Archive for 17 November 2009


Tuan Hj Hassan Abdullah, jamaah Masjid Negeri Sabah yang juga pemilik Restoran Sri Rohayu berdekatan Bulatan Sembulan dan Pantai Tg Aru 2 disahkan meninggal dunia selepas menunaikan solat isyak malam ini.

Janazah beliau kini berada di rumahnya di Kg Sembulan, bersebelahan dengan simpang masuk ke Kompleks Tabung Haji Sembulan.

Allahyarham yang berumur 73 tahun berasal dari Butterworth Pulau Pinang dan sudah berada di Sabah sejak 1972.

Pada zaman kegemilangan USNO dan USIA, Allahyarham terlibat secara langsung dalam program pengislaman beramai-ramai bersama Tun Datu Mustapha dan beliau diamanahkan sebagai tok mudim (tukang khatan).

Sejak 2 tahun terakhir, Allahyarham menghidap penyakit kanser bawah dagu. Walaubagaimanapun, beliau bergerak ke sana sini seperti biasa termasuk sesekali ke ibu negara menginap di rumah keduanya di Bandar Permaisuri Cheras.

Dua bulan terakhir pula, Allahyarham banyak bersolat di rumah atau di Masjid Kg Sembulan yang berhampiran dengan rumahnya. Hanya solat jumaat beliau turun ke Masjid Negeri.

Menurut isterinya, pada siang tadi Allahyarham sempat keluar rumah membeli topeng mulut untuk menutup mulutnya yang sakit. Walaubagaimanapun, katanya topeng itu tidak sempat digunakan.

Malam ini, sesudah solat Isyak dalam keadaan terlentang, Allahyarham ada memberitahu rasa sakit perut, dan apabila disentuh kakinya sudah mulai sejuk. 

Alhamdulillah kata isterinya, Allahyarham meninggal dunia dalam keadaan tenang. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan lapan cucu.

Di kalangan jamaah tetap Masjid Negeri, khususnya jamaah subuh ahad kebiasaannya akan minum dan bersarapan bersama di restoran beliau yang berhadapan dengan masjid. Ungkapan ‘jom sembang-sembang’, teh tarik halia dan aiskrim goreng akan tetap dikenang.

Di rumah beliau ini pada setiap isnin diadakan kuliah pengajian dibawah bimbingan Ust Hj Mohd Mursal Muchtar. Allahyarham akan dikenang sebagai orang yang cintakan pengajian ilmu dan suka bersedekah.

Janazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid Negeri Sabah jam 10 pagi esok untuk urusan mandi dan kafan sebelum disolatkan selepas solat fardhu zuhur. Janazah akan dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Taman Sempelang.

Rakan-rakan dipelawa untuk berziarah. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa Allahyarham dan menempatkannya bersama ruh orang yang beriman. Al-Fatihah.

 

Pagi tadi saya mengikuti sidang akhbar pengumuman keputusan Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) bagi tahun 2009 yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Hj Amri Suratman di tingkat 10, Wisma MUIS.

Berikut butir-butir penting dalam sidang akhbar berkenaan :

SIJIL MENENGAH UGAMA (SMU)

1. Jumlah calon pada 2009 ialah 240 pelajar daripada 6 buah sekolah.

2. Enam buah sekolah yang menyertai peperiksaan ini ialah SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah KK, SMU Pantai Manis Papar, SMU Pekan Kunak, SMU Tambunan, SABK Islamialh Tawau dan SABK al-Irsyadiah Marakau Ranau.

3. Seramai 214 calon telah lulus dengan pangkat 1 seramai 105 orang, pangkat 2 seramai 41 orang dan pangkat 3 seramai 68 orang.

4. Peratus kelulusan tahun ini meningkat sebanyak 5.04% kepada 91.1% berbanding tahun 2008.

5. Dua buah sekolah mencapai keputusan 100% lulus iaitu SMU Tambunan dan SMU Pekan Kunak.

6. Keputusan sekolah lain : SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah (97.2%), SMU Pantai Manis (89.3%), SABK Islamiah Tawau (92.9%) dan SABK Marakau (52.6%)

7. Beberapa orang calon mendapat keputusan cemerlang iaitu Anith Fatihah Bt Fakhrurazi dari SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah dengan 7 agregat, Masnih Mustapa juga dari SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah dengan 7 agregat, Nurfaezzah Umirah Bt Mohd Rasid dari SABK Islamiah Tawau dengan 8 agregat dan Masnitah Jamlin dari SMU Pekan Tambunan dengan 8 agregat.

SIJIL RENDAH UGAMA (SRU)

1. Jumlah calon pada 2009 ialah 4,317 orang daripada 194 buah sekolah.

2. Daripada jumlah 194 buah sekolah berkenaan, 103 adalah Sekolah Agama JHEAINS, 80 buah adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan 11 buah Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) WP Labuan.

3. Seramai 3395 calon telah lulus dengan 3 orang mendapat keputusan mumtaz (cemerlang), 118 calon jayyid jiddan (terbaik), 937 calon jayyid (baik) dan 1158 calon mendapat maqbul (lulus).

4. Peratus kelulusan tahun ini meningkat sebanyak 1.6% kepada 78.6%  berbanding 77% pada tahun 2008.

5. Daripada 103 buah Sekolah Agama Negeri (SAN) yang mengikuti peperiksaan, sebanyak 18 buah mendapat kelulusan 100%.

6. Daripada 80 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang mengikuti peperiksaan, sebanyak 19 buah telah mendapat 100%

7. Daripada 11 buah Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) WP Labuan yang mengikuti peperiksaan, sebuah sekolah mendapat kelulusan 100%.

8. Sekolah-sekolah yang mendapat kelulusan 100% :

Sekolah Agama Negeri (SAN) : SAN Tambalang Tuaran, SAN Silabukan Lahad Datu, SAN Merotai Besar Tawau,  SAN Kabidang Beaufort, SAN Lubak Beaufort, SAN Kota Klias Beaufort, SAN Ulu Sipitang, SAN Pelakat Sipitang, SAN Naluyan Sipitang, SAN Hj Hashim Pekan Menumbok.

SAN RAY Tambunan, SAN Meninipir Keningau, SAN Pekan Apin-Apin Keningau, SAN Chinta Mata Tenom, SAN Kolapis Beluran dan SAN Libang Ranau.

Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) : SRAI Membedai WP Labuan.

Sekolah Agama Rakyat (SAR) : SAR al-Mubarak Masjid Bandaraya KK, SAR an-Nur Taman Kingfisher Likas, SAR al-Hidayah Kuala Menggatal, SAR Rampayan Menggatal.

SAR Bukit Quoin Lahad Datu, SAR Darul an-Nur Hamparan Badai Lahad Datu, SAR Gugusan Felda Kalabakan Tawau, SAR Masjid Quba Tawau, SAR al-Falah Tg Batu Darat Tawau, SAR al-Mukarramah Tg Batu Keramat Tawau.

Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Bestari Kota Belud, SAR an-Nur Kota Belud, SAR al-Khairiah Kemburungoh, SAR Bestari Ranau, SAR Klias Baru Beaufort, SAR Kebulu Beaufort.

SAR al-Muqarabah Sandakan, SAR Taman Samudera Sandakan dan SAR Bariawa Ulu Keningau.

9. Tiga orang calon telah mendapat keputusan mumtaz (cemerlang) iaitu Liyana binti Jefrin (SAN Kg Bayangan Keningau), Siti Zaleha Abd Tahar (SAN Kukut Beaufort) dan Nur Wahyu Kamil (SAN Bayangan Keningau).

FAKTOR-FAKTOR

1. Antara faktor peningkatan prestasi pada tahun ini ialah adanya kursus dan latihan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru, kemudahan asas sekolah yang semakin baik dan memenuhi keperluan semasa.

2. Selain itu, kerjasama dan motivasi pihak sekolah serta ibu bapa selain kesungguhan dan kelebihan pelajar itu sendiri.

3. Terdapat penambahan seramai 109 guru agama di seluruh Sabah pada tahun 2009.

HARAPAN

1. Kerjasama berterusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menggembleng kecemerlangan pelajar dan sekolah masing-masing.

2. Kepada pelajar yang mendapat kejayaan bersama ibu bapa serta guru diharap menjadi contoh kepada yang lain.

***

Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada para pelajar, guru-guru dan ibu bapa yang terlibat. Alhamdulillah.

Adik Anith Fatihah Bt Fakhrurazi dari SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah menerima hadiah daripada Pengarah JHEAINS. Anith diiringi oleh ibunya.

Adik Masnih Mustapa dari SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah.

Adik Liyana binti Jefrin dari SAN Kg Bayangan Keningau.

Adik Siti Zaleha binti Abd Tahar dari SAN Kukut Beaufort

Nur Wahyu binti Kamil dari SAN Bayangan, Keningau

Dari kiri : Anith Fatihah binti Fakhrurazi, Siti Zaleha binti Abd Tahar, Liyana binti Jefrin, Nur Wahyu binti Kamil dan Masnih Mustapa

 

Anith Fatihah bersama ibu, bapa dan adik-adiknya.

 

 Liyana binti Jefrin bersama ibu, bapa dan adiknya.

 

Anith dan Masnih diapit oleh Cikgu Dg Jaudah Amit (SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah) dan Ustazah Aisyah Kasan (Bahagian Peperiksaan JHEAINS)

 

Para ibu bapa disaran memandang serius tentang keperluan pendidikan Islam anak-anak sejak kecil bagi menghadapi cabaran masa kini.

Saranan itu dibuat oleh Saudara Lahirul Latigu, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Sabah semasa berucap di hadapan 500 ibu bapa dan tetamu yang hadir bagi merasmikan Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah kali ke 19 di Pusat Perdagangan Sabah (STC) Likas sabtu lalu.

Katanya, dalam dunia yang serba mencabar, pemantapan daripada sudut pendidikan Islam seperti aqidah, akhlak, ibadah dan seumpamanya perlu ditekankan.

Oleh itu katanya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) menawarkan diri untuk membantu masyarakat bagi mendidik anak bangsa menjadi insan yang berakhlak mulia sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Menurutnya lagi, sambutan masyarakat terhadap PASTI semakin menggalakkan dengan 43 PASTI di seluruh Sabah sehingga 2009. Bahkan PASTI Kawasan Tawau telah diiktiraf sebagai PASTI terbaik seluruh Malaysia dalam sambutan 25 tahun PASTI Peringkat Kebangsaan di Kelantan baru-baru ini.

Terdahulu, wakil ibubapa Cikgu Tamin Ongki mengharapkan semua pihak daripada guru, ibu bapa dan pengurusan PASTI agar sama-sama menggembeling tenaga, buah fikiran dan kewangan bagi memajukan lagi PASTI di Sabah.

Sambil mengucapkan tahniah kepada penganjur, pengurusan PASTI katanya harus bersedia menghadapi cabaran dan saingan daripada pra-sekolah yang semakin bercambah dengan menumpukan kualiti pengajaran dan pengurusan PASTI.

Dalam konvokesyen berkenaan, seramai 208 pelajar PASTI berumur 6 tahun menerima sijil tamat belajar masing-masing dalam suasana yang penuh meriah.

Majlis yang sama turut menobatkan adik Sofia Natalia Binti Muhammad Shah Rizan (5 tahun) dan Nurul Aqilah Syazwana Binti Bahtiars (6 tahun) sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Ibnu Sina bagi tahun ini.

Kedua-dua mereka adalah dari PASTI al-Amal Kg Likas.

Majlis berkenaan juga turut dimeriahkan dengan ucapan wakil pelajar Muhd Zulhisham Md Shefee (PASTI al-Hikmah Sembulan), persembahan sajak oleh pelajar PASTI al-Furqan Kinarut dan pantomen bertajuk ‘Nyamuk & Namrud’ oleh pelajar-pelajar PASTI al-Amal Kg Likas yang mencuit hati penonton.

Keseluruhannya, konvokesyen berkenaan mengumpulkan lebih 300 pelajar terbaik berumur 4-6 tahun yang mendapat tempat pertama hingga ketiga selain pelajar 6 tahun yang tamat belajar daripada 14 buah PASTI sekitar pantai barat termasuk dari Beaufort.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Exco DPPP Ustaz Annuar Ali, YDP Kawasan Putatan dan Sepanggar.

%d bloggers like this: