Sejak Ramadhan banyak kuliah maghrib tertangguh. (Lihat jadual kuliah maghrib di sisi kanan).

Khusus di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan, Masjid Mahabbah di Kg Muhibbah Petagas, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Surau Nur Hidayah Taman Olivia.

Saya berjanji menyambung kuliah di Masjid Sipanggil isnin lepas tetapi tertangguh sebab berada di LTAKK menghantar Fidah ke KL-Kaherah.

Masjid Kg Muhibbah pula sudah bermula pada selasa lepas, menyambung hadith ke-25 daripada kitab Hadith 40 Imam an-Nawawi.

Surau Austral, saya nanti isyarat Ust Mad Sepanggar. Kelas Tajwid akan disambung dengan sesi talaqqi dan teka hukum tajwid. Saya bercadang membawa kitab Tuhfatul Atfal pula selepas itu nanti.

Malam ni insya Allah kuliah kitab Riyadhus Solihin akan disambung di Surau Olivia. Tajuk masih dalam bab ke-16, perintah memelihara amalan sunnah dan adab-adabnya.

Saya selesa ketika Ramadhan, kuliah maghrib di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru dan Surau an-Nur Taman Limauan berjalan dan diawalkan pada subuhnya.

Pagi ini, saya hendak menyediakan hand-out kuliah kitab al-Azkar untuk malam minggu esok dan tafsir surah baru di Surau Taman Limauan pada ahad malam isnin.

Untuk Surau Taman Limauan, kita akan mengaji surah ar-Rahman dan surah al-Waqi’ah. Hari raya kita mengecapi nikmat. Surah ar-Rahman menceritakan sebahagian nikmat-nikmat itu.

Maka, mana satu nikmat Tuhanmu yang engkau dustakan?