Archive for 13 Oktober 2009


IMG_9827

Pertama.

Habis saja mesyuarat bersama kepimpinan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) di SRA Darul Ulum Taman Danau Desa, saya bergegas keluar dari kawasan sekolah dan Masjid al-Muhsinin.

Mujur tidak lama menunggu ada teksi yang lalu di kawasan berkenaan.

Hasil perbualan kami, abang Ahmad 45 tahun, yang berasal dari Kelantan sudah 3-4 tahun membawa teksi. Ikut ceritanya, dia adalah jamaah masjid berkenaan dan saya perhati kopiah tidak lekang daripada melekat di kepalanya.

Pada waktu siang,  beliau bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal. Sementara pada waktu malam dan hujung minggu, abang Ahmad mencari pendapatan tambahan dengan membawa teksi sehingga tengah malam dan awal pagi.

Saya tidak bertanya jumlah pendapatannya. Tetapi dengan kerja tambahan membawa teksi, adalah sedikit lebihan untuk anak isteri.

Kisah-kisah seumpama ini terlalu banyak khususnya bagi orang yang hidup di ibu kota.

Pendapatan yang sedikit, kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan ramai orang terpaksa mencari pendapatan sampingan.

Tol, minyak kereta, bayaran parkir, sewa rumah yang sempit, barang dapur, tambang bas dan duit poket anak semuanya perlu  biaya.

Ini semua ada kaitan dengan kemungkaran sistem kapitalisme dan kezaliman kapitalis.

Kedua.

Saya meminta abang Ahmad membawa saya ke Jalan Pahang Barat, secara khususnya ke kedai Galeri Buku Nufair yang sering saya kunjungi kalau ke ibu negara.

Perjalanan lambat kerana kesesakan teruk di beberapa laluan. Kami melalui kawasan flat yang sudah dikosongkan, bahkan ada yang sudah dirobohkan.

Kawasan itu sudah tentu akan dimajukan dengan projek juta-juta dan bilion-bilion walaupun terpaksa mengorbankan dan memindahkan (baca : menghalau) penduduk yang sudah bertahun-tahun bermastautin di sana.

Mungkin akan dibina kompleks membeli-belah, atau kondominium atau banglo besar-besar. Saya tidak fikir kakak tukang sapu, abang teksi, pakcik bawa lori, kakak kerani dan seumpama mereka akan mampu sewa atau beli tempat itu.

Masa semakin lewat. Saya pula tidak menghubungi kedai berkenaan walaupun nombornya ada dalam simpanan. Tiba di sana kedai yang dituju sudah ditutup.

“Abang, kita ke KL Sentral”.

Ketiga.

Petang itu saya perlu kembali ke Paroi. Beg dan laptop masih di rumah Ust Ghazali Yunus. Untuk mudahnya, saya kena naik komuter menuju ke Seremban, stesen paling akhir perkhidmatan komuter ke arah selatan.

Selesai makan di ruang selera KL Sentral, saya terpandang kedai menjual telefon bimbit. Download GPS. Oh, sudah lama saya mencari.

Kebetulan, pengalaman sesat pada sebelah pagi memberi pengajaran sangat berguna. Jumlahnya RM60 untuk sekali pasang. Saya kurang maklum itu harga yang wajar atau sebaliknya.

Saya beberapa kali mendengar kisah kepentingan GPS dan pengalaman beberapa orang bercerita tentangnya. Pertama kali cerita GPS saya dengar daripada Hj Omar Tompang, ketika beliau berada di Eropah, khususnya di UK.

Membawa kereta pertama kali di UK, menuju ke lokasi tertentu menggunakan khidmat GPS, pandu berdasarkan peta yang ditunjukkan dalam skrin. Kalau tersesat, GPS akan pandu jalan kedua yang lain.

Keempat.

Naik komuter menuju Seremban dengan tiket berharga RM6 sahaja. Tetapi saya terlupa, waktu berkenaan adalah waktu puncak sebelah petang, orang ramai pulang dari tempat bekerja.

Sesaknya bukan main. Separuh perjalanan saya berdiri bersama ramai orang lain. Kasihan bukan pada yang berdiri, tetapi bagi yang duduk kerana menghadap punggung orang. Kalau makhluk angin tu keluar, habislah!

Anak-anak muda ada yang buat kecoh, mengurat dan mengusik dara di sebelahnya. Tersenyum dan pura-pura tersentuh jari si gadis, kononnya hendak berpaut di tiang. Senyum mereka berbalas.

Sesak di komuter itu mengingatkan saya ketika berada dalam metro (LRT/MRT) di Kaherah, khususnya ketika menuju ke Masjid Amru untuk solat tarawih bersama Syaikh Muhammad Jibril.

Orang arab yang bertubuh besar dan tinggi menghimpit di kiri dan kanan. Lebih kurang macam tin sardin. Tangannya juga berpaut di tiang. Oleh kerana badan mereka lebih tinggi dan besar, kita berada di bawah ketiaknya.

Allah saja yang Maha Mengetahui.

Kelima.

Pagi ahad. Saya bertolak ke LCCT, Sepang sekitar 8.40 pagi dan sampai sejam kemudian. Terima kasih atas bantuan dan jasa baik Ust Ghazali Yunus dan isteri Katizah.

Sepanjang Ust Ghazali menghantar saya ke LCCT, GPS yang sudah dimuat turun semalamnya ke dalam telefon bimbit tidak lengang di tangan. Meski Ust Ghazali tau jalan dan simpangnya, saya sekadar mencuba dan memahami selok beloknya.

Nampaknya GPS itu sangat penting khususnya kalau bermusafir di tempat yang kita tidak ketahui tempat dan suasananya.

Selesai menghantar saya, Ust Ghazali  kemudian kembali ke Seremban sebelum bertolak ke Temerloh Pahang, menghantar isteri yang bertugas di sana. Tiga jam pergi dan tiga jam balik.

Saya doakan kebaikan untuk mereka berdua.

Advertisements

IMG_9805

Pertama kali saya hadir dalam mesyuarat Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Pusat bagi mewakili pengerusi negeri dan timbalan yang berhalangan.

Mesyuarat diadakan di Sekolah Rendah Agama Darul Ulum yang bersebelahan dengan Masjid al-Muhsinin, lokasi  majlis ramah mesra idul fitri sebelum itu.

Rasa segan dan hormat menguasai diri apabila berhadapan dengan tokoh-tokoh umat ini.

YDP PUM Pusat ketika ini – setelah mesyuarat agung yang baru lalu – kekal dipegang oleh Dato’ Sheikh Hj Abd Halim Abd Kadir, mantan Mufti Terengganu.

Beliau rasanya sudah menjangkau umur 70an tetapi masih bertenaga khususnya dalam memimpin PUM buat penggal ke-2 sejak 2007.

Tokoh-tokoh lain di dalam JK PUM juga kekal seperti sesi lalu kecuali 1-2 nama mengundur diri dan diganti tokoh yang tidak kurang hebatnya.

Ada Dato’ Hj Salleh Hj Ahmad, Dr Fauzi Deraman, Dr Abd Karim Ali sementara tokoh muda seperti Dr Roslan Md Noor dan Ust Khairuddin Aman Razali sebagai pelapis.

Saya teruja melihat kepimpinan PUM tambahan lagi saya bertemu seseorang yang pernah saya kenali 20 tahun lalu.

Ust Mohamad Abdullah, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan disertakan dalam JK Tertinggi kali ini. Beliau  memang orang lama yang berkhidmat dalam PUM.

Pada 1989, beliau datang bertugas di WP Labuan sebagai Kadhi Kanan. Beliau juga kerap turun berceramah di kampung-kampung dan sekolah-sekolah, juga bersahabat dengan bapa saya.

Saya mengenalinya melalui pentas ceramah dan tazkirah di masjid ketika berumur 10-12 tahun, kerana menjelang tingkatan 1 saya beralih ke Kota Kinabalu.

Lima tahun di WP Labuan, beliau berpindah pula. Saya tidak menyangka akan bertemunya semula. Walaubagaimanapun beliau tetap kerap ke Labuan khususnya setelah menjadi Ketua Hakim Syarie WP.

Menjangkakan gabungan tenaga-tenaga baru dan lama kali ini serta kesungguhan yang ditunjukkan, insya Allah PUM akan terus memberi khidmatnya kepada umat Islam demi mencari keridhaan Allah.

Kepada saya, YDP ada memberi semangat : “Insya Allah, jalan melakukan kerja dakwah akan sentiasa ada”.

IMG_9791

IMG_9797

%d bloggers like this: