Archive for 16 Oktober 2009


ZIARAH CIKGU RIZAL HADI

IMG_9955

Selesai solat asar qasar di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom, kami menuju ke Hospital Daerah beberapa minit dari situ. Che’gu Jamil memandu, Ust Amir di sebelah sementara saya di belakang.

Perjalanan lebih 2 jam KK-Tenom sebelum itu agak meletihkan khususnya pada permulaan mendaki jalan Kimanis kerana kabus terlalu tebal. Kadar jarak penglihatan hanya dapat dilihat beberapa meter sahaja, tambahan lagi hujan lebat beberapa ketika.

Berhenti solat di masjid dan berehat seketika jelas merenggangkan keletihan kami.

Wad pesakit lelaki di Hospital Tenom yang menempatkan Cikgu Rizal mempunyai 13 katil (kalau tidak salah) dan ada beberapa katil yang kosong tanpa pesakit.

Sehari sebelumnya, Cikgu Rizal dijadualkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tetapi beliau merasa sesak nafas ketika perjalanan baru melepasi pekan, dan van terpaksa berpatah balik.

Kami dikhabarkan van hospital dalam keadaan sedikit uzur selepas kemalangan. Katanya sudah dibaiki tetapi mereka hanya berani membawa sekitar Tenom sahaja.

Jadi van kedua yang lebih kecil digunakan untuk membawa Cikgu Rizal tetapi kelengkapannya agak terhad. Harapnya pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera untuk kemaslahatan pesakit yang memerlukan rawatan di luar Tenom.

Kami hadir dalam keadaan pernafasan Cikgu Rizal sedikit pulih. Semalam dia terpaksa menggunakan alat bantuan kecemasan sepanjang masa.

Kami lega sedikit kerana beliau boleh bercerita walaupun nafas agak tercungap-cungap. Katanya dia masih letih hatta  bergerak ke tandas pun beliau memerlukan bantuan.

Kesempatan sembang itu, kami masih menyarankan beliau agar mengisi masa luangnya dengan membuat blog dan menyumbang idea dan fikrah menurut kemampuannya.

Beliau agak berat bergerak ke sana ke mari, kerana keadaan kaki yang membengkak sehingga ke paha tetapi ideanya tentang program dakwah dan perbandingan agama masih segar dan diperlukan.

Agak teruja sebelum itu kami menyaksikan dalam uzurnya, khidmat beliau masih diperlukan sebagai AJK Masjid Daerah Tenom dan mengetuai Syukbah Ukhuwah dan Pembangunan Ummah sesi 2008-2010 sebagaimana dipaparkan di papan kenyataan masjid.

Sudah 2 minggu beliau ditahan. Bahkan 20 hari terakhir Ramadhan beliau juga menghuni hospital ini. Hanya seminggu ketika raya dibenarkan keluar dan kembali semula pada awal oktober.

Tetapi secara keseluruhan, beliau keluar masuk hospital ini sudah 3 tahun lamanya.

Satu perkara yang jelas saya perhatikan sepanjang keberadaan kami lebih 2 jam di situ sehingga pulang, orang tidak putus-putus menziarahi beliau.

Kami mendoakan keselamatan beliau, juga berdoa agar isterinya Puan Aisyah bersama anak-anak bersabar atas ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah bersama 0rang yang sabar.

Pada 19 Oktober, Cikgu Rizal akan menyambut ulangtahun ke-41. Semoga dipanjangkan umur dan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT.

MAKAN ANAK

IMG_9914

Bayi arnab ini baru berumur 5 hari ketika ia dimakan oleh ibunya. Malahan ketika gambar ini diambil, ia masih hidup dan bergerak menggunakan dua kaki hadapan.

Saya masih menanti seekor lagi ibu arnab yang akan beranak dalam tempoh terdekat. Tanda-tanda sudah ada.

%d bloggers like this: