Ada dua majlis keraian untuk guru-guru PASTI yang saya hadiri. Pertamanya  di Sembulan untuk guru-guru PASTI Kawasan Putatan malam jumaat lalu dan yang kedua di Taman Union untuk dua guru PASTI di sini malam ini.

Penglibatan saya secara lebih serius bermula sejak 3 tahun lalu khususnya membantu pentadbiran PASTI Nur Fathonah Taman Union. Sebelum itu hanya sesekali terlibat dalam PASTI Putatan apabila acara keraian diadakan.

Biasanya bantu-bantu angkat kerusi, tangkap gambar dan kerja-kerja yang lebih kurang.

Melihat ke dalam, secara jujur guru-guru PASTI adalah manusia yang tahan lasak. Dengan gaji yang sekelumit, mereka berhadapan bermacam karenah. Karenah pelajar, ibu bapa dan pengurusan PASTI.

Berhadapan dengan anak-anak 4 hingga 6 tahun yang belum mumayyiz dengan ulah masing-masing, ibu bapa yang juga bermacam perangai. Belum lagi arahan pengurusan seperti hadir dalam program sana dan sini.

Sesekali dalam sesetengah keadaan, duit sendiri juga dituntut untuk keluar menampung belanja. Maka ada yang berundur apabila mendapat peluang lain.

Yang bertahan, saya amat kagumi dan tabik buat mereka. Kudrat mereka sangat diperlukan untuk mendidik umat ini sejak kecil lagi.

Tanpa perlu bercerita panjang dan terperinci tentang karenah-karenah itu, untuk anak saya yang telah menamatkan pengajian selama 3 tahun di PASTI Nur Fathonah Taman Union, kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Bukan hanya untuk guru di sana, tetapi untuk semuanya. Guru, pengurusan dan semua rakan-rakan yang bekerja untuk Islam. Termasuk mereka yang pernah berbakti di PASTI.

Sesuatu yang pasti akan saya kenang, apabila suatu hari ketika Nuha berumur 4 tahun. Ketika itu kami di dalam kereta dalam perjalanan ke sekolah PASTInya. Lebuh raya yang terletak di tepi Laut China Selatan itu dilihatnya.

“Babah, laut Allah cipta, ‘kan. Pokok pun Allah cipta”. Langit Allah cipta juga”.

Alhamdulillah, kefahaman aqidah itu diperolehinya ketika di PASTI.