Archive for 24 September 2009


KALAU JADI ORANG BESAR..

Artikel di bawah saya petik dari blog Prof Dr Kamil ‘Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan’ yang terkenal itu. Blog beliau antara yang sering saya kunjungi 4-5 kali seminggu, kalau pun tidak setiap hari.

Ketika membaca artikel ini, saya meletakkan diri sebagai orang bawahan (memang orang bawahan pun). Ketika Prof Kamil menulis sebagai orang atasan, saya pula ketika membacanya, membayangkan beberapa orang yang pernah dan sedang menjadi ketua saya.

Psikologinya, saya akan merasa terharu jika dikunjungi oleh mereka yang saya anggap orang besar dalam alam kerjaya saya. Tetapi setakat ini, itu belum berlaku.

IMG_4897

http://muhdkamil.net/kehidupan/2009/09/20/kalau-jadi-orang-besar/

1 Syawal.

Saya bersama Bahagian Keselamatan UiTM Johor solat subuh di Masjid As-Syakirin. Mereka telah menyediakan jadual bertugas sebagai Iman dan Bilal sepanjang musim perayaan.

Sedikit demi sedikit harapan saya untuk melihat Masjid As-Syakirin setiap lima waktu akan ada solat berjemaah terlaksana walaupun ketika cuti raya.

Seorang staf bertanya : “Prof tidak balik Terengganu?”

Saya bercerita.

Arwah ayah saya selalu berpesan – kalau jadi orang besar…….

“Mil, bila tiba hari raya, janganlah melarikan diri dan balik kampung. Kurang-kurangnya pada hari raya pertama. Masa inilah orang asal tempat kita bertugas mahu berhari raya dengan ketuanya”.

Saya fikir ia lebih relevan dengan mereka yang bertugas di dalam kampus terutamanya di pagi hari raya.

Kalau jadi orang besar…..

“Mil, dahulukan orang bawah. Jika ada peluang yang boleh diagih-agihkan, bagi pada orang bawah terlebih dahulu. Jangan kita dulukan diri sendiri. Semuanya hendak direbut sendiri kerana kita mempunyai kuasa”.

Kalau jadi orang besar….

“Mil, jangan buat jahat dekat orang. Jaga hati kita”.

Kalau jadi orang besar…..

“Mil, jangan sibukkan keluarga”.

Saya mengingati pesan Ayah, yang pernah menjadi Guru Besar dan AJK Kemajuan Kampung.

Ketika ramai AJK mencari kaum keluarga untuk diagihkan wang ASN khusus untuk orang miskin, beliau bersuara : “Bukan begini caranya. Ia untuk orang miskin. Kita cari orang miskin…”

Ayah bukan seorang yang berwang.

Guru lepasan darjah enam, menanggung 12 anak dan isteri tetapi setiap kali raya beliau akan memberi wang raya – tidaklah banyak, 20 sen ataupun 50 sen – untuk anak-anak muridnya. Mereka budak kampung. Betul-betul kampung!

Saya tahu ia hanyalah pesan yang kecil tetapi sangat signifikan bagi membentuk hati nurani yang berbeza.

Akhirnya, pertanyaan staf saya jawab dengan kata-kata berikut :

“tahun hadapan ketika saya tidak jadi ketua, saya akan balik ke Besut”. Di dalam hati saya terlintas : “saya akan balik 2-3 hari sebelum raya!”.

Ayah, saya doakan agar ayah terlepas seksa kubur, kita dapat bertemu di Firdaus bersama Wan, Niza dan kaum keluarga yang lain. Mudah-mudahan pesan ayah yang sedikit itu dapat saya amalkan!

UST HJ GHAZALI SULAIMAN

Kunjungan pertama ke rumah guru kami, Ust Hj Ghazali Sulaiman di Kg Pasir Putih Putatan.

Beliau adalah salah seorang daripada 18 sahabat mereka yang datang ke Sabah pada 1974 dari Medan untuk berdakwah di Sabah.

Al-Fadhil ustaz pernah berkhidmat di Sipitang, Putatan, SMAI TPHR dan terakhir di MTQQ sebagai pensyarah sebelum bersara. Dengannya saya banyak memahami asas ilmu nahu yang sebelumnya tidak saya gemari, juga ilmu tarannum dan barzanji.

Salah seorang anak beliau adalah rakan sekelas saya di SMAI TPHR.

Ustazah Munadiah kini berkhidmat di Kedah mengikut suaminya. Dua hero hensem yang kini menyerikan hidup mereka bernama Zahid dan Muaz (?).

TERIMA PANGGILAN ISTIMEWA

Tengah bersembang dengan Ust Hj Ghazali Sulaiman, saya menerima panggilan istimewa. Ust Farhan di hujung talian mengatakan ada orang jauh hendak bercakap.

Rupanya guru yang dikasihi, Syaikh Muhammad Abdun Nabiy, guru qiraat ketika di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra Mesir berada di Malaysia sepanjang Ramadhan.

Beliau katanya dijemput mengimamkan tarawih di Pulau Pinang dan menjelang malam itu beliau kembali ke Mesir.

Mendengar suara beliau, hati saya menjadi girang. Sesudah 6 tahun tidak mendengar khabar berita dan suaranya,  gembira tidak terkata syaikh masih mengingati nama saya.

Ketika di Kaherah dahulu, kami 5 orang pelajar Sabah sering mengundang syaikh ke rumah untuk bertalaqqi dan mengadakan kelas tambahan qiraat dan matannya. Bahkan saya sendiri sempat mengkhatamkan semula talaqqi 30 juzu’ bersama beliau selama 6 bulan.

Doa saya semoga syaikh sihat dan dapat menyebarkan ilmu qiraat dan al-Quran kepada masyarakat seluruh dunia.

RUMAH ‘TOK BOMOH’

Kemudian kami bergerak ke rumah Ust Md Sabri di Taman Teluk Vila. Beliau orang Kelantan, kini bertugas di SK Sri Gaya, KK. Lihat blog beliau di sini.

Nama beliau kini semakin naik apabila sering dijemput menyampaikan khutbah di sekitar Putatan dan beliau juga semakin dikenali dengan kemahiran rawatan alternatif secara Islam.

RUMAH E’A

Rumah ketiga ialah rumah Abg Rashad di Taman Orkid, Kepayan. Beliau orang Sabah tetapi orang tuanya telah menetap di tanah suci Makkah.

Banyak kami bualkan khususnya tentang hal ehwal fotografi yang pernah menjadi minat beliau satu masa dulu. Minat beliau lebih kepada mengambil gambar dari lokasi yang tinggi.

Salah seorang anak beliau, Fatihah @ E’a merupakan kawan akrab Nuha. Sejak beberapa hari kebelakangan ini Nuha bisingkan hendak ke rumah E’a.

Maghrib hampir menjelang, kami kembali ke rumah kerana ada tamu hendak berkunjung. Orang yang istimewa juga pada keluarga kami.

KUNJUNGAN PENGAPIT

Sekitar jam 7, kami dikunjungi Lyan dan Ibrahim. Lyan orang Kg Benoni Papar adalah adik angkat isteri saya. Sejak 1 Sept lepas, Lyan diterima bertugas di Jabatan Peguam Negara Putrajaya.

Ibrahim pula baru menamatkan pengajian di UMS dalam bidang psikologi. Hasratnya hendak menyambung lagi ke peringkat sarjana.

Lyan dan Ibrahim adalah pengapit ketika kami naik pelamin 7 tahun lalu.

Untuk kedua-dua mereka, kami sangat berharap mereka cepat-cepat mendirikan rumahtangga