(Catatan ini khusus saya tujukan kepada ahli keluarga kami yang besar. Orang lain mungkin sukar memahaminya. Mungkin).

IMG_9105

Ada dua kali saya menziarahi orang tua ini. Kali pertama pada ahad malam isnin, dan kali kedua pagi tadi.

………

Mama saya dulu kecilnya diasuh oleh seseorang yang kami panggil Nenek Pulin. Nenek Pulin meninggal dunia di rumah kami di Labuan pada 27 Januari 1992, ketika itu genap sebulan saya masuk tingkatan 1 di SMAI TPHR KK.

Nenek Pulin khabarnya juga ada hubungan saudara dengan keluarga induk kami, tapi saya kurang pasti di mana ia bertemu dan bersimpul.

Setahu saya Nenek Pulin atau nama sebenarnya Saliha binti Bakar tidak punya anak. Mama kami dan seorang lagi perempuan yang kami panggil Uwa diasuh oleh Nenek Pulin.

Mama kini masuk 60 tahun dan Uwa pula berumur lebih 70 tahun. Sejak saya kecil lagi, sememangnya Nenek Pulin sudah tinggal bersama kami. Setelah pemergian Nenek Pulin pada awal 92 itu, Uwa tetap bersama kami sehingga kini dan beliau juga semakin uzur.

Kedua orang tua kandung mama tidak pernah saya temui dan kenali. Sejak kecil, hanya kubur mereka yang saya ziarahi khususnya pada hari raya.

(Kebiasaannya, masyarakat tempatan kami memanggil kedua-duanya dengan panggilan nenek. Nenek laki dan nenek bini).

Sementara di sebelah bapa, nenek bini tidak pernah saya temui. Khabarnya, beliau meninggal dunia ketika bapa masih kecil. Nenek laki (bapa kepada bapa kami) yang kami panggil Nenek Mangga Laki kemudiannya berkahwin baru dengan saudara isterinya itu.

Kepada isteri kedua Nenek Mangga Laki, dialah tempat kami bermanja dan mengadu sebagai cucu dan nenek sehingga beliau meninggal dunia sekitar 10 tahun lalu. Ketika saya masih di Mesir, Nenek Mangga Laki pula meninggal dunia.

Anehnya, ketika di Mesir saya bermimpi malam sebelum pemergian Nenek Mangga Laki, kami semua anak cucu cicit berkumpul di rumah Nenek Mangga Laki, sesuatu yang tidak pernah berlaku kerana keluarga terlalu besar.

Kemudian, ada lagi beberapa orang yang setaraf dengan mereka yang boleh kami panggil nenek satu demi satu pergi kembali kerahmatullah. Tetapi yang kami biasa dan rapat benar antaranya Nenek Pulin dan Nenek Mangga itulah.

Saya tidak tahu langsung bahawa saya masih ada seseorang yang boleh saya panggil nenek sehinggalah saya bertemunya pada malam isnin lalu.

Beberapa hari sebelum itu, bapa mengirim SMS menyatakan Hjh Timbang Bakar dalam keadaan nazak. Hjh Timbang atau dipanggil mereka nenek bungsu adalah adik bungsu kepada Nenek Pulin berlainan ibu.

Oleh kerana keesokannya isnin hari persekolahan, saya mesti datang malam itu juga. Saya bimbang hari-hari bekerja tidak dapat berziarah ke tempatnya.

Nenek Hjh Timbang tinggal di Kg Benoni sejak 2 tahun lalu. Sebelum itu mereka berada di Kg Kerangan Lawas, Sarawak bersama suaminya Hj Jamrah Piki, orang Beaufort yang telah kembali kerahmatullah 2 tahun lalu.

Seperti Nenek Pulin, mereka tidak punya anak kandung. Yang ada hanyalah anak asuh yang juga sudah meninggal dunia. Tetapi hubungan dengan cucu-cucu asuh tetap erat sehingga kini.

Saya bukan biasa dengan jalan dan lorong di Kg Benoni. Tetapi kerana hendak bertemu seseorang yang bergelar nenek, saya pergi bersendirian.

Menziarahi saudara mara ini termasuk anjuran Nabi SAW. Ada baginda menyebutkan bahawa orang yang menyambung silaturrahim akan dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur.

Hampir mengalir air mata saya melihat keuzuran Nenek Hjh Timbang ini. Umurnya menerusi Mykad sudah mencecah 84 tahun, tetapi menurut saudara mara di situ kemungkinan besar sebenarnya sudah melepasi 90 tahun.

Lebih meruntun perasaan, wajahnya ada sedikit iras Nenek Pulin, nenek yang menjadi tempat bermanja kami ketika kecil. Walaupun Nenek Pulin sudah meninggal dunia 17 tahun lalu, apabila melihat wajah Nenek Hjh Timbang ini, ingatan saya kembali kepada wajah Nenek Pulin.

Bapa mereka, Bakar berkahwin dua kali. Isteri pertama ada dua anak iaitu Md Wali dan Saliha (Nenek Pulin) dan daripada isteri kedua ada 3 anak iaitu Sarudin, Tialam dan Timbang. Kecuali Hjh Timbang, yang lain kesemuanya telah meninggal dunia.

Sejak 3 bulan kebelakangan, Nenek Hjh Timbang semakin uzur, hanya terbaring di tilam saja. Bahkan semenjak suaminya meninggal dunia, dia diceritakan seperti kehilangan semangat. Hanya berengsot untuk bergerak di dalam rumah.

IMG_9107

Setelah suaminya meninggal, dia dibawa ke Kg Benoni ini. Di rumah Cikgu Kasim Md Wali (gambar atas) – Ketua Kg Benoni inilah beliau menghabiskan sisa hidupnya.

Cikgu Kasim yang berumur lebih 70 tahun adalah anak keempat kepada Md Wali. Allahyarham Md Wali bin Bakar adalah  abang kandung sulung kepada Nenek Pulin.

Malam itu sejam setengah kami bersembang dengan ahli keluarga di sana, sementara Nenek Hjh Timbang sudah tidak bermaya. Kata mereka ini kali kedua dia kelihatan nazak.

Sebelum pulang, saya genggam erat tangannya yang semakin mengurus, saya cium pipinya yang semakin cengkung. Sementara saudara mara yang lain memeluk saya. Ada yang datang dari Limbang dan WP Labuan.

…..

Pagi tadi, sekitar jam 8.10 pagi, Cikgu Kasim menyampaikan duka sedih. Nenek Hjh Timbang kembali kerahmatullah. Itulah kali kedua saya datang, dan buat kali terakhir saya melihatnya dalam keadaan sudah dikafankan.

Along dari Sepanggar hadir lebih awal sementara saya sampai tepat ketika solat janazah hendak didirikan pada 11.15 pagi.

Saya dipinta mengimami solat janazah dan kemudiannya memimpin talqin di Tanah Perkuburan Orang Islam Kg Benoni, Papar.

Mudah-mudahan urusannya dimudahkan Allah di alam sana. Bapa kata Nenek Hjh Timbang orang baik. Al-Fatihah.