Archive for 21 Oktober 2009


IMG_0013

Secara jujur, saya tidak pernah bertemu dengan beliau. Tetapi kata ustaz, dia pernah beberapa kali melihat saya di beberapa lokasi, Masjid Negeri dan SMKA Inanam.

Walau tidak pernah bertemu apatah lagi bersembang, nama Ustaz Hj Salleh Yaakob sudah saya dengar sejak 1995 lagi. Tokoh seperti beliau dan rakan-rakan seangkatannya yang lain seperti Hj Abd Ghafar Rijim dan Datuk Hj Mokhtar Rapok menjadi inspirasi kami.

Ust Salleh bersama Hj Abd Ghafar adalah rakyat Sabah yang pertama menghafaz al-Quran di Masjid Negara KL antara 1970 hingga 1974.

Ust Salleh, 58 tahun berasal daripada Kg Brunei Kimanis Papar. Baru 2 tahun bersara daripada perkhidmatan awam.

Menarik kisah beliau apabila menceritakan kepada kami rezeki ke Masjid Negara untuk menghafaz al-Quran diperolehi dengan mudah dan ringkas.

Kata ustaz, satu hari pada tahun 1970 beliau menerima telegram agar datang ke pejabat Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Kota Kinabalu. Umur beliau ketika itu belum menjangkau 20 tahun.

Setiba di pejabat USIA, pegawai di sana menyampaikan tiket kapal terbang untuk berangkat ke Kuala Lumpur. Tercatat tarikh keberangkatan beliau pada 13 Jun 1970.

Apabila ditanya untuk apa dan kenapa, beliau hanya diberitahu namanya disenaraikan sebagai peserta kursus untuk mendalami ilmu agama Islam dalam tempoh 6 bulan.

Setelah tiba di Kuala Lumpur, barulah beliau mengetahui bahawa keberadaannya di sana adalah untuk menghafaz al-Quran untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun, suatu ilmu yang sangat asing bagi orang Islam di Sabah.

Apabila saya bertanya, agaknya kenapa beliau dipilih sebagai wakil Sabah ketika itu, ustaz kurang maklum. Mungkin saja katanya berkat Allahyarham bapanya ketika itu seorang imam kampung menyebabkan beliau dipilih.

Di Masjid Negara, bersama rakan-rakannya seramai 12 orang, mereka adalah kumpulan kedua yang menghafaz al-Quran setelah kumpulan pertama selesai pada 1968/69.

Setelah tamat menuntut ilmu, beliau kembali ke Sabah pada 1974 dan ditempatkan bertugas sebagai guru Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Sekolah Ugama Islam (SUI) Sembulan selama setahun setengah.

Pada 1975, beliau bertugas di SK Kimanis selama 8 tahun sebelum dipindahkan ke SK Pulau Gaya antara 1982-1986.

Setelah itu, beliau dipindahkan pula ke SMKA Inanam sehinggalah beliau bersara pada 2007. Di SMKA Inanam ini beliau bertugas selama 21 tahun khususnya dalam bidang ilmu al-Quran.

Kata ustaz, ketika di sekolah inilah beliau pernah melihat saya menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat jumaat ketika mengiringi TYT Tun yang mengunjungi sekolah ini pada februari 2007.

Ketika di SMKA Inanam dahulu, beliau tinggal di flat guru sekolah berkenaan. Kini beliau tinggal bersama keluarganya di Kg Sabuk, Kinarut disamping menjalani aktiviti terbarunya, menjadi seorang kontraktor binaan.

Alhamdulillah, saya telah bertemu satu tokoh yang telah saya sebut namanya 15 tahun lalu. Semoga ustaz dan keluarganya diberikan kesihatan yang berpanjangan serta dimurahkan rezeki bersama 5 anak dan 4 orang cucu.

p/s : Ust Salleh adalah adik kepada Tuan Hj Ahmad Yaakob, penyampai Sabah FM yang juga penerima anugerah al-Farabi Negeri Sabah pada 2007.

IMG_0008

Buku yang baru dibaca :

Tariq Ziyad

Novel ‘Tariq – Menang ataupun Syahid’ yang ditulis dalam bentuk kreatif ini menceritakan sifat kepahlawanan seorang lagi pahlawan Islam yang pada asalnya hanya seorang hamba.

Disebabkan memiliki sifat-sifat yang terpuji,dia dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya dan seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12,000 tentera Islam ke Sepanyol.

Tariq menganggap kedatangan mereka ke Sepanyol hanya untuk syahid ataupun mengalahkan musuh.

Disebabkan itulah dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang.

‘Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid.’

Kata-kata keramat Tariq berjaya meniupkan kembali semangat jihad di kalangan tentera Islam.

Penulis : Abdul Latip bin Talib

Penerbit : PTS Fortuna

Harga : RM 23.90 / RM 26.90 (Sabah & Sarawak)

%d bloggers like this: