Archive for 12 November 2009


Seminar Rasm Uthmani N.Sabah 2009 (1)

1) Alhamdulillah, program sehari berkenaan berjalan dengan jayanya dengan penyertaan lebih 700 peserta dari Kudat hingga ke Sipitang.

2) Peserta terdiri daripada para guru agama sama ada dari Jabatan Pelajaran Negeri, JAKIM atau JHEAINS sendiri; para imam, kakitangan kerajaan seperti KAGAT, BAKA, RTM dan lain-lain, pelajar sekolah dan orang awam.

3) Di pihak JHEAINS kami selaku urusetia, orang yang paling bekerja keras menurut pemerhatian saya ialah Timbalan Pengarah Ust Sidik Ag Adi, ketua kami Ust Musally Moksin dan Hj Hassan Wahab yang ke hulu ke hilir memastikan seminar berjalan dengan lancar.

4) Selain itu, sumbangan tenaga dan idea semua pihak sama ada rakan-rakan di JHEAINS, JAKIM dan Jabatan Pelajaran juga ada peranan tersendiri. Tidaklah dapat disebutkan nama satu-persatu. Hanya Allah SWT yang layak membalasnya.

5) Tidak ketinggalan empunya program yang sebenar iaitu KDN khususnya Ust Hj Abd Rani Osman, Ust Hj Rahimi Ibrahim, Pak Yunus Hashim, Ustazah Mahfozah dan seluruh anggota yang terlibat. Juga seluruh anggota KDN Sabah. Kesemua mereka bertungkus lumus menjayakan seminar ini.

Khabarnya, untuk kos pengangkutan barang terutamanya kertas kerja, aturcara, beg dan sebagainya dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu memakan kos sebanyak RM7000. Belum lagi kos lain.

6) Para penceramah yang budiman yang sudi turun ke Sabah memberikan ilmu kepada kami. Ust Abd Rahim Md Zain, Dato’ Sallehuddin Omar al-Hafiz, Sheikhul Maqari Ust Othman Hamzah yang mereka ini adalah antara otai-otai dan pakar tahfiz al-Quran di Malaysia.

Beruntunglah kita kerana mendapat bimbingan dan kepakaran mereka.

7) Ramai mengakui masa yang terbatas dan tempoh yang panjang diperlukan untuk memahami dan menghadamkan ilmu yang diajar oleh para pembentang. Hakikatnya ini hanyalah sebagai pembuka jalan untuk kita terus mendalami ilmu berkaitan rasm uthmani.

8) Kepada seluruh peserta, terima kasih kerana hadir.

Seminar Rasm Uthmani N.Sabah 2009 (2)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (3)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (4)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (5)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (6)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (7)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (8)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (9)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (10)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (11)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (12)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (13)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (15)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (15)

Seminar Rasm Uthmani N. Sabah 2009 (16)

Ust Hj Mohd Iyen Atim

Pada zaman pemerintahan kerajaan USNO di Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun ada menghubungi pemerintah Indonesia bagi memohon jasa baik para pendakwah agar datang ke Sabah menyebarkan Islam.

Di antara panduan yang diberikan ialah para pendakwah itu mestilah berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Imam asy-Syafii. Lalu dipilihlah sebuah institusi pendidikan yang terkenal di Medan Indonesia, iaitu al-Wasliyyah.

Diadakan temuduga, dan yang dipilih hanya seramai 18 orang. Diantara yang terpilih itu ialah Ust Hj Muhammad Iyen bin Atim, salah seorang bekas penuntut di sana.

Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa nama sebenar tokoh pendakwah di Sabah ini ialah Syahrin Muhammad Yatim, kini berusia 76 tahun.

Berasal dari Kecamatan Tanjung Beringin Bedagau, Kabupaten Deli Serdang, Propinsi Sumatera Utara, Indonesia. Merupakan anak kedua dari empat beradik dan beliau adalah anak lelaki tunggal.

PENDIDIKAN

Pendidikan awalnya melalui dua sesi. Sebelah pagi, belajar di Sekolah Dasar, sementara pada sebelah petang bersekolah di Madrasah al-Jamiyatul Wasliyah peringkat ibtida’ie selama 6 tahun.

Di peringkat menengah, sebelah pagi beliau belajar di Sekolah Guru Islam selama dua tahun. Setelah sekolah tersebut diubahsuai menjadi Pendidikan Guru Agama (P.G.A) beliau terus belajar selama 3 tahun lagi.

Pada sebelah petang pula, beliau belajar selama 3 tahun di Madrasah Al Jam’iyyatul Wasliyah Kotapraja Tebing Tinggi Deli, sehingga tamat pengajian pada tahun 1954.

Ust Hj Md Iyen melanjutkan pendidikannya ke sekolah peringkat atas, iaitu Qismul ‘Ali, selama 3 tahun yang setaraf dengan ijazah sarjana muda.

Ust Hj Md Iyen melangkah ke Universiti Al Wasliyyah pada tahun 1957, malangnya beliau hanya sempat bertahan di universiti selama dua tahun kerana kedua orang tuanya tidak mampu membiayai kos sara pendidikannya.

Sejak itu, Ust Hj Iyen menanam semangat iltizam di dalam jiwanya agar memastikan semua anaknya nanti akan menjadi graduan universiti.

AKTIVITI

Rupanya Ust Hj Md Iyen adalah seorang yang aktif ketika zaman persekolahan dan awal kerjayanya.

Antaranya, pernah menjadi Ketua Umum Ikatan Pelajar al-Wasliyyah di Tebing Tinggi Deli dan Setiausaha 1 Gerakan Pemuda al-Wasliyyah Tebing Tinggi Deli.

Dalam siasah, al-fadhil ustaz pernah menjadi Setiausaha II Gerakan Pemuda Islam Indonesia Kecamatan Tanjung Beringin, dan turut menganggotai Partai Islam MASYUMI sehingga dibubarkan oleh kerajaan Indonesia.

BERANGKAT KE SABAH

Menceritakan detik ketibaan mereka secara berperingkat, al-Fadhil Ustaz Iyen datang pada 1 April 1974 bersama rakan-rakan lain.

Ust Iyen dihantar ke daerah Ranau, sebuah daerah pelancongan tempat beradanya gunung kinabalu yang tersergam indah.

Beliau berada di Ranau selama 2 tahun sebelum dipindahkan ke SM Islamiah Buang Sayang Papar yang baru dibuka ketika itu.

(Ada gambar istimewa tanpa tarikh saya perolehi dari pejabat kami di Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS, merakamkan detik Ust Hj Md Iyen sedang mengajar di SM Islamiah Papar antara 1977-1984. Gambar hitam putih ada di bawah).

Di sekolah ini, Ust Hj Md Iyen bertugas selama 8 tahun sebelum dipindahkan pula ke MUIS Kota Kinabalu khususnya di Bahagian Sebaran Am.

Meski di MUIS hingga ke JHEAINS ditempatkan sebagai pengarang, jemputan dan undangan turun ke masyarakat untuk berceramah ke seluruh pelusuk Sabah tetap diterima dan dipenuhinya.

Menurut ustaz, sehingga kini hanya daerah Pensiangan yang belum dimasukinya. Motto ‘Di mana bumi dipijak, di situ dakwah dijunjung’ sentiasa menjadi pegangan beliau.

Perkahwinan bahagia bersama Hjh Robiyatun Sekah, mereka dikurniakan 6 orang anak – 2 anak lelaki dan 4 anak perempuan, iaitu Shofriza Washlaini, (BA Pengajian Islam UKM Bangi dan Dip. Pendidikan), Laila Hijrah (BA Sains Industri USM dan Dip. Pendidikan), Dr. Mohd Iqbal (BA Perubatan), Intan Rasyida (sedang menuntut di universiti), Nurun Nazhifah (sedang menuntut), dan Badrul Ilmi (sedang menuntut).

Dalam usia 76 tahun kini, walaupun sudah bersara sebagai warga JHEAINS, ustaz masih aktif berceramah ke sana dan ke sini, mengisi program di masjid, surau dan pejabat-pejabat, menjadi hakim tilawah dan nasyid anjuran pelbagai pihak.

Bagi peribadi saya, saya mengenali lebih dekat dengan beliau ketika kami memulakan pengajian di Maahad Tahfiz al-Quran yang ketika itu berpusat di Masjid Negeri Sabah. Ust Iyen dijemput memberikan ceramah dan motivasi kepada kami sebagai perintis awal.

Sejak itu nama beliau saya ingati sehingga kini. Semoga Allah SWT memberi kesihatan kepada ustaz sekeluarga dan dapat menyampaikan Islam sehingga akhirnya.

(Maklumat ini saya kumpulkan antara lain melalui penceritaan Ust Hj Md Iyen sendiri, wawancara siswa DPI UMS bersama Ust Iyen dibawah seliaan Ust Azam dan pengalaman peribadi saya sendiri).

Ust Hj Md Iyen Atim 2

Ust Hj Md Iyen Atim ketika bertugas di SM Islamiah Papar lebih 30 tahun lalu

%d bloggers like this: