Allah SWT menjadikan sesuatu mempunyai matlamat dan tujuan. Maha Suci Allah Ia tidak mengadakan sesuatu dengan sia-sia.
Menerusi lima jari, orang-orang tua sering mengumpamakannya dengan lima karektor manusia. Ada orang tua, ada orang muda, ada orang dewasa, ada orang kaya dan ada kanak-kanak.
Jari kelingking biasanya diumpamakan seperti kanak-kanak kerana kecilnya. Meski kecil, kelingking tetap punya peranan dalam kehidupan manusia.
Lebih seminggu lamanya, jari kelingking di tangan saya terasa kebas. Rasanya seperti terkena semut-semut. Tidak terlalu sakit tetapi agak menyukarkan khususnya apabila menyuap makanan.
Hujung jari kelingking saya tidak dapat ditemukan dengan ibu jari. Apabila hendak menyuap makanan, kelingking ada sedikit tugas untuk mengangkat nasi di hujung jari sementara ibu jari menolak masuk ke dalam mulut.
Oleh kerana kedua-dua hujung jari itu tidak bertemu, banyak nasi berhamburan gugur semula.
Dua-tiga hari lepas, kedua hujung jari sudah boleh ditemukan tetapi rasa kebas masih terasa lagi. Sahabat seperjalanan saya ke Tuaran malam ini, Rustam kata jari kelingking ada peranan dalam bab korek mengorek.
Benarlah, nikmat sihat biasanya disedari ketika sedang sakit. Walaubagaimanapun alhamdulillah, saya masih punya jari.
“Wahai Tuhan, tidaklah Engkau jadikan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, maka hindarkanlah kami daripada siksa neraka”.