Archive for 13 November 2009


JEFRI SIMAN

Jefri Siman

Jefri Siman, satu nama yang tidak asing dalam dunia nasyid khususnya di negeri Sabah.

Meski sudah berumur 58 tahun, saya selesa memanggilnya abang Jef. Orangnya murah dengan senyuman dan banyak berdiplomasi dalam apa juga urusan.

Abang Jef orang lama dalam perkhidmatan kerajaan khususnya di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 1975 sebelum diserap sebagai kakitangan JHEAINS sejak penubuhannya pada 1996.

Ketika menyertai MUIS, pejabatnya masih lagi beroperasi di bangunan lama SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah. Bangunan Wisma MUIS ini hanya siap sekitar tahun 88/89.

Abang Jef berasal dari Sungai Manila Sandakan. Sejak bertugas pada 1 Mei 1975 dahulu, sudah banyak bahagian di MUIS dan JHEAINS ini disertainya. Pernah di pentadbiran, dakwah, JHEAINS Pantai Barat Selatan.

Beliau sudahpun bersara wajib pada 2007 tetapi diambil semula bertugas di bahagian kami sehingga kini. Kisah-kisahnya berkenaan dunia nasyid sering menjadi bualan kami.

Walaubagaimanapun, pengalaman berharga sudah tentu apabila dapat berkhidmat bersama para alim ulama’ dan pendakwah yang pernah dan sedang bertugas di jabatan ini.

Suara jantannya menyebabkan dia sering dipinta menjadi pengacara dalam majlis-majlis kerajaan dan awam, juga sudah membimbing berpuluh kumpulan-kumpulan nasyid sehingga kini.

Kumpulan terakhir yang dibimbingnya ialah kumpulan nasyid PERMATA iaitu siswa Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Beliau juga pernah mencipta lagu tema Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (BAKISA) dan lagu tema USIA bertajuk ‘USIA Melangkah Gemilang’.

Pada 2005, kerajaan negeri memilihnya sebagai tokoh nasyid al-Farabi atas sumbangannya terhadap perkembangan seni nasyid di negeri ini.

Tulisan ini saya dedikasikan kepada beliau yang bakal berangkat ke Tanah Suci pada ahad ini, 15hb bersama isteri tersayang Puan Rasidah Maun.

Sempena perjalanannya, pejabat bahagian kami mengadakan sedikit kenduri doa selamat pagi tadi. Catatan lain boleh dibaca di blog Abu al-Ghazali di sini.

Doa kami, semoga diberikan kesihatan dan dimudahkan untuk beramal ibadah di sana sehingga kembali ke tanahair pada 26 Disember nanti.

Hj Sotimin, Abg Jef dan Abg Miun

Seminar Rasm Uthmani N Sabah (17)

Anak muda ini adalah siswa baru di Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah, yang beroperasi di Kepayan Kota Kinabalu.

Berasal dari Kg Tamau Kota Belud, suku iranun dan berumur 18 tahun. Sebelum ke Maahad Tahfiz, Fikri pernah belajar di SMKA Tun Said Kota Belud dan di SMK Taun Gusi Kota Belud.

Dalam majlis perasmian Seminar Rasm Uthmani Peringkat Negeri Sabah 2009 yang disempurnakan oleh YB Datuk Hj Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri pada selasa lepas, Fikri tampil sebagai qari undangan.

Dalam mesyuarat persiapan bagi mengadakan seminar ini, saya dipertanggungjawabkan untuk mengatur qari dari Maahad Tahfiz. Saya hubungi Ustazah Dg Masni selaku pensyarah al-Quran dan Qiraat di sana untuk memilih siswa yang bersuara baik.

Ustazah Dayang membimbing daripada sudut ilmu qiraatnya, sementara Datuk Mokhtar Rapok pula daripada seni tarannumnya.

Md Fikri membaca surah al-Fatihah dan surah al-Humazah secara tarannum dengan qiraat Imam al-Kisa’ie, salah seorang daripada 10 imam qiraat yang masyhur dan mutawatir.

Bacaannya diamati oleh ratusan audien di dalam dewan termasuk ahli qiraat seperti Dato’ Sallehuddin Omar al-Hafiz, Ust Abd Rahim Md Zin al-Hafiz dan Sheikhul Maqari Ust Hj Othman Hamzah.

Memang suara Fikri bagus dan jika bersungguh-sungguh, dia boleh menjadi qari yang baik pada masa hadapan. Insya Allah. Selepas majlis itu, saya ada  bertemunya, mengucapkan tahniah dan berharap dia terus memperbaiki diri.

Membaca al-Quran dengan qiraat dan riwayat selain Imam ‘Asim dan Hafs, kebiasaannya memang menarik perhatian audien, kerana ia jarang didengar. Apatah lagi di negeri Sabah ini, ilmu qiraat begitu terasing sekali.

Salah satu tujuannya ialah hendak memaklumkan audien betapa ilmu pembacaan al-Quran ini begitu luas sekali, sebagaimana yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dengan perantaraan Jibril AS.

Dengan itu, ia boleh meransang umat Islam untuk terus menerus mempelajari ilmu yang berkaitan tentang al-Quran, termasuk tentang soal pembacaannya, tafsiran, hukum hakam dan pengamalannya.

Seminar Rasm Uthmani N Sabah 2009 (18)

Seminar Rasm Uthmani N Sabah 2009 (19)

%d bloggers like this: