Ust Abd Ghani Shamsuddin

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa tokoh hebat ini pernah bertugas di Sabah satu ketika dahulu, walaupun hanya seketika sahaja.

Ust Hj Abdul Ghani Shamsuddin, 63 tahun berasal dari Masjid Tanah Melaka.

Pernah mengaji di Madrasah al-Junid, Singapura antara 1957-1964. Antara rakannya ialah Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah sekarang.

Menyambung pengajian selepas itu ke Mesir antara 1965-1974. Di sana, beliau mengaji di Maahad Bu’uth sebelum ke Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Perundangan.

Meneruskan dalam bidang sarjana dalam jurusan Fiqh Muqaran (Perbandingan Hukum) dan diploma pendidikan di universiti yang sama.

Kembali ke tanahair, ustaz berkhidmat sebagai guru agama di Sek Agama Syarifah Radhiah Melaka. Dalam masa yang sama, ustaz terlibat dalam ABIM sehingga diamanahkan sebagai Timbalan Presiden pada awal 80an.

Setahun mengajar di Melaka, ustaz kemudiannya beralih ke Institut Teknologi MARA, Shah Alam dan berkhidmat selama 7 tahun.

Pada awal 80an, ustaz dipindahkan ke ITM Cawangan Sabah, Kota Kinabalu. Tidak lama, sekitar 6 bulan sahaja di sana, ustaz mendapat perintah keluar dari Sabah dalam tempoh 48 jam oleh Ketua Menteri, Datuk Harris Salleh.

Kembali ke ITM Shah Alam sebentar, sebelum ustaz berpindah ke Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada 1981 sehingga bersara pada 2001.

Ustaz Abd Ghani juga bergiat aktif dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan diangkat sebagai Yang Dipertuanya pada 1999-2003, ketika itu menggantikan Ustaz Hj Ahmad Awang.

Kini beliau memimpin satu lagi gerakan Islam yang dinamakan sebagai Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Program terbaru yang disertai SHURA ialah Persidangan NGO Asean di Bangkok pada 16 Oktober lalu.

Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat, Ketua Lajnah IT dan Setiausaha Majlis Syura Ulama’.

About these ads