Artikel di bawah saya petik dari blog Prof Dr Kamil ‘Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan’ yang terkenal itu. Blog beliau antara yang sering saya kunjungi 4-5 kali seminggu, kalau pun tidak setiap hari.

Ketika membaca artikel ini, saya meletakkan diri sebagai orang bawahan (memang orang bawahan pun). Ketika Prof Kamil menulis sebagai orang atasan, saya pula ketika membacanya, membayangkan beberapa orang yang pernah dan sedang menjadi ketua saya.

Psikologinya, saya akan merasa terharu jika dikunjungi oleh mereka yang saya anggap orang besar dalam alam kerjaya saya. Tetapi setakat ini, itu belum berlaku.

IMG_4897

http://muhdkamil.net/kehidupan/2009/09/20/kalau-jadi-orang-besar/

1 Syawal.

Saya bersama Bahagian Keselamatan UiTM Johor solat subuh di Masjid As-Syakirin. Mereka telah menyediakan jadual bertugas sebagai Iman dan Bilal sepanjang musim perayaan.

Sedikit demi sedikit harapan saya untuk melihat Masjid As-Syakirin setiap lima waktu akan ada solat berjemaah terlaksana walaupun ketika cuti raya.

Seorang staf bertanya : “Prof tidak balik Terengganu?”

Saya bercerita.

Arwah ayah saya selalu berpesan – kalau jadi orang besar…….

“Mil, bila tiba hari raya, janganlah melarikan diri dan balik kampung. Kurang-kurangnya pada hari raya pertama. Masa inilah orang asal tempat kita bertugas mahu berhari raya dengan ketuanya”.

Saya fikir ia lebih relevan dengan mereka yang bertugas di dalam kampus terutamanya di pagi hari raya.

Kalau jadi orang besar…..

“Mil, dahulukan orang bawah. Jika ada peluang yang boleh diagih-agihkan, bagi pada orang bawah terlebih dahulu. Jangan kita dulukan diri sendiri. Semuanya hendak direbut sendiri kerana kita mempunyai kuasa”.

Kalau jadi orang besar….

“Mil, jangan buat jahat dekat orang. Jaga hati kita”.

Kalau jadi orang besar…..

“Mil, jangan sibukkan keluarga”.

Saya mengingati pesan Ayah, yang pernah menjadi Guru Besar dan AJK Kemajuan Kampung.

Ketika ramai AJK mencari kaum keluarga untuk diagihkan wang ASN khusus untuk orang miskin, beliau bersuara : “Bukan begini caranya. Ia untuk orang miskin. Kita cari orang miskin…”

Ayah bukan seorang yang berwang.

Guru lepasan darjah enam, menanggung 12 anak dan isteri tetapi setiap kali raya beliau akan memberi wang raya – tidaklah banyak, 20 sen ataupun 50 sen – untuk anak-anak muridnya. Mereka budak kampung. Betul-betul kampung!

Saya tahu ia hanyalah pesan yang kecil tetapi sangat signifikan bagi membentuk hati nurani yang berbeza.

Akhirnya, pertanyaan staf saya jawab dengan kata-kata berikut :

“tahun hadapan ketika saya tidak jadi ketua, saya akan balik ke Besut”. Di dalam hati saya terlintas : “saya akan balik 2-3 hari sebelum raya!”.

Ayah, saya doakan agar ayah terlepas seksa kubur, kita dapat bertemu di Firdaus bersama Wan, Niza dan kaum keluarga yang lain. Mudah-mudahan pesan ayah yang sedikit itu dapat saya amalkan!