Archive for 29 Oktober 2009


 

Ust Zahazan Mohamed

Tarikh  : 30 Oktober 2009 (Jumaat)

Masa : 5-6 pagi

Tempat : Masjid Jamek Kg Likas, Kota Kinabalu

Umat Islam dijemput hadir.

Catatan ini saya buat berdasarkan sedikit pengalaman, pengamatan serta pemerhatian saya yang kerap melayari blog orang lain, rujukan buku-buku dan juga sebagai seorang blogger kecil-kecilan.

Catatan ini mungkin ada betulnya, mungkin juga salah. Pastinya  kekurangan sudah tentu ada.

1) Rajin menulis / mengemaskini.

Kehadiran ramai pengikut dan pelayar sebenarnya menjadi salah satu perangsang seorang blogger akan menulis lebih kerap. Blog yang selalu dikemaskini digemari pembaca kerana ada sesuatu yang baru akan dibacanya pada hari itu.

Sebaliknya, blog yang jarang dikemas, akan ditinggalkan orang. Pembaca rajin melayar, kerana kita rajin menulis. Setidak-tidaknya, 3-4 kali seminggu mengemaskini. Bukan mesti artikel yang panjang. Empat-lima perenggan sederhana sudah memadai. Contohi blog Mazidul TV3.

2) Bahasa mudah dan betul.

Bahasa yang mudah khususnya kepada sasarannya akan disenangi pembaca. Kalau artikel disasarkan kepada pelajar, gunakan bahasa yang bersesuaian. Sebaiknya elakkan ‘bahasa sms’ di dalam blog.

Saya dimaklumkan oleh seorang anggota polis yang menjadi pembaca tetap blog ini, satu bangunan pejabat mereka akan membuka blog ini setiap hari. Pada mulanya,  mereka beranggapan blog seorang ustaz hanya berkisar cerita hukum hakam saja. Pelbagaikan isi artikel dan cerita.

3) Label / tag  dan tajuk yang tepat.

Ini sangat membantu bagi orang yang sedang membuat carian sesuatu bahan artikel. Dapatan kepada kalimah yang dicari lebih tepat dengan meletakkan label dan tajuk yang mengena.

Kalau isunya tentang negeri Perak, label yang tepat adalah seperti Nizar, Sivakumar, Ganesan, Zamry Abd Kadir, Pakatan Rakyat, DUN Perak, dan sebagainya.

4) Perenggan untuk memudahkan bacaan.

Berdasarkan pengalaman peribadi, saya merasa payah membaca dan geram kepada artikel yang tidak berperenggan. Sebaiknya, 3-4 baris sahaja bagi setiap perenggan.

Layari dan contohi web atau blog-blog hebat seperti harakahdaily, malaysiakini, Dr Kamil Ibrahim, Tukar Tiub, Merah Tinta dan sebagainya.

5) Artikel yang tepat pada masa.

Artikel isu semasa akan menjadi tumpuan dan carian ramai.

Contohnya pada hari pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan, ramai orang hendak memuatturun bajet berkenaan. Begitu juga menjelang hari jumaat, carian yang meningkat ialah teks khutbah jumaat.

6) Promosi melalui komen, shoutbox, dan lain-lain.

Rajin-rajin melayari blog rakan-rakan dan meninggalkan komen dan URL masing-masing. Tetapi komen biarlah berasas dan berguna.

Begitu juga sisipan shoutbox. Sahabat Mujahideen Islam antara contoh blogger yang rajin singgah di shoutbox ramai orang. Itu juga membantu.

7) Serahkan URL kepada enjin carian.

Ketika blog dilancarkan pada peringkat awal, pilihan dibuat sama ada hendak dibuka kepada umum atau tidak. Ada orang menulis hanya buat tatapan suami, isteri atau ahli keluarga sahaja. Terpulang.

Jika kita hendak catatan kita dibaca ramai, buka ruang kepada bacaan umum khususnya artikel yang berkait dengan dakwah.

8) Berpaut-pautan.

Cari rakan-rakan lama dan baru yang mempunyai blog dan sertakan alamat blog mereka dalam pautan kita. Jangan lupa blog tokoh dan selebriti tertentu.

Berpaut-pautan akan mempercepatkan kenaikan trafik. Dalam masa yang sama, kita turut membantu trafik blog orang lain.

9) Petik artikel laman web / blog lain dengan menyatakan sumber.

Apabila kita berkenan dengan artikel dari web dan blog lain, nyatakan sumbernya. Selain merupakan satu adab, blog asal akan melayar semula artikel sumbangannya yang ada di blog orang lain.

10) Hebahkan alamat blog di luar alam siber.

Ketika kita berprogram seperti berceramah atau seumpamanya, hebahkan alamat blog kita kepada audien. Paling tidak, kita mendapat beberapa pelayar baru.

Jika tulisan kita baik dan menepati citarasa pembaca, dia akan menjadi pelayar tetap blog kita pula.

11) Berterima kasih secara peribadi kepada pelayar dan pemberi komen.

Jika ada masa terluang, balas pengomen artikel melalui emel. Nyatakan rasa terima kasih kerana kesudiannya melayari blog kita.

Jika ada blogger lain melayari blog kita (blog ke blog) nyatakan juga sikap yang sama iaitu berterima kasih, khususnya jika persinggahannya itu kali pertama.

Sayyid Abu al-A’la al-Maududi berkata : “Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan) dan lidah (berdakwah)”

Wallahu a’lam.

%d bloggers like this: