Sekali akad saja, sahabat kami Hj  Yakob & Suzanah @ Omeng sah menjadi suami isteri.

Aji, 30 tahun dan Omeng, 28 tahun adalah rakan akrab kami suami isteri. Aji rakan sejak tingkatan 1 (1991) di SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah, kemudian sama-sama ke Maahad Tahfiz pada 1995-1999, menyambung ke Maahad Qiraat al-Azhar selepas itu hingga kami khatam.

Ada satu kelebihan yang ramai rakan-rakan tidak mengetahui tentangnya. Dalam ilmu qiraat yang sama-sama kami pelajari, sehingga kini saya mengakui bahawa Aji merupakan rakan yang paling mahir daripada kalangan kami.

Omeng pula rakan isteri saya khususnya ketika sama-sama di Mansoura Mesir. Biar tidak serumah, tetapi hubungan mereka tetap akrab. Bahkan ketika Nuha selamat dilahirkan, Omeng antara rakan-rakan yang setia menemani dan membantu kami sehingga kami pulang pada pertengahan 2004.

Mengenangkan persahabatan itu, kami sekeluarga 7 beranak turun ke Kg Rancangan Klias Beaufort bagi sama-sama meraikan hari bersejarah mereka berdua.

Rombongan pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan pada jam 3.40 petang. Selesai majlis pada 4.30 petang kami beransur pulang kerana ada komitmen lain pada sebelah maghrib pula.

Tahniah Aji dan Omeng. Untung Aji, Omeng pandai masak!