IMG_9114

Petang semalam, saya bergegas bersama isteri dan anak sulung, Nuha juga Ustazah Marinah ke LTAKK, menghantar dan mengucap selamat jalan kepada Fidah.

Dia pelajar saya, sahabat isteri saya dan guru anak saya yang berangkat ke bumi Mesir, tepatnya ke Maahad Qiraat al-Azhar Mansoura, untuk tempoh 3 tahun. Insya Allah.

Siti Norafidah adalah pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang berakhir pada 2006/07 kalau tidak salah. Tempoh sebelum itu saya bertugas di sana dan pernah menjadi guru tasmik al-Quran mereka seketika.

Sepanjang mengajarnya di MTQQ, umumnya prestasi Fidah adalah baik. Sesekali hafalannya melonjak 2-3 helai sekali tasmik, dan sesekali pula jatuh merudum, terdiam tiada stok langsung.

Tetapi itulah rencah orang menghafaz al-Quran.

Daripada situ, saya pernah merasakan Fidah ada potensi yang baik dalam al-Quran. Sehingga kini pun, dia masih merujuk, mengadu masalah serta sering bertanya kaedah mengulang al-Quran yang paling baik.

Sejak tahun lalu, Fidah mengajar di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral. Sejak itu pula dia bersahabat baik dengan Ummu Nuha kerana sama-sama mengajar di sana.

Tahun ini, Nuha masuk darjah 1 di sana. Dia ada juga bergurukan Fidah dalam beberapa subjek.

Fidah adalah anak ke-7 daripada 12 beradik dan dua ibu. Fidah pula daripada emak yang kedua. Di LTAKK petang semalam, bapa serta kedua-dua ibunya hadir bersama keluarga besarnya.

Katanya, dalam keluarganya dialah setakat ini satu-satunya yang berpeluang belajar ke luar negeri.

Dalam sembang singkat kami, Fidah mengucapkan penghargaan kepada para penyumbang, dan katanya Allah lebih berhak membalasnya. Dia juga memohon doa semua termasuk jamaah Surau Austral dan para murid di sana agar mendoakan kejayaannya.

Fidah juga memohon berbanyak kemaafan dan menitipkan salam kepada pengurusan PPI khususnya Tuan Hj Rahimin, Ust Zulhazmi serta guru-guru di sana.

Saat ini, mungkin Fidah sudah berehat di kediaman barunya di Mansoura, atau masih di Kota Kaherah.

Saya agak sentimental, Fidah adalah pelajar keempat saya yang menyambung pengajian di Mesir. Doa saya dia akan memberikan natijah yang baik seperti yang pelajar saya yang lain juga.

Kepada Fidah berkali saya pesankan, jaga hubungan dengan BKPSM, DMSM, DPMM, bertalaqqi al-Quran semula dengan para masyaikh di sana, sertai usrah dan aktiviti tarbiyyah dalaman, serta bina persahabatan dengan semua pihak.

Ada masalah, berhubunglah dengan kami.