Hari sabtu, saya ada 5 undangan ke majlis yang berkaitan dengan sambutan Idul Adha. Masanya pula hampir serentak. Mana mungkin saya dapat memenuhi kesemuanya.

Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) buat Majlis Sambutan Idul Adha di markas  mereka di Jalan Kurol Melangi Kg Likas. Timbalan Presidennya, Kak Selly sudah menempah saya sejak 3 minggu lalu untuk mengisi slot tazkirah.

Oleh kerana ketika itu ruang kosong ada, saya menerima. Beberapa hari sebelum raya, barulah saya menerima undangan lain, khususnya memeriahkan majlis penyembelihan ibadah qurban.

Sekitar 9.30 pagi majlis bermula.

Takbir raya dan bernasyid beramai-ramai, selain ucapan-ucapan tetamu. Ada Ustazah Fatimah dari JAKIM Sabah dan Ustazah Hjh Zaloha (KPP Dakwah JHEAINS). 

Majlis juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan, tenaga pengajar serta exco SAHABAT. Tazkirah ringkas saya pula mengambil slot terakhir.

Dalam tempoh hampir 30 minit di hadapan lebih 100 yang hadir, antara yang saya petik ialah berkaitan 4 perkara yang dibimbangi missionary kristian. Hal ini saya petik daripada sebuah buku yang saya beli ketika di Mesir dan ditulis oleh seorang mahasiswa al-Azhar.

Catatan itu tidak menamakan secara terperinci missionary yang dimaksudkan, tetapi menyatakan 4 perkara yang dibimbangi mereka ialah al-Quran, Universiti al-Azhar, himpunan Jumaat dan himpunan ibadah haji.

Jam 11.15 pagi, setelah menjamah sedikit jamuan, saya beredar untuk ke majlis berikutnya. Saya meninggalkan mereka yang akan meneruskan majlis penyembelihan.

Tahniah untuk Presiden Abu Bakar Ongkosing, bersama jenteranya yang dapat mengendalikan majlis dengan baik dan lancar.

“Ustaz, nanti ada daging untuk ustaz”. Demikian mereka memberi pesan.