IMG_9901

Dialog pada sesi terakhir program wacana isu syariah menarik perhatian saya dan audien yang hadir. Tajuk yang dipilih ialah  “Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah : Suatu Pengalaman Ali Panel”.

Panelnya terdiri daripada Yang Arif Tuan Ahmad Lakim (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah), Tuan Hj Mohd Noor Kasah (Ketua Penguatkuasa Agama JHEAINS) dan Tuan Hj Mohd Kamal Mohd Nor (Ketua Penguatkuasa JAI Perak).

Sementara moderatornya pula ialah Tuan Hj Sakaria Samela, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah.

Dalam sesi ini YA Hakim Ahmad Lakim telah mengimbas ringkas satu kes Adib Sigoh yang dihakiminya telah mencetuskan kontroversi satu ketika dahulu.

Hj Mohd Kamal pula menarik perhatian audien tentang kelemahan jentera penguatkuasa agama, kepakaran yang masih rendah serta kekurang staf agar diberi perhatian kerajaan.

Ini kerana katanya, dalam suasana masyarakat menginginkan jentera ini bergerak aktif dan mara ke hadapan sebagai jentera nahi mungkar, kelemahan-kelemahan ini sepatutnya diatasi terlebih dahulu.

Hj Mohd Noor Kasah pula dalam dialog itu berharap program dan majlis penerangan enakmen-enakmen syariah akan terus digiatkan kepada masyarakat bagi memberi kefahaman kepada mereka.

Selain itu beliau turut menyokong gesaan bahkan berharap agar prasarana, kemahiran dan jumlah anggota ditingkatkan lagi. Di Sabah katanya, hanya terdapat 12 orang pemegang hakiki bagi jawatan penguatkuasa agama di seluruh Sabah.

Beliau turut menceritakan bagaimana anggotanya pernah diacu dengan pisau ketika melakukan serbuan, sedangkan anggota penguatkuasa agama tidak pernah diberikan satu alat senjata bagi mempertahankan diri.

Sesi dialog semakin menarik apabila sesi soal jawab melibatkan peserta bahkan beberapa tetamu memberikan respon, pandangan dan cadangan yang bernas kepada para panelis.

Puan Anisah Amit dari Pendakwaan Jabatan Agama Islam Sarawak menjelaskan kelemahan yang sama. Katanya, di Sarawak hanya terdapat 6 orang pendakwa untuk menjaga seluruh negeri.

Dr Siti Zubaidah Ismail dari Universiti Malaya pula agak kecewa kerana masalah perjawatan dan latihan merupakan isu lama yang belum ada penyelesaian.

Beliau turut mencadangkan agar pendakwaan dan penyiasatan diasingkan daripada struktur jabatan agama seperti kehakiman syariah yang mempunyai jabatannya sendiri.

Puan Noor Azah Abd Rahman dari Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA) mengakui kurangnya komunikasi antara para peguam syariah dengan JHEAINS dan Mahkamah Syariah.

Walaubagaimanapun pihaknya bersedia untuk memberi pandangan dan bantuan kepada pihak-pihak terbabit demi  meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memartabatkan undang-undang syariah.

Tuan Zakaria Ahmad dari Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) pula memberikan teguran daripada segi sistem infrastruktur mahkamah seperti keperluan kehadiran anggota polis dalam perbicaraan mahkamah, kelemahan sistem bunyi bahkan kekurangan mahkamah terbuka itu sendiri di Sabah.

Selain itu beliau mencadangkan agar forum seumpama dapat digerak dan diperluaskan lagi dan pihaknya bersedia untuk membantu menegakkan keadilan syariah di Sabah.

Kira-kira 40 peserta hadir dalam program berkenaan yang berakhir pada jam 12.30 tengahari. Mereka terdiri daripada pengamal undang-undang syariah dan sivil, wakil-wakil agensi agama NGO Islam Sabah.

IMG_9899

IMG_9907

IMG_9911