Hari ini saya mengambil cuti rehat. Menguruskan beberapa hal peribadi menjelang raya.

Ada satu hajat, saya ke KK Plaza, mencari-cari lensa baru untuk kamera Canon yang dibeli sejak April lalu. Saya jeles dengan Ust Saiful Mukharram JAKIM yang ada lensa panjang harga 7 ribu…

Petang ini, saya dapat membeli lensa 50mm dengan harga RM300 seperti yang dicadang oleh Ust Saiful tempohari. Makin mencengkamlah nampaknya selepas ini lensa Abu Nuha Corner.

Di kedai CPL Colour itu, saya bertemu dengan seseorang yang pernah saya kenali satu ketika dulu. Peter namanya.

Peter yang rupanya tauke syarikat CPL Colour itu adalah jurugambar rasmi bagi istiadat-istiadat pengurniaan bintang dan darjah kebesaran di Istana Negeri Sabah sejak 2006.

Sebagaimana saya kurang mengecam muka Peter, dia juga tidak mengecam saya. Katanya kalau acara di Istana, pakaian saya baju melayu lengkap atau kot penuh. Hari ini saya cuma pakai t-shirt saja.

Kesempatan bertemu, saya ada meminta salinan gambar-gambar ketika bertugas di Istana dulu. Banyak gambar yang saya tercicir. Peter berjanji akan mengusahakannya.

Selalu, Peter ambil gambar orang. Ini kali, biar Abu Nuha Corner ambil pula. Atas nama kenalan lama.