Hari sabtu lepas agak memenatkan. Ada beberapa jemputan raya dan separuh daripadanya tidak dapat ditunaikan kerana bertembung antara satu sama lain.

Mohon maaf kepada Sdr Saifulzan Alimin di Kolombong, Hj Razali di Borneo Paradise dan beberapa nama lain yang menjemput kami sekeluarga.

1) Hj Thazali Saari, Kg Sembulan Kota Kinabalu.

Beliau berasal dari Bukit Durian Umbai Melaka, bakal meninggalkan Sabah 11 Oktober nanti untuk menyambung tugasan di Tanjung Karang Kuala Selangor.

Sebelum ini beliau bertugas di WP Labuan sebagai Pengurus Besar Persatuan Nelayan selama 5 tahun dan kemudian berpindah ke Sabah.

Bermula di Tuaran sebagai Pengurus Besar Persatuan Nelayan Daerah Tuaran selama 2 tahun sebelum beralih ke Kota Kinabalu sebagai Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Sabah.

Sebenarnya di kalangan rakan-rakan masjid dan surau, beliau sangat menonjol sebagai seorang yang sangat cintakan kebajikan, berbanding jawatan sebenarnya yang tidak diketahui rakan di luar kerjaya rasminya.

Ketika di Labuan, beliau juga aktif mengajar mengaji di Masjid Jamek an-Nur pada setiap malam sehingga beliau lebih dikenali sebagai seorang ustaz.

Berdasarkan pengetahuan itu, maka ketika bertugas di Istana Negeri dahulu saya menjemputnya mengajar mengaji kepada anak-anak staf pada malam-malam tertentu. Beberapa bulan permulaan nampak ramai berminat tetapi ia semakin surut dan terhenti begitu saja.

Di Masjid Kg Sembulan beliau juga salah satu tenaga untuk menjadi imam selain menjadi AJK dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah.

Saya sendiri pernah mengisi beberapa program keagamaan atas undangannya anjuran Persatuan Nelayan dan LKIM Sabah, dan yang terakhir sekali pada Ramadhan lalu di surau Kompleks Tabung Haji.

Saya berharap penggantinya akan dapat melakukan program yang sama bahkan lebih baik daripada itu.

Di rumahnya, ramai tetamu hadir. Selain pengawai dan staf LKIM dan Persatuan Nelayan, hadir sama ketika itu ialah Ust Hj Arifin Ali (Pemangku Timbalan Mufti Sabah), Hj Norber (Pengarah Tabung Haji Sabah), Ust Hj Losman Linjal (Imam Masjid Bandaraya) dan lain-lain.

2) Ust Saiful Mukharram Md Tahir, Taman Indah Permai.

Ketika tiba di Rumah Sabah, Kaherah pada pagi 29 Ogos 2000, Ust Saiful adalah orang pertama yang menyambut dan memberi taklimat ringkas kepada kami berempat. Rahim, Zamrul, Yakob dan saya sendiri.

Sehingga kini saya sangat suka mendengar beliau berceramah atau menyampaikan tazkirah. Beliau adalah anak Tawau yang pernah belajar di Pondok Moden Gontor Indonesia sebelum ke Universiti al-Azhar Kaherah.

Kini beliau merupakan salah seorang tenaga penting di JAKIM Sabah dan jauh di hati saya berdoa beliau akan mengetuainya satu ketika nanti.

Di rumahnya, saya sempat mempelajari sedikit sebanyak teknik fotografi berdasarkan kamera ‘besar’ ni. Maklumlah baru beberapa bulan di tangan, saya belum memahami kesemuanya.

Terima kasih tunjuk ajar yang diberikan.

3) Ramli Mat Ali & Aina Idris, Taman Kingfisher.

Aina adalah sepupu saya yang bertugas di HQ Maybank Karamunsing sementara suami seorang ahli perniagaan. Ini kali kedua ke rumah mereka, setelah mereka berpindah ke sini lebih setahun lalu.

Rumah banglo mereka ini bernilai lebih RM800 ribu termasuk ubaisuai yang dilakukan.

Keluarga besar kami semakin bertambah di sekitar Kota Kinabalu ini termasuk yang ada di Sepanggar, Penampang dan Putatan.

4) Ust Rosni & Ustazah Siti Hajar, Taman BPL.

Undangan diterima Ummu Nuha daripada Ustazah Siti Hajar dan kami menurut saja. Rupanya suaminya pernah saya temui ketika saya berceramah beberapa tahun lalu di SK Tansau, Putatan tempat beliau bertugas.

Sebenarnya dua kali kami datang. Pertamanya sekitar jam 1.30 tengahari. Sampai di sana, baru perasan habis baju dan seluar saya basah terkena kencing anak yang duduk berpangku.

Saya kurang selesa dan terpaksa balik sekejap ke rumah sebelum datang kembali pada lewat petang. Ketika datang kali kedua, ramai ahli keluarga beliau datang berkunjung ketika itu dan kami tidak berhajat lama di sana.

5) Maryam & Marwan Khalil, Taman Friendship, Putatan.

Pertama kali ke rumah mereka, Maryam adalah rakan sePASTI Nuha di Taman Union. Lewat malam ke sana kerana jiran sebelah rumah ada  majlis kahwin.

Maryam bersama Nuha dalam kelas umur 6 tahun dan Hana bersama Khalil dan kelas umur 4 tahun. Tapi malam itu Marwan sudah terlena dan Maryam dibangunkan daripada tidur yang sejak petang menanti Nuha datang.

Bapanya, Encik Khalil sudah 8 tahun bertugas di Jabatan Kaji Cuaca Sabah sementara ibu Maryam yang pernah belajar di Jordan, kini seorang guru JQAF di SK Beringgis Papar. Kedua-dua mereka berasal dari Kelantan.

Saya sempat bertanya kepada Encik Khalil berkenaan cuaca tidak menentu di Sabah ketika ini dan banyak maklumat saya perolehi. Sembang kami juga berlegar tentang isu-isu murtad dan sekitar program pemantapan aqidah yang PUM jalankan setakat ini.

Alhamdulillah, atas persahabatan anak-anak, kami juga mendapat kenalan baru.

IMG_9173

IMG_9176

IMG_9204

IMG_9211

IMG_9245

IMG_9338

IMG_9342