Archive for 10 November 2009


UMNO : AKHIR SEBUAH IMPIAN

Buku yang baru dibaca :

UMNO : Akhir Sebuah Impian

“..tetapi biarlah saya katakan bahawa krisis politik yang kita lihat sekarang ini banyak bermula dari tahun 1976 ini.

Hussein sendiri dicabar oleh seorang ahli UMNO yang tidak begitu terkenal, Sulaiman Palestin dari Pulau Pinang pada 1978. Dari situ Hussein sudah sedar ada mainan politik dalaman yang cuba menjatuhkan beliau.

Apabila Hussein meletak jawatan pada tahun 1981, Dr Mahathir menggantikannya. Dengan itu  mereka yang sudah lama mengidam jawatan terus sahaja menggerakkan jentera untuk menjatuhkan Dr Mahathir pula. Itulah yang berlaku sejak lebih tiga dekat yang lalu dalam UMNO.

Ironinya ialah pengganti Dr Mahathir, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak pernah dicabar sewaktu memegang jawatan Presiden UMNO tetapi semua orang tahu dia terpaksa melepaskan jawatan kerana tekanan dalaman parti”.

“Tetapi tidak ramai orang tahu bahawa saya secara peribadi telah menemui Hussein Onn memujuk beliau berkali-kali untuk menyertai UMNO Baru. Dengan gaya beliau yang sentiasa gentlemen itu, beliau menolak pelawaan saya.

Sampai ke akhir hayatnya, beliau enggan memberitahu saya sebab beliau tidak mahu menyertai UMNO Baru. Mungkin ada sesuatu yang pedih di antara beliau dan Dr Mahathir.

Saya juga menemui Tunku Abdul Rahman untuk mengajak beliau menyertai kami. Saya juga bertanya beliau sama ada beliau sudah memaafkan Dr Mahathir (yang mengecam Tunku pada akhir tahun-tahun 1960-an sehingga Dr Mahathir dipecat dari UMNO).

Jawapan Tunku : “Macam mana I nak maafkan dia? Dia tu jenis manusia yang tak boleh dipercayai langsung!”

******

Penulis : Tan Sri Mohamed Rahmat, Mantan Menteri Penerangan dan SU Agung UMNO dan BN sepanjang tahun-tahun 1980an dan 1990an.

Kerjaya politiknya bermula pada usia 20an dan telah berkhidmat di bawah pentadbiran Tunku Abd Rahman, Tun Abd Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir.

Beliau dilahirkan pada 1938 di Johor Bahru, buku ini adalah hasil tulisan pertama beliau yang menceritakan pengalaman politiknya dalam pergolakan UMNO sejak zaman Tunku lagi.

Penerbit : The Malaysia Insider.

Ust Hj Abu Huraira Abd Rahman

Apabila kami bersetuju mengadakan Nadwah Pewaris Nabi, antara pengisian program ialah satu forum yang santai.

Kami tidak bercadang untuk mengadakan pengisian yang berat dan terlalu ilmiah, memandangkan mungkin 80% yang hadir itu adalah mereka yang sudah pencen dan berpengalaman dalam dunia dakwah ini.

Panel yang kami persetujui ialah Ust Hj Abu Huraira Abd Rahman, Ust Hj Mohd Iyen Atim, Ust Hj Mustakim Mohd Noor dan Datuk Hj Din Sulai – yang kemudian diganti pada saat akhir oleh Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah Md Taha kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

Catatan ini akan menceritakan secara bersiri biodata ringkas mereka.

UST HJ ABU HURAIRA ABD RAHMAN

Berumur kini 70 tahun, beliau berasal dari Cotabatu, Mindanao. Mendapat pendidikan di State University of Filiphina di Mindanao sehingga mendapat diploma dalam fakulti pendidikan.

Demi minatnya mendalami bahasa Arab, kemudiannya beliau meneruskan pengajian di Maahad ar-Rahmaniyyah Mindanao selama 7 tahun.

Beliau mengembara lagi ke Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pada 1964-1971 untuk mendalami bidang dakwah dan usuluddin.

Amat menarik juga al-Fadhil ustaz pernah membuat penyelidikan tentang perbandingan agama di Baitul Maqdis Jurussalem selama 5 bulan bagi memenuhi kehendak tugasan universiti sebelum Baitul Maqdis dikuasai oleh Israel.

Kami pernah dimaklumkan bahawa ketika di Madinah, antara tokoh negara yang sempat bersama ialah Dato’ Dr Abdullah Md Zin (mantan menteri agama di JPM), Dato’ Hj Harun Taib dan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas tamat di Madinah pada 1971, beliau kembali ke Mindanao untuk mengendalikan satu maahad yang berasaskan bahasa arab. Tidak sampai setahun, kawasan mereka diserang oleh tentera Marcos ketika itu dan mereka terpaksa lari ke hutan selama 3 tahun.

Pada 1974, apabila kerajaan Malaysia di bawah Tun Abd Razak membuka satu siaran radio yang disiarkan ke Filipina dalam bahasa Moro, dicari seorang guru agama dari sebelah Filipina untuk tampil di radio berkenaan.

Oleh kerana berlaku ketegangan antara Manila dan Kuala Lumpur pada saat itu, maka guru agama yang boleh berbahasa inggeris dicari dari sebelah Moro @ Mindanao.

Maka nama Ust Hj Abu Huraira ditunjukkan oleh rakan-rakannya untuk datang ke Sabah pada 1974. Beliau bertugas sepenuh masa dengan RTM dalam siaran radio berbahasa tagalog ke seluruh Filipina selama 9 tahun.

Pada 1983, Tun Mustapha memerlukan tenaga dakwah untuk diserapkan ke dalam USIA. Oleh kerana Ust Abu Huraira adalah keluaran Universiti Madinah, dan Allahyarham Tun sendiri memohon bantuan kerajaan Arab Saudi, maka Ust Abu Hurairah terus menerima pelawaan berkenaan langsung dari Darul Ifta Saudi.

Ust Abu Huraira dikenali sebagai pendakwah yang menghafaz al-Quran dan bible. Beliau pernah memberitahu kami, beliau menghafaz al-Quran di Madinah sebanyak 27 juzu’ sahaja. Yang tidak dihafaz ialah beberapa juzu di pertengahan al-Quran.

Satu keistimewaan beliau ialah beliau mengingati dan menghafaz al-Quran dan bible dengan nombor ayat dan surahnya sekaligus.

Dalam mana-mana ceramah dan tazkirahnya yang biasa berselang seli antara bahasa melayu dan inggeris, beliau akan menyelitkannya dengan hujjah al-Quran dan bible sekali dengan nombor ayatnya sebagai rujukan pendengar.

Tahun lalu, apabila kontrak beliau dengan kerajaan Arab Saudi sudah tamat kerana umur yang meningkat dan sebelumnya pun beliau sudah disambung sebanyak 2 kali, maka kini beliau bergerak sepenuh masa di bawah USIA atas pandangan dan saranan Tun Hj Sakaran Dandai.

CABARAN SEKARANG

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan beliau, terdapat dua cabaran utama iaitu dalaman dan luaran. Cabaran dalaman merujuk kepada pertelagahan umat Islam yang enggan menjadikan al-Quran dan sunnah Rasul sebagai rujukan.

Sementara cabaran luaran ialah gerakan Kristianisasi khususnya yang melanda Sabah. Beliau sendiri satu ketika ditemani Dr Hasbullah pernah berdialog dengan 25 orang paderi di Sacret Heart beberapa tahun lalu (2003/2004).

Oleh itu, beliau sangat bersetuju agar para pendakwah bersatu menghadapi dan menangani ancaman-ancaman ini sekaligus meningkatkan kemahiran dalam bidang dakwah masing-masing.

TINDAKAN

Sangat rugi sebenarnya kata beliau melihat umat Islam dan para pendakwah secara khusus tidak meningkatkan kemahiran dalam bidang dakwah khususnya dalam perbandingan agama.

Seorang rakannya dari Sekretariat Dialog Antara Agama di Vatican City memiliki PhD dalam pengajian Islam. Rakannya itu boleh membaca al-Quran, boleh berbahasa Arab kerana pernah belajar di Lubnan dan Kaherah.

Seorang paderi Katholik yang berlatih di Filipina mengakui mereka mempelajari al-Quran meski kita mengetahui bahawa tujuannya untuk kononnya mencari kelemahan dan kesilapan al-Quran dan Islam.

Mengambil pengajaran daripada itu, sewajarnya ada di kalangan pendakwah yang mendalami ajaran Kristian dan agama-agama lain.

Selain itu, kerja-kerja dakwah harus dikoordinator secara bersama dengan institusi, agensi dan NGO Islam yang terdapat di negeri ini.

Teringat dengan ucapan Ust Hj Muchlish pada Nadwah berkenaan, yang menyebabkan ramai audien termasuk saya begitu sebak dan mengalirkan air mata ialah apabila mengenangkan kegigihan Ust Abu Huraira menepis dakyah kristian menerusi hujjahnya yang petah dan mantap dalam keadaan tubuh dan fizikalnya mulai uzur.

Sesiapa yang perasan keadaan solatnya khusus ketika duduknya Ust Abu Huraira sudah tidak begitu lurus dan terpaksa membongkok sedikit.

Dengan nada sayu, Ust Muchlish mendoakan agar  sahabatnya itu diberikan umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk terus berbakti demi agama ini.

Ust Hj Abu Huraira Abd Rahman 2

%d bloggers like this: