Malam-malam kebelakangan saya isi dengan menziarahi ustaz-ustaz dan pendakwah lama, serta mendapatkan kisah-kisah perjuangan lama mereka.

1) Ust Hj Mohd Khir Abdullah, Kg Sri Pandan Putatan.

Berasal dari Taiping Perak, beliau datang ke Sabah 20 Ogos 1970. Ketika itu beliau sedang bertugas di sebuah madrasah di Singapura atas undangan pakciknya yang berkhidmat sebagai tentera di Sabah.

Dengan bekalan pendidikan beliau dalam darjah khas di Batu Kurau dan di Johor, beliau memulakan tugas Kg Taun Gusi Kota Belud.

Antara tempat lain yang beliau pernah bertugas ialah di SK Pekan Kudat (1972-1976), SK Intebuan Tenom (1976-1977), Sek Ugama Islam (SUI) Kota Klias Beaufort (1977-1979), SUI Petagas (1979-1989), SUI Tebobon (1990), SUI Kepayan (1991-1999) dan SUI Kawang Papar (1999-2001).

Setelah bersara, mulai 2002 beliau membuka madrasah sendiri yang diberi nama Madrasah ad-Diniyyah al-Khairiyyah bersebelahan Masjid al-Hilal Tg Dumpil Putatan dengan pelajar kini hampir mencecah 100 orang.

Dengan umur mencecah 68 tahun kini, Ust Hj Md Khir juga dilantik sebagai imam qaryah di masjid berkenaan dan memimpin aktiviti keagamaan bersama pengerusi dan JK masjid yang lain.

Kini beliau menetap di Kg Sri Pandan Putatan dengan rumah kampung yang telah dibina sejak 20 tahun lalu, bersama isteri dan 9 anak (salah seorang telah meninggal dunia 5 tahun lalu akibat kemalangan).

2) Ust Mohammad @ Fuad Hassan, Taman Olivia Kepayan.

Berasal dari Kg Teluk Mengkuang, Mukim Bangau  Temerloh Pahang, Ust Mohammad datang ke Sabah pada 28 Februari 1978.

Khidmatnya bermula di SM St John Beaufort sehingga april 1985 sebelum dipindahkan ke Unit Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri di Kota Kinabalu.

Mulai ogos 2004, beliau beralih pula ke SK Pg Hafsah Karambunai sebagai guru besar sehingga kini.

Menarik kisah beliau apabila rombongan beliau ke Sabah seramai 95 orang adalah rombongan guru agama pertama yang dihantar oleh Kementerian Pelajaran bagi membantu guru agama yang sedia ada di Sabah.

Antara rombongan beliau ketika itu ialah Ust Wan Ismail Wan Jusoh (YB ADUN Melor Kelantan) yang ditempatkan pada mulanya di St Peter Bundu Kuala Penyu.

Kehadiran Ust Wan Ismail di sana ditolak oleh pihak sekolah kerana mereka tidak mempunyai pelajar Islam. Akhirnya beliau dipindahkan ke SMK Gunsanad Keningau.

Selain bertugas sebagai guru besar, Ust Mohammad Hassan juga aktif dalam program keagamaan di Surau Taman Olivia Kepayan bersama AJK yang lain.

IMG_9145

IMG_9150