Archive for 14 November 2009


Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (1)

Program tahunan berkenaan telah diadakan pada 11-14 November lalu di Kompleks Tabung Haji, Jalan Sembulan. Keseluruhannya ia mengumpulkan 150 peserta dan urusetia.

Ada sedikit perbezaan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tiga kali sebelum ini, konvensyen diadakan dalam bulan Ramadhan dan berlangsung pada petang jumaat hingga tengahari ahad.

Walaubagaimanapun, kali ini ia diadakan luar daripada Ramadhan dan bukan pada hujung minggu. Tajuk pengisiannya saya kurang maklum, hanya saya nampak malam itu ada Ustaz Fitri dan Lim Jooi Soon datang.

Konvensyen ini sebenarnya sangat sentimental buat kami. Walaupun ia dianjurkan oleh JAKIM Sabah dengan kerjasama JHEAINS, idea asal adalah daripada Masjid Negeri, atau lebih sepesifiknya Syukbah Dakwah, di mana saya menjadi AJKnya.

Orang yang menimbulkannya kalau tidak salah saya ialah Datuk Hj Mohd Safari Abd Manan yang menjadi salah seorang AJK syukbah kami ketika itu.

Idea itu kemudian dibawa ke JAKIM dan pengarahnya ketika itu Tuan Hj Paimuzi Yahya menjadikan ia satu program bertaraf negeri. Alhamdulillah ia berkekalan hingga kini. Jasa baik Hj Paimuzi tetap kami kenang.

Kalau dalam program sebelum ini, sama ada atas nama Masjid Negeri atau Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah kami terlibat secara aktif.

Dalam catatan ini suka saya menyatakan, orang yang banyak menggerakkan konvensyen ini pada peringkat awal dahulu ialah Ust Hj Abdullah Din, Chegu Jamil, Ust Md Khidir sambil dibantu oleh Cikgu Md Nasirin, Ust Hj Nahar Matamin, Ust Hj Nor Azamuddin Umar dan beberapa nama lagi.

Penglibatan mereka khususnya Ust Lah, Che’gu Jamil, dan Ust Khidir sehingga mereka dianggap seperti warga JAKIM Sabah. JAKIM Sabah begitu dekat sekali.

(Ust Abdullah Din sudah setahun setengah balik Kedah, Cikgu Nasirin setengah tahun lalu, Che’gu Jamil menyusul bulan depan, Ust Khidir sudah memohon untuk menyambung belajar..)

Bahkan menjadi kenangan manis, saya pernah menjadi pembaca resolusi konvensyen (kali pertama atau kali kedua?).

Untuk kali ini, kami tidak menjadi sebahagian daripada orang belakang tabirnya seperti dahulu. Bahkan saya dan rakan-rakan tidak dapat menjadi peserta kerana beberapa halangan.

Hanya berkesempatan menjadi tetamu undangan ketika majlis makan malam bersama Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Wan Muhammad Dato’ Wan Abdul Aziz malam tadi.

KP JAKIM itu pula sebenarnya sangat dekat di hati kami khususnya ketika beliau menjadi pengetua Darul Quran JAKIM. Ust Albelurani boleh mengesahkannya kerana beliau sempat bermudirkan beliau. Sikapnya yang menyantuni pelajar termasuk dari Sabah memang diingati.

Sejak pertama kali mendengar syarahannya sehingga kini, saya memang meminati butir ucapan beliau yang berlemah lembut, berhemah dan berisi.

Kepada yang hadir khususnya para pendakwah, Dato’ KP berpesan tentang 3 perkara. Integriti, bijaksana dan bertenaga. Sementara tunjangnya adalah niat yang ikhlas.

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (2)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (3)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (4)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (5)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (6)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (7)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (8)

 

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (9)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (10)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (11)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (12)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (13)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (14)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (15)

Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah 2009 (16)

Ust Hj Mustakim Mohd Noor

“Sesiapa mengasihi aku, orang itu bersama aku di dalam syurga”.

“Mudah-mudahan kita bertemu di dalam syurga, kerana kita kasihkan Nabi dan kasihkan dakwah Islam ini”, kata beliau.

Demikian Ust Hj Mustakim Mohd Noor memulakan bicara, memetik sebuah sabda Junjungan SAW dalam forum Nadwah Pewaris Nabi sabtu lalu.

Sepertimana rakan-rakan pendakwah, para peserta yang hadir dalam nadwah berkenaan cukup gembira dan berterima kasih dengan program berkenaan.

Termasuk Ust Mustakim yang sudah kembali ke Johor, kunjungannya ke Sabah kali ini cukup bermakna.

Minggu sebelumnya, JHEAINS memberi anugerah ‘Jasamu dikenang’ kepada beliau yang telah berjuang lama menyampaikan Islam di Sabah.

