Archive for 29 November 2009


Selanjutnya saya ke Perpustakaan Awam Penampang. Majlis Ramah Mesra Saudara Kita sempena ‘Idul Adha anjuran CONCERN yang digerakkan oleh PUM Sabah (baca Che’gu Jamil) dan JAKIM Sabah.

Cerita belakang tabir majlis ini panjang sebenarnya. Kalau diringkaskan, ia lebih kepada mengumpul kembali semangat sahabat-sahabat muslim di sana untuk memperjuangkan impian membina sebuah masjid di daerah Penampang.

Sehingga kini, daerah Penampang khususnya di kawasan Donggongon tidak mempunyai  masjidnya sendiri setelah Putatan menjadi daerah penuh. Keperluan masjid itu semakin mendesak kerana semakin ramai umat Islam di sini.

Islamnya masyarakat di sini kerana memeluk Islam, atau yang berpindah atau bertugas di sini. Tambahan pula semakin banyaknya taman-taman perumahan yang dibina di sini turut dihuni oleh masyarakat Islam.

Di pihak rakan-rakan di Penampang, mereka yang bekerja keras antaranya ialah Hj Ahmad Said (Pengerusi JK Bertindak Pembinaan Masjid Penampang) Sdr Gani Kassim, Ustaz Suhaili dan beberapa nama yang lain.

Dalam majlis ini yang bermula 10 pagi dan berakhir 1 tengahari, hampir 300 tetamu hadir bergilir-gilir termasuk yang bukan Islam.

 Hj Ahmad yang berucap menegaskan keperluan masjid di daerah ini untuk urusan ibadah umat Islam khususnya saudara kita yang semakin ramai. Beliau sendiri terpaksa menaiki bas untuk menunaikan solat sama ada di Masjid Negeri atau Masjid Bandar setiap jumaat.

Selain itu, masjid yang diimpikan itu boleh mengumpulkan umat Islam di sini dan seterusnya mengisi dengan program-program kuliah dan pengajian sama ada untuk dewasa, kaum ibu dan kanak-kanak.

Datuk Hj Md Safari yang berucap juga menyeru masyarakat Islam sekitar Penampang membantu dan berganding bahu bagi merealisasikan cita-cita tertegaknya masjid di daerah Penampang.

Semoga cita-cita ini akan tercapai dengan izin Allah SWT dan kerjasama semua pihak. Blog ini akan menulis satu artikel khusus dengan lebih terperinci nanti.  

Mohon maaf tidak banyak gambar diselitkan kerana terlambat sampai. Jika ada yang hadir dan mempunyai gambar, boleh kirimkan. Terima kasih Che’gu Jamil yang menyediakan bahan.

Hari sabtu, saya ada 5 undangan ke majlis yang berkaitan dengan sambutan Idul Adha. Masanya pula hampir serentak. Mana mungkin saya dapat memenuhi kesemuanya.

Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) buat Majlis Sambutan Idul Adha di markas  mereka di Jalan Kurol Melangi Kg Likas. Timbalan Presidennya, Kak Selly sudah menempah saya sejak 3 minggu lalu untuk mengisi slot tazkirah.

Oleh kerana ketika itu ruang kosong ada, saya menerima. Beberapa hari sebelum raya, barulah saya menerima undangan lain, khususnya memeriahkan majlis penyembelihan ibadah qurban.

Sekitar 9.30 pagi majlis bermula.

Takbir raya dan bernasyid beramai-ramai, selain ucapan-ucapan tetamu. Ada Ustazah Fatimah dari JAKIM Sabah dan Ustazah Hjh Zaloha (KPP Dakwah JHEAINS). 

Majlis juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan, tenaga pengajar serta exco SAHABAT. Tazkirah ringkas saya pula mengambil slot terakhir.

Dalam tempoh hampir 30 minit di hadapan lebih 100 yang hadir, antara yang saya petik ialah berkaitan 4 perkara yang dibimbangi missionary kristian. Hal ini saya petik daripada sebuah buku yang saya beli ketika di Mesir dan ditulis oleh seorang mahasiswa al-Azhar.

Catatan itu tidak menamakan secara terperinci missionary yang dimaksudkan, tetapi menyatakan 4 perkara yang dibimbangi mereka ialah al-Quran, Universiti al-Azhar, himpunan Jumaat dan himpunan ibadah haji.

Jam 11.15 pagi, setelah menjamah sedikit jamuan, saya beredar untuk ke majlis berikutnya. Saya meninggalkan mereka yang akan meneruskan majlis penyembelihan.

Tahniah untuk Presiden Abu Bakar Ongkosing, bersama jenteranya yang dapat mengendalikan majlis dengan baik dan lancar.

“Ustaz, nanti ada daging untuk ustaz”. Demikian mereka memberi pesan.

%d bloggers like this: