Adik ini dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) bagi 2009 di bawah kelolaan Lembaga Peperiksaan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mendapat anugerah tertinggi.

Anith yang berumur 16 tahun mendapat keputusan 7 aggregat. Daripada 12 subjek yang didudukinya, 1o subjek dia mendapat gred 1. Hanya subjek Bahasa Melayu dan tafsir dia mendapat gred 2.

Bagi yang menduduki SMU ini subjek yang diambil ialah al-Quran, tauhid, fekah, hadith, tafsir, mutholaah & insya’, balaghah & nusus, qawaidh, nahu & saraf, bahasa inggeris, bahasa melayu, akhlak, tarikh Islam dan lisan bahasa arab.

Ketika ditemui beberapa wartawan selepas  menerima anugerah kecemerlangan ini daripada Pengarah JHEAINS, sambil mengucap syukur, Anith memberitahu dia tidak menyangka akan memperolehi keputusan sebaik ini.

Katanya, orang yang paling banyak mendorongnya sudah tentu kedua ibu bapa dan para guru yang bersusah payah mengajar dan mendidik sehingga mendapat keputusan memberansangkan ini.

Begitu juga kepada rakan-rakan sekelas yang banyak membantu daripada segi kefahaman dan nota-nota.

Ditanya kaedah pembelajaran yang diamalkannya, Anith yang bercita-cita hendak menjadi doktor menceritakan dia akan memberi tumpuan untuk memahami pelajaran yang disampaikan oleh para guru sebelum menghafaznya.

“Sebelum menjawab kertas peperiksaan, saya akan pasti berdoa terlebih dahulu, membaca surah al-Insyirah dan bersolawat”.

Anith berasal dari Kuala Lumpur, mengikuti keluarganya yang berpindah ke Sabah sejak awal tahun ini. Ayahnya bertugas di bahagian sumber manusia di Menara Petronas Kota Kinabalu.

Pengumuman menggembirakan itu turut dihadiri oleh kedua-dua ibubapa dan adik-adiknya. Anith adalah anak sulung daripada 4 adik beradik.

Sementara itu, Cikgu Dayang Jaudah Amit salah seorang guru di SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah yang mengiringi pelajarnya itu memberitahu, pihak sekolah dan guru-guru sudah mengesan kepintaran Anith itu sejak ia mula masuk pada awal tahun ini.

Selain Anith, seorang lagi yang mendapat 7 agregat ialah rakannya Masnih Mustapa.