Archive for 21 November 2009


TERIMA KASIH CIKGU

Ada dua majlis keraian untuk guru-guru PASTI yang saya hadiri. Pertamanya  di Sembulan untuk guru-guru PASTI Kawasan Putatan malam jumaat lalu dan yang kedua di Taman Union untuk dua guru PASTI di sini malam ini.

Penglibatan saya secara lebih serius bermula sejak 3 tahun lalu khususnya membantu pentadbiran PASTI Nur Fathonah Taman Union. Sebelum itu hanya sesekali terlibat dalam PASTI Putatan apabila acara keraian diadakan.

Biasanya bantu-bantu angkat kerusi, tangkap gambar dan kerja-kerja yang lebih kurang.

Melihat ke dalam, secara jujur guru-guru PASTI adalah manusia yang tahan lasak. Dengan gaji yang sekelumit, mereka berhadapan bermacam karenah. Karenah pelajar, ibu bapa dan pengurusan PASTI.

Berhadapan dengan anak-anak 4 hingga 6 tahun yang belum mumayyiz dengan ulah masing-masing, ibu bapa yang juga bermacam perangai. Belum lagi arahan pengurusan seperti hadir dalam program sana dan sini.

Sesekali dalam sesetengah keadaan, duit sendiri juga dituntut untuk keluar menampung belanja. Maka ada yang berundur apabila mendapat peluang lain.

Yang bertahan, saya amat kagumi dan tabik buat mereka. Kudrat mereka sangat diperlukan untuk mendidik umat ini sejak kecil lagi.

Tanpa perlu bercerita panjang dan terperinci tentang karenah-karenah itu, untuk anak saya yang telah menamatkan pengajian selama 3 tahun di PASTI Nur Fathonah Taman Union, kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Bukan hanya untuk guru di sana, tetapi untuk semuanya. Guru, pengurusan dan semua rakan-rakan yang bekerja untuk Islam. Termasuk mereka yang pernah berbakti di PASTI.

Sesuatu yang pasti akan saya kenang, apabila suatu hari ketika Nuha berumur 4 tahun. Ketika itu kami di dalam kereta dalam perjalanan ke sekolah PASTInya. Lebuh raya yang terletak di tepi Laut China Selatan itu dilihatnya.

“Babah, laut Allah cipta, ‘kan. Pokok pun Allah cipta”. Langit Allah cipta juga”.

Alhamdulillah, kefahaman aqidah itu diperolehinya ketika di PASTI.

Pada pagi khamis saya berada di Jabatan Penjara Pusat Kota Kinabalu, menyampaikan ceramah yang agak berat juga tajuknya.

Sepanjang 3 hari, jabatan ini mengadakan Kursus Pemantapan Aqidah yang membabitkan 40 pegawai dan anggota pelbagai pangkat beragama Islam dari seluruh negeri.

Rakan-rakan dari JHEAINS khusus dari Bahagian Dakwah bergilir-gilir mengisi slot masing-masing yang kesemuanya berkait tentang aqidah.

Oleh kerana ini bukan penampilan kali pertama saya di jabatan ini, jadi secara umumnya semua berjalan dengan lancar. Bahkan saya bertemu dengan rakan sebilik di asrama TPHR dahulu, Redwan Hussin yang kini bertugas di penjara Tawau.

Bercerita tentang Islam Liberal, ia memang salah satu cabaran yang besar pada masa kini. Ia mula menyerang negara jiran Indonesia dan kini ke Malaysia.

Satu keputusan fatwa dari JK Fatwa Kebangsaan juga menjadi salah satu isi kandungan ceramah yang berlangsung selama 2 jam itu.

Keputusan :

i. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut :

Aspek Akidah

a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulinan Al-Quran

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini.

Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah SAW dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value).

Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik.

Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia.

Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

ii. Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

%d bloggers like this: