulakan setelah solat zuhur dan makan tengahari.

Urusetia majlis qurban ini ialah Bahagian Dakwah JHEAINS, dianjurkan atas nama majlis qurban saudara kita bersempena kelas saudara kita yang diadakan di Maahad Tahfiz pada setiap pagi ahad.

Lima daripada sembilan ekor lembu adalah daripada warga Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Penampang yang turut bersama-sama menyertai ibadah ini.

Mudah-mudahan ibadah ini diterima Allah SWT dan mendatangkan manfaat kepada semua pihak, yang berqurban, yang bertugas dan para penerima.

Selain itu mudah-mudahan bilangannya terus bertambah pada tahun mendatang supaya lebih ramai mereka yang layak menerimanya.

Gambar-gambar berikut yang diberikan oleh rakan sepejabat yang hadir di sana. Saya tidak berkesempatan hadir kerana dalam perjalanan ke Beaufort.