IMG_0231

Ada dua lagi yang saya anggap sahabat diberi peluang menunaikan haji pada tahun ini.

Abang Zulkifli Zakaria

Berumur 45 tahun, SU JK Surau Nur Hidayah Taman Olivia Kepayan.

Berasal dari Batu Kurau Taiping Perak, sudah berada di Kota Kinabalu selama 12 tahun dan sebelumnya 10 tahun di WP Labuan pada 1987-98.

Ketika di Labuan beliau bertugas di Rejemin Semboyan dengan pangkat terakhir sebagai leftenan. Di Labuan jugalah beliau bertemu jodoh dengan orang tempatan.

Setelah berhenti sebagai tentera, abang Zul beralih kerjaya sebagai Pegawai Kanan Pemakanan di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Kota Kinabalu.

Katanya bidang pemakanan adalah sesuatu yang diminatinya, tambahan lagi ketika dalam tentera beliau diberi peluang menyertai kursus berkaitan minatnya itu.

Perkenalan saya dengannya pula ialah sejak lebih 2 tahun lalu apabila saya memulakan kuliah di surau mereka. Kitab Riyadhus Solihin susunan Imam an-Nawawi menjadi pilihan untuk saya bentangkan kepada mereka.

Selaku setiausaha surau, beliau menunjukkan teladan yang baik apabila menjadi pengunjung tetap surau ini. Bahkan seringkali pula mengemukakan soalan-soalan kepada saya ketika kuliah berlangsung.

Setelah saya memulakan kuliah al-Quran dan tajwid di Surau Austral pada setiap rabu, beliau turut hadir dan belajar bersama-sama jamaah yang lain.

IMG_0234

****

Cikgu Khairani Danial @ Ben.

Berasal dari Kg Bakiau Keningau, Cikgu Ben mengaji al-Quran dengan saya sejak tahun 2005, ketika saya masih bertugas di Masjid Negeri Sabah.

Bersama sahabat akrabnya, Cikgu Adiah Mustafa kami bertemu pada setiap sabtu dan sehingga kini kelas itu masih berjalan.

Saya sangat respek dengan kedua-dua mereka kerana begitu sabar sekali. Sabar dengan tempoh mengaji al-Quran yang lama, sabar dengan karenah saya yang kadang-kadang naik suara, tetapi mereka masih mampu bertahan.

Kalaulah saya ingat-ingati suasana permulaan dengan kini, prestasi mereka sangat jauh berbeza. Walaupun ruang lemah masih boleh diperbaiki, sikap istiqamah dan tabah mereka itu saya puji.

Walaupun tahun ini kelas mengaji kami agak perlahan kerana hambatan kerjaya masing-masing, jika ada ruang kosong kami bertemu juga.

Cikgu Ben bertugas di Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri yang berpejabat di bangunan KUWASA sejak tahun 2000 dan sebelum itu di SMK Gunsanad Keningau.

Saya sedang mengusahakan agar satu kelas al-Quran diwujudkan di pejabat mereka pada waktu rehat tengahari hari bekerja, paling tidak seminggu sekali.

IMG_0351

Cikgu Khairani bertudung hitam

Advertisements