Archive for 8 November 2009


JEJAK KASIH

Nadwah Pewaris Nabi 2009 (1)

“Ismak? Enta Mustaqim?” Soal Dato’ Sheikh Hj Abd Halim.

Rupanya Nadwah Pewaris Nabi yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Urusetia Sabah dengan kerjasama JHEAINS, JAKIM & USIA telah menemukan ramai yang terpisah.

Yang Dipertuanya sendiri, Dato’ Sheikh Hj Abd Halim Abd Kadir di penghujung majlis baru perasan salah seorang panel forum iaitu Ust Hj Mustakim Mohd Noor, bekas pegawai MUIS dan Istana Negeri satu ketika dahulu adalah rakan sepengajian di tanah haram Makkah 50 tahun lalu.

Detik ini kami rakamkan di hadapan lebih 100 tetamu istimewa yang hadir. Kelihatan di dalam gambar juga Tun Sakaran tersenyum melihat pertemuan bersejarah itu.

Bahkan Dato’ Sheikh juga menyatakan bahawa Datuk Hj Ahmad Othman, mantan timbalan mufti Sabah yang turut hadir walaupun kelihatan uzur adalah rakan sepengajian di sana. Datuk Hj Ahmad turut mengesahkannya.

Allah, gembiranya kami dapat menggembirakan para ulama’ ini.

Nadwah Pewaris Nabi 2009 (2)

Nadwah Pewaris Nabi 2009 (3)

Dari kiri : Datuk Hj Ahmad Othman (mantan timbalan mufti Sabah), Dato’ Sheikh Hj Abd Halim Abd Kadir (YDP PUM), Ust Hj Mustakim Mohd Noor (mantan pegawai agama Istana Negeri Sabah @ mantan pengerusi PUM Sabah), Tun Sakaran Dandai (YDP USIA) dan Datuk Hj Abdullah Hussin (SU Agung USIA).

Liputan lanjut program ini akan saya ulas sedikit demi sedikit.

 

Md Jamri Ag Damit

Saya memulakan kelas mengaji al-Quran di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) pada 7 April 2008.

Asalnya bermula dengan permintaan salah seorang warga di sana, abang Rusdi Belun.

Anaknya Md Nazri sebelum itu pernah mengaji dengan saya di Masjid Negeri semasa saya bertugas di sana, dan ketika di Istana juga kelas berkenaan masih berjalan.

Cukup sebulan saya berpindah ke JHEAINS di Wisma MUIS, abang Rusdi terus menangkap saya menyatakan hasrat mereka.

Pelawaan itu saya sambut dengan senang hati dan tanggungjawab. Memang kegemaran saya mengajar mengaji, dan masa rehat isnin – khamis dimanfaatkan di pejabat mereka.

Kelas bermula dengan 3 orang. Hj Said Osman, Hj Matni Untong dan Rusdi sendiri. Ia kemudian berkembang dan bertambah sehingga pernah mencecah 18 orang secara keseluruhannya menurut perkiraan saya.

Sebagaimana kelas orang lain, ia ada pasang surutnya.

Ada yang bertahan sekali sahaja, ada yang sanggup beberapa bulan, setengah tahun dan sebagainya. Ada yang ‘berehat’ beberapa bulan sebelum muncul semula dan ada pula yang berehat terus.

Alhamdulillah, itu semua tidak menghalang kelas daripada terus berjalan sehingga hari ini.

Jarang sekali saya membatalkan kelas harian itu kecuali saya berada di luar kawasan atau benar-benar berhalangan. Biasanya, saya cari juga jalan untuk hadir walaupun lambat.

Minggu lepas, sudah ada 4 orang yang khatam. Saya tinggalkan coretan ikhlas tentang prestasi mereka di sini sebagai penghargaan saya kepada mereka berempat kerana ketabahan bertalaqqi bersama-sama.

Saya kurang pasti adakah akan bertemu mereka lagi setelah mengaji bersama sejak setahun setengah lalu.

Md Jamri Ag Damit memulakan kelas pada 6 Mei 2008 dan khatam pada 2 Nov lalu. Bacaannya sangat baik. Saya menjangka beliau mempunyai asas al-Quran yang baik, selain terlibat sebagai muazzin di masjid kampungnya di Takis Papar.

Hanya ada sedikit-sedikit kesilapan yang berlaku, mungkin kerana sudah terbiasa. Walaubagaimanapun, dia juga antara yang terbaik setakat ini.

Abd Mumin Rasam yang saya panggil ketua, kerana beliau seorang ketua kampung di Kg Cenderamata Likas. Beliau menyertai kelas ini pada 22 April 2008 dan khatam pada 3 November.

Saya melihat kesungguhan beliau mengaji, walaupun ada kalanya tersekat-sekat membetulkan makhraj dan sifat huruf. Walaupun ruang kesalahan itu masih boleh diperbaiki, beza antara dahulu dan kini sudah jauh berbeza.

Hassa Matjin, adalah yang paling menonjol dan terbaik daripada kalangan mereka. Jarang melakukan kesilapan bahkan bagi saya dia berada setingkat di atas berbanding yang lain. Semua mengakui kebolehannya.

Kebolehannya itu bagaimanapun tidak menghalang dia untuk terus bertalaqqi dengan saya sejak 16 April 2008 sehingga 3 November lalu. Diantara 4 yang khatam, kehadirannya sangat konsisten.

Hassa ini berumur 31 tahun dan masih bujang. Menurut khabar paling sahih, hatinya masih kosong daripada ditawan mana-mana lelaki. Yang berkenan dan serius, boleh menghubungi saya. Boleh saja jadi orang tengah.

Metan Julan, menyertai kelas sejak 17 April 2008 dan khatam bersama 3 yang lain pada 3 November lalu.

Walaupun perlahan, tetapi juga konsisten dan sering mendahului serta bersaing di hadapan berganti-ganti dengan Hassa hampir sepanjang tahun.

Masing-masing mereka berempat sudah selesai sehingga surah an-Naas, hanya menanti masa untuk mengadakan majlis khatam secara rasmi.

Jauh ketinggalan ialah Hj Said di pertengahan al-Quran, Kak Jijah pada juz 12, Puan Nurul di awal Ali Imran dan beberapa yang lain.

Sebagaimana kata Hj Said yang menyelia kelas ini, penyertaan sentiasa dibuka kepada yang berminat termasuk yang sedang berehat dan pernah mengaji sebelum ini.

Sering saya katakan kepada mereka, mengaji dan bertalaqqi memerlukan kesabaran dan istiqamah yang tinggi. Memang ada yang mahu cepat, sehingga hilang dan kurang sabar lalu mengundur diri.

Mungkin juga ada yang tidak tahan dengan gaya saya, wallahu a’lam.

Kepada yang khatam, bukanlah bermakna al-Quran terus ditutup dan tidak dibaca lagi. Proses berikut ialah memahaminya pula.

KK Abd Mumin Rasam

Hassa Matjin

Metan Julan

%d bloggers like this: