Seminar Rasm Uthmani N Sabah (17)

Anak muda ini adalah siswa baru di Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah, yang beroperasi di Kepayan Kota Kinabalu.

Berasal dari Kg Tamau Kota Belud, suku iranun dan berumur 18 tahun. Sebelum ke Maahad Tahfiz, Fikri pernah belajar di SMKA Tun Said Kota Belud dan di SMK Taun Gusi Kota Belud.

Dalam majlis perasmian Seminar Rasm Uthmani Peringkat Negeri Sabah 2009 yang disempurnakan oleh YB Datuk Hj Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri pada selasa lepas, Fikri tampil sebagai qari undangan.

Dalam mesyuarat persiapan bagi mengadakan seminar ini, saya dipertanggungjawabkan untuk mengatur qari dari Maahad Tahfiz. Saya hubungi Ustazah Dg Masni selaku pensyarah al-Quran dan Qiraat di sana untuk memilih siswa yang bersuara baik.

Ustazah Dayang membimbing daripada sudut ilmu qiraatnya, sementara Datuk Mokhtar Rapok pula daripada seni tarannumnya.

Md Fikri membaca surah al-Fatihah dan surah al-Humazah secara tarannum dengan qiraat Imam al-Kisa’ie, salah seorang daripada 10 imam qiraat yang masyhur dan mutawatir.

Bacaannya diamati oleh ratusan audien di dalam dewan termasuk ahli qiraat seperti Dato’ Sallehuddin Omar al-Hafiz, Ust Abd Rahim Md Zin al-Hafiz dan Sheikhul Maqari Ust Hj Othman Hamzah.

Memang suara Fikri bagus dan jika bersungguh-sungguh, dia boleh menjadi qari yang baik pada masa hadapan. Insya Allah. Selepas majlis itu, saya ada  bertemunya, mengucapkan tahniah dan berharap dia terus memperbaiki diri.

Membaca al-Quran dengan qiraat dan riwayat selain Imam ‘Asim dan Hafs, kebiasaannya memang menarik perhatian audien, kerana ia jarang didengar. Apatah lagi di negeri Sabah ini, ilmu qiraat begitu terasing sekali.

Salah satu tujuannya ialah hendak memaklumkan audien betapa ilmu pembacaan al-Quran ini begitu luas sekali, sebagaimana yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dengan perantaraan Jibril AS.

Dengan itu, ia boleh meransang umat Islam untuk terus menerus mempelajari ilmu yang berkaitan tentang al-Quran, termasuk tentang soal pembacaannya, tafsiran, hukum hakam dan pengamalannya.

Seminar Rasm Uthmani N Sabah 2009 (18)

Seminar Rasm Uthmani N Sabah 2009 (19)