Archive for 18 Oktober 2009


MENEMURAMAH PARA HUFFAZ

al-Quran

Dalam kelas semalam, ada di kalangan mereka yang bertanya : “Ustaz, ada assigmentkah?”

Saya baru teringat, saya menyampaikan kuliah di universiti dan bukan di surau atau masjid. Melakukan kerja tugasan luar kelas adalah kebiasaan warga di pengajian tinggi. Lagipun ada markah untuk tugasan itu.

Saya berfikir sejenak, tugasan apa hendak dibagi kepada mereka.

Akhirnya idea spontan saya muncul. Saya memutuskan agar mereka menemuramah beberapa orang hafiz dan hafizah al-Quran di sekitar Kota Kinabalu.

Saya maklum bahawa ustaz dan ustazah sudah berlambak di bumi Sabah. Kehadiran para pendakwah juga dimaklumi bersama. Tetapi dunia penghafazan al-Quran tidak banyak diteroka oleh orang awam.

Saya ingin benar mereka mengetahui cara hidup seorang hafiz atau hafizah, bagaimana mereka menghafaz al-Quran dan menjaganya, kaedah menghafaz serta pantang larangnya.

Mereka juga boleh bertanya tentang petua-petua mempelajari al-Quran, menghafaz dan sebagainya. Tujuan saya supaya minat mereka terhadap ilmu al-Quran semakin bersemi dan berkembang.

Sebelum pertemuan terakhir pada 31 Oktober nanti, mereka dikehendaki bertemu dengan tokoh-tokoh hafiz dan hafizah berikut :

1) Datuk Hj Asmali Bachi – Masjid Negeri Sabah.

2) Ust Shahrin Imran – Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

3) Ust Hj Losman Linjal – Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

4) Ust Hj Imbran Anggun – Istana Negeri Kota Kinabalu.

5) Ustazah Dg Masni Datu Saribu – Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

6) Ust Md Jumat Abd Razak – Pejabat Mufti Negeri Sabah

7) Ustazah Normi Hj Mat Yusuf – Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri Sabah.

Saya sendiri dapat berharap agar dapat menyertai beberapa pertemuan itu jika berkelapangan.

Pada pertemuan terakhir kuliah nanti, setiap kumpulan akan membentangkan hasil pertemuan mereka dan kisah-kisah menarik yang mereka perolehi. Semoga ada manfaatnya.

IMG_9980

Semalam hampir 8 jam saya berada di kelas al-Quran dan tajwid untuk memenuhi keperluan Diploma Pengajian Islam UMS. Kelasnya diadakan di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).

Ini adalah satu pengalaman baru bagi saya walaupun ilmu tajwid bukanlah satu subjek yang asing sebenarnya. Terima kasih buat rakan-rakan pensyarah khususnya Ust Sarip, Ust Essraq, Ust Azam dan lain-lain yang memberi ruang saya menyertai mereka dalam program ini.

Kelas semalam dihadiri oleh 22 orang yang berlatar-belakangkan pelbagai kerjaya. Hampir separuh daripada mereka adalah para peguam. Ramai juga di kalangan mereka adalah penjawat awam di jabatan kerajaan negeri dan swasta.

Oh, ustaz pun ada turut sekali.

Diploma Pengajian Islam ini sudah berlangsung beberapa tahun lalu dan ia terbuka kepada mereka yang mempunyai sarjana muda tidak kira bidang apa sekalipun. Menarik, apabila salah seorang mereka adalah bukan beragama Islam.

Kalau dengan subjek lain yang diajar oleh pensyarah-pensyarah lain saya kurang maklum, tetapi untuk subjek al-Quran dan tajwid mungkin dia agak berat kerana langsung tidak mengetahui asasnya.

Bukan setakat tidak mengetahui apa itu mad, ghunnah, ikhfa dan seumpamanya, bahkan huruf alif pun tidak.

Walaubagaimanapun, saya meraikan kehadirannya dan kesungguhan beliau untuk belajar dan memahami agama Islam. Semoga ada kesudahan yang baik untuk beliau dan semua yang menyertainya.

Antara yang menyeronokkan juga, pertama kali saya mengajar dengan merujuk kepada al-Quran di internet iaitu al-Quran Flash (ada di pautan blog ini). Beberapa orang juga bersama-sama online dengan laptop masing-masing untuk merujuk hukum hakam tajwid.

Pertemuan semalam saya mulakan dengan menceritakan sejarah penurunan, pengumpulan dan pembukuan al-Quran pada zaman Rasulullah SAW sehingga pada zaman sahabat, dan penaiktarafan sehingga hari ini al-Quran dilengkapi dengan mashaf tajwid yang berwarna.

Saya juga menyentuh sedikit tentang qiraat, riwayat dan toriq yang menjadi istilah penting dalam ilmu tajwid dan al-Quran, juga berkenaan rasm al-Quran serta pendirian-pendirian para ulama berkenaannya.

Lapan jam tidaklah memadai untuk menghadam kesemua, tetapi saya sangat seronok bertemu dan mengajar mereka setakat kemampuan yang ada dan nampaknya mereka semua sangat sporting belaka.

Sehingga jam 5.30 petang, setelah mengenali asas ilmu tajwid, antara yang disentuh ialah isti’azah, basmalah, hukum nun mati dan tanwin, mim mati, mim dan nun bertasydid, hukum alif lam dan hukum mad.

Saya tidak bersendirian bercakap di hadapan, bahkan mereka membantu dengan mencari contoh-contoh hukum yang berkaitan serta melakukan latihan dengan menyebut ayat dan kalimah yang dimaksudkan.

Sebelum berpisah, ada di kalangan mereka yang meluahkan rungutan betapa ilmu yang sebegini penting tidak pelajari sejak awal dan semuanya mengakui masa yang ada tidak cukup untuk memahami kesemuanya.

Di sinilah letaknya keikhlasan dan kesabaran dalam menuntut ilmu. Membetulkan niat semula jika ada kesilapan tujuan semasa mula-mula masuk ke kelas serta bersedia mencari waktu dan kesempatan lain untuk mendapatkan ilmu di luar.

Penghujung pertemuan, saya ungkapkan istilah lama : Kalau menanam padi, lalang akan tumbuh. Kalau menanam lalang, padi tidak akan tumbuh.

Insya Allah akan bertemu lagi untuk 6 jam untuk memenuhi 14 jam kredit bagi subjek ini.

IMG_9971

IMG_9972

IMG_9976

IMG_9977

%d bloggers like this: