HATIKU TERUSIK.
1984-1985
Saya mula mengenal erti sekolah, cikgu, beg sekolah dan seumpamanya pada tahun 1984. Saya memasuki pra sekolah bernama Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) anjuran KEMAS di kampung sendiri.
Dari rumah ke kelas, hanya sekitar 200 meter.
Meski jaraknya dekat, saya bukanlah murid yang rajin ke sekolah. Pemalasnya, Allah saja yang tahu. Sudahlah pemalas, penakut pula. Teringat zaman itu, boleh membuatkan senyum sendiri.
Di sekolah TADIKA pula saya kerap bersembunyi di bawah meja. Lebih hebat, di bawah kerusi. Hari-hari ditemani mama, menanti penuh sabar seorang anaknya yang be’ulah ini sehingga 10.30 pagi.
Situasinya hanya dua. Kalau datang, saya lebih banyak bersembunyi kerana takutkan Cikgu Salina. Kalau tidak, saya hanya di rumah, tidak mahu ke sekolah.
Tapi di rumah, saya suka ‘menengok’ akhbar Sabah Times yang menjadi bacaan bapa dan keluarga. Saya tidak tahu membaca, hanya melihat gambar dan cuba mengeja rancangan TV. Kalau-kalau petang itu ada cerita kartun.
Selain itu, di rumah saya suka membuat latihan berbanding di sekolah. Kebetulan bapa seorang guru (pengetua), dia selalu menyediakan kerja rumah untuk saya siapkan.
Hujung 1985, ada majlis penyampaian hadiah (konvo dalam bahasa hari ini) untuk murid tadika. Majlis diadakan di dewan sekolah rendah yang terletak bersebelahan.
Di hujung majlis, saya dinobatkan sebagai murid tadika terbaik. Saya diapit oleh rakan-rakan, yang sebahagiannya kami masih bersahabat sehingga kini. Mohd Farizey John, Jamaluddin Ahmad, Awangku Hasbollah Pg Hassan dan Md Irwan Adnan.
2007-2009
Hati saya terusik apabila melihat anak sulung, Nuha naik pentas di Pusat Perdagangan Sabah (STC) Likas sabtu lalu. Terusik mengenang diri naik pentas kampung 25 tahun lalu menerima hadiah ketika umur sama seperti Nuha.
Masa pantas berlalu. Tanpa dirasa PASTI Nur Fathonah Taman Union Putatan menggenapkan umur operasinya selama 3 tahun. Nuha satu-satunya murid yang bermula dari awal pada 2007 dan bertahan selama 3 tahun sehingga minggu ini.
Kawan-kawannya ketika PASTI bermula sudah mengundur diri dan berpindah ke tadika lain. Saya sendiri pernah terfikir untuk memindahkan Nuha ke tempat lain, kerana hampir berputus asa dengan keadaan dan cabaran ketika itu.
Saat Nuha mula ke PASTI pada 2007, rasa gembira itu saya kongsikan dengan bapa. Saya hubungi sendiri, bercerita bahawa cucu ke sembilannya itu berani ke sekolah.
“Baguslah.. bukan macam kau dulu, penakut!” Bapa mengimbau sikap dan gelagat saya 25 tahun lalu. Hahaha.. malunya.
Dua minggu lalu, ketika saya ada tugas rasmi di Melaka, isteri ada menyampaikan SMS bahawa Nuha dan Hana mendapat tempat pertama dalam tahap masing-masing. Ertinya mereka akan naik pentas menerima hadiah.
Nuha anak yang berani, kalau dibanding dengan saya dahulu. Dia tidak menangis ditinggal di PASTI sendirian seperti saya, Nuha berani menyertai sukaneka mewakili PASTInya dan menjadi qariah ketika majlis bermula dalam konvo sabtu lalu.
Nuha akan meninggalkan PASTI hujung minggu ini dan memasuki medan baru di sekolah rendah awal tahun hadapan. Dia meninggalkan guru di PASTI yang sering bertukar guru, dan meninggalkan adiknya Hana yang akan naik ke kelas umur 5 tahun.
Sebagai ganti, hero kami Abdul Hadi akan masuk ke PASTI untuk umur 4 tahun. Cuma saya kurang maklum, adakah PASTI Nur Fathonah masih wujud pada tahun hadapan atau tidak? Pengurusan PASTI mungkin boleh menjawabnya.
Walaupun Hadi mengganti Nuha, pengalaman menghantar dan meninggalkan anak di sekolah saat mereka masih kecil sudah tentu tidak sama. Anak pertama sudah tentu meninggalkan kenangan tersendiri yang sukar dilupakan.
Sebab itu hati saya sekali lagi terusik apabila petugas majlis menegur ibu bapa yang menggambar anak di atas pentas ketika sesi penyampaian sijil berjalan, kerana dikatakan lambat.
Saya ada perasaan. Naluri saya sebagai bapa kepada anak yang diraikan mengatakan, ini hari mereka. Tanpa anak-anak yang diraikan, majlis ini tiada ertinya.
Perasaan saya terusik lagi ada anak yang tidak digambar oleh ibu bapanya. Menerima skrol sijil tanpa dihiasi kerdipan cahaya kamera. Ada di kalangan anak ini yang ternanti dan terhenti di atas pentas menunggu saat digambar. Suram rasanya.
Secara ringkasnya, saya titipkan berbanyak terima kasih kepada gurunya, Cikgu Aminah, Cikgu Eja, Cikgu Sarini, Cikgu Yusni, Cikgu Anne dan beberapa nama lagi yang tidak diingati kerana selalu bertukar guru. Allah saja yang mampu membalas.
‘Ala kulli hal, perasaan bersyukur kepada Allah SWT tetap mengatasi segalanya. Nuha menamatkan pelajarannya di PASTI dalam keadaan boleh membaca rumi, jawi dan al-Quran. Alhamdulillah.