Selepas itu, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) pula menjemput beliau dalam program nadwah yang menampilkan beliau sebagai panel forum. Bertemu rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama berdakwah sejak 30-40 tahun lalu cukup menggamit perasaan mereka.

Ust Hj Mustakim yang dilahirkan pada 15 Januari 1928 datang ke Sabah pada 1973. Islam dimartabatkan sebagai agama rasmi negeri Sabah setahun sebelumnya.

Ketika itu, sekolah-sekolah agama di Sabah terlalu kekurangan guru agama. Beliau, bersama rakan-rakan lain telah datang membantu. Khusus beliau sebutkan Datuk Hj Ahmad Othman (mantan timbalan mufti) yang ketika itu menjadi teras dan menyusun pelajaran agama Islam di Sabah.

SINAR USIA

Ketika mula hadir ke Sabah, beliau diminta oleh setiausaha MUIS untuk membantu USIA mengerakkan dakwah Islam.

Bersama rakan-rakan, mereka menubuhkan satu kumpulan pancaragam nasyid bernama Sinar USIA. Kumpulan ini sedikit sebanyak telah membantu dakwah sehingga mendapatkan lebih 100 ribu pengislaman.

Penyanyi kumpulan ini ialah Ustazah Hjh Maliah Muda (Allahyarham) dan Ustazah Hjh Alinsam dari Kota Belud. Pemain gitar ialah Ust Hj Jalidar Abd Rahim dan dibantu oleh Ust Hj Umar Sidik (Allahyarham).

Pembantu penyanyi ialah Hj Yasin Matusin dan Ust Hj Ghazali Sulaiman. Sementara beliau sendiri biasanya tampil sebagai pengacara majlis. Amat melucukan katanya, lagu paling popular ialah ‘Enjit-enjit semut’.

Kumpulan ini dibawa ke mana-mana dalam majlis-majlis pengislaman, antaranya termasuk ke Kudat, Pulau Banggi, termasuk di Tulid Pensiangan (12 batu dari Keningau).

Keadaan itu berlanjutan sehinggalah timbul kemudiannya kumpulan-kumpulan nasyid lain di Sabah dan mereka pun mengundur diri.

Selepas itu ustaz bertukar ke MUIS sebagai guru agama. Antara tugasnya ialah mengajar imam-imam seramai 28 orang seluruh Sabah.

Beberapa tahun, beliau berpindah pula ke Maktab Sabah. Tidak lama, kembali ke MUIS sebagai penyelia pendidikan.

Banyak juga beliau bertukar lokasi dan jawatan selepas itu, antaranya pernah ke SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, Rumah Anak Yatim Tambunan dan beberapa tempat lain.

ISTANA NEGERI

Dalam tempoh itu juga, Ustaz pernah dipinjamkan ke Istana Negeri berkhidmat sebagai penasihat agama, hadir bergilir-gilir ke Istana dengan Ust Hj Zawawi dari Kelantan. Ia berlaku selama 7 tahun sehingga Tun Said Keruak menamatkan tugas sebagai TYT.

Pada zaman Tun Sakaran sebagai TYT beliau kembali ke Istana sebagai Pegawai Agama Istana Negeri untuk 4 tahun berikutnya sehingga tahun 2000.

Sejak itu beliau kembali ke kampung halaman di Pontian Johor sehingga kini.

Perlu juga diingat bahawa dalam beberapa tempoh tertentu, ustaz juga pernah menganggotai serta mengetuai Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah sehingga beliau kembali ke Johor.

Ketika dalam tingkatan 3 (1994), ustaz pernah merasmikan satu program GAPIS di Pusat Latihan Dakwah Kundasang.

Kenangan bersama beliau pula dapat kami kecapi lebih rapat apabila salah seorang anak beliau – Mohd Nadzri @ Syem adalah rakan sekolah di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah (1991-1996) dan di Maahad Tahfiz al-Quran (1997-1999).

Dengan hubungan akrab itu kami kerap ke rumah mereka di Kg Likas, serta beberapa kali berkunjung ke Istana Negeri dan rumah Tun Sakaran Dandai di Likas untuk menyertai program keagamaan semasa Ust Mustakim menjadi pegawai agamanya.

Teringat lagi ketika itu betapa ‘sakai’nya kami apabila dibawa ke Istana Negeri untuk majlis keagamaan di sana buat beberapa kali. Teringat juga layanan istimewa pakcik makcik para petugas di sana kepada kami.

Ketika kami hendak mengambil peperiksaan diploma tahfiz di Darul Quran Kuala Kubu Baru pada 1999, kami membuat kunjungan hormat ke atas Tun Sakaran di Istana Negeri. Ust Mustakim juga masih menjadi pegawai agamanya.

Sungguh tidak disangka, 8 tahun kemudian saya pula berada di situ.

Nadwah Pewaris Nabi 2009 (10)

%d bloggers like this: