Archive for 22 November 2009


Dua kali mendengar syarahan Dr Danial Zainal Abidin, seorang tokoh ilmuan dan aktivis Jamaah Islah Malaysia (JIM) pada jumaat lalu.

Pertamanya khutbah Jumaat beliau di Masjid Negeri dan kemudian selepas maghribnya di Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral.

Pemerhatian saya, khutbah dan syarahan beliau menjurus kepada 2 perkara. Pertama manusia bertaqwa dan kedua manusia yang berilmu.

Manusia mulia di sisi Allah SWT dengan taqwanya. Bukan dengan pangkat, harta, jawatan, gelaran dan seumpamanya.

Sementara ilmu dengan kesedaran bahawa Allah SWT sebagai Pencipta sekalian alam. Bermula dengan ilmu, kemudian faham, amal dan sebarkan.

Saya sentiasa tertarik dengan syarahan beliau, termasuk yang pernah beliau sampaikan sebelum ini anjuran kerajaan negeri beberapa tahun lalu.

Dr Danial, terima kasih.

Catatan 1

Malam jumaat saya ke rumah seorang sahabat lama. Ada kenduri dan solat hajat untuk kedua orang tuanya yang sedang menunaikan fardhu haji di Makkah.

Saya tiba ketika waktu isyak baru menjelang. Itulah waktu yang dijanjikan tuan rumah. Di luar rumah baru beberapa orang hadir. Sajadah dibentang kerana jadualnya kami isyak berjamaah, solat hajat, baca yasin dan doa.

Kepada tuan rumah saya pinta orang di luar dijemput masuk untuk solat. Seorang demi seorang mengelak dan memberi alasan. Saya kurang selesa keadaan itu. Saya menjenguk keluar :

“Jom sembahyang sama-sama”.  “Duluan la ustat. Silakan..”

“Ada yang hadas besarkah?” Saya menyergah.

“Tiada ustat. Silalah ustat, kami ambil wudhu dulu..”

“Oh.. ambil wudhu di dalam rumah”. Saya memotong pergerakan mereka yang mula mau melarikan diri.

Dua daripada tiga orang terpaksa masuk dengan berat hati.

“Kita datang rumah orang, jangan mau makan nasi tuan rumah saja.. hajat tuan rumah sembahyang sama-sama, baca doa nda mau..

Kami solat isyak berempat dan kemudian solat hajat bertujuh. Sedih juga. Kiri kanan blok rumah orang Islam, tiada yang datang. Entah-entah tuan rumah tak jemput (?) 🙂

Catatan 2

Ketika hendak memulakan baca yasin, tuan rumah berengsot ke tepi. Dia mencari sesuatu. Ruang rumah mula dipenuhi bau asap. Rupanya tuan rumah memasang kemenyan & setanggi.

Adat ini sudah lama ditinggal orang. Saya ingatkan ia sudah selesai rupanya ada lagi. Kata Ust Ismail Kamus, pasang kemenyan sebenarnya panggil jin datang kerana jin makan asap.

Ust Muchlish kata, kalau di hadapannya dinyalakan kemenyan, dia akan cepat-cepat menamatkan tahlilnya. Lemas dengan bau asap. Tuan rumah pula letakkan kipas berdiri betul-betul di hadapannya. Habis asap terbang ke arahnya.

Saya bagi isyarat tuan rumah agar buang dan matikan. Mujur dia menurut tanpa banyak soal.

Catatan 3

Saya beramah mesra dengan adik-adik dari Maahad Tahfiz yang diundang hadir bersama. Saya ceritakan serba sedikit sejarah maahad tahfiz dan pengalaman kami.

Di kalangan mereka ada yang saya ketahui lemah dalam hafazan mereka. Dari sembang itu, sebenarnya jalan dan ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada.

Setiap seorang saya tanya kedudukan juzu yang mereka sedang hafaz sekarang. Ada yang berada di atas landasan dan ada yang tercicir di belakang.

Saya tanya kenapa tertinggal, jawabnya : “Malas ustaz”

Maahad Tahfiz adalah institusi pendidikan di bawah JHEAINS yang tertinggi setakat ini. Ia begitu dibanggakan oleh pegawai-pegawai, bahkan para menteri sering memasukkan ucapan mereka tentang kewujudan maahad tahfiz di Sabah.

Di Sabah, orang bertitle ‘hafiz’ tidak ramai. Mungkin belum mencecah 100 orang pun. Jadi keluarannya mudah dikenali.

Oleh kerana penuntutnya tidak ramai, pelajarnya sudah tentu terpilih. Ibu bapa tambah bersyukur dan bangga dengan keterpilihan anak mereka di institusi ini. Mereka bercerita ke sana sini : “Anak aku belajar hafiz Quran!”

Saya katakan, ketika kamu mula malas-malas untuk belajar, cuba ingat muka ibu dan wajah bapa. Cukuplah. Ketika dia seronok bercerita anaknya bakal jadi hafiz, kita di dalam buat hal sendiri.

Sanggupkah melukakan hati mereka?

%d bloggers like this: