Archive for 9 November 2009


UCAPTAMA YDP PUM

Dato' Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir

Saya amat tertarik dengan ucaptama YDP Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dato’ Sheikh Hj Abdul Halim Abdul Kadir di dewan serbaguna USIA sabtu lepas.

Memulakan ucapannya dengan menyatakan bahawa Allah SWT memanjangkan umurnya sehingga 78 tahun kini atas janjinya untuk berkhidmat kepada Islam setakat yang termampu.

Sambil  menyatakan penghargaan PUM kepada seluruh para pendakwah di Sabah, beliau mengakui perit dan cabaran besar yang dihadapi oleh petugas-petugas agama ini.

“Kerja Nabi dan Rasul lebih banyak susah daripada senang, lebih banyak cabaran daripada keuntungan”.

Nadwah berkenaan mengumpul sekitar 100 orang pendakwah lama terdiri dari para ustaz ustazah, imam, dan petugas dakwah dan dirasmikan oleh Tun Hj Sakaran Dandai, YDP USIA.

Dato’ Sheikh Abdul Halim menyatakan pengiktirafannya kepada yang hadir sebagai barisan terpilih di kalangan pekerja dakwah di negeri ini.

TAULIAH DARIPADA ALLAH

Firman Allah SWT : “Katakanlah (wahai Muhammad kepada para pengikutmu), inilah kerja aku dan kerja orang yang mengikutiku, iaitu aku menyeru kepada Allah dengan ilmu dan yakin..” (Yusuf 108)

Di bawah peruntukan “..orang yang mengikutiku..” itu menurut Dato’ Sheikh Abdul Halim, kita bergerak dan sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW kita kena buat kerja meninggikan agama Allah SWT ini.

DAKWAH FARDIYYAH & JAM’IYYAH

Dato’ YDP PUM juga memetik pendapat Dr Abdullah Nasih Ulwan berkenaan positif dan negatif dakwah digerakkan secara sendirian, berkumpulan sama ada skala kecil atau besar.

Apa yang beliau kehendaki ialah penilaian dibuat mengikut suasana dan iklim setempat untuk diterapkan kesesuaiannya.

Hanya diakhirnya, beliau mengingatkan bahawa tatkala musuh Islam bergabung untuk menyerang Islam, apakah kita masih mahu bersendirian?

Yahudi dan Kristian menurut beliau tidak pernah ‘ngam’ dan berbaik, tetapi demi untuk menyekat kebangkitan Islam mereka boleh bertolak ansur.

Nadwah Pewaris Nabi (6)

Nadwah Pewaris Nabi (7)

Nadwah Pewaris Nabi (8)

Dato' Sheikh Hj Abdul Halim Abdul Kadir

Dato’ Asy-Syaikh Hj Abdul Halim Abdul Kadir, telah dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bagi penggal kedua dalam mesyuarat tahunan perwakilan kali ke-30, bagi sesi 2009-2011.

Beliau adalah YDP PUM yang kelima sejak NGO berkenaan ditubuhkan pada 1974.

Peneraju PUM sebelum ini ialah Hj Nik Muhammad Muhyiddin Musa (1974-81), Hj Ahmad Awang (1981-99) Hj Abd Ghani Shamsuddin (1999-2003), Dato’ Hj Salleh Hj Ahmad (2003-2007).

Asy-Syaikh Hj Abdul Halim merupakan anak kelahiran Jertih Besut Terengganu pada 1935.

Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah agama di Pondok Jertih sebelum melanjutkan pelajaran menengah rendah pada 1953 di Darul Ulum, Makkah al-Mukarramah seterusnya ke Masjidil Haram Makkah sehingga 1959.

Dalam tempoh berkenaan, beliau juga menuntut di al-Maahad al-Ilmi as-Saudi Madinah sebelum ke Universiti al-Azhar Mesir dalam kuliah sarjana muda syariah antara 1960-1965.

Kerjaya beliau bermula pada 1967 sebagai penolong nazir guru-guru agama Kelantan. Pada 1978, beliau ditukar menyandang jawatan pensyarah pendidikan Islam di Maktab Seri Kota, Kuala Lumpur.

Pada 1985 beliau menjawat Penolong Pengarah Agama dan Dakwah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga 1990.

Setelah bersara, beliau ditawarkan sebagai pensyarah (kontrak) di Maktab Perguruan Islam, Bangi Selangor selama 2 tahun 1993-1994.

Pada julai 2000-2004, beliau dilantik sebagai Mufti Negeri Terengganu – pada zaman pemerintahan kerajaan PAS pimpinan YAB Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang selaku Menteri Besar ketika itu.

Beliau pernah aktif dan melibatkan diri dalam gerakan-gerakan dakwah dan pertubuhan Islam seperti ABIM, MUAFAKAT, PUM dan sebagainya. Juga pernah menguruskan Koperasi Muslimin dan masih aktif sehingga kini.

Disamping itu, beliau merupakan Ahli Pangkuan Diraja Istana Terengganu dan beliau layak menggunakan gelaran Yang Berhormat atas kepercayaan yang diberikan oleh Sultan Terengganu bagi menjawat ahli majlis tersebut.

%d bloggers like this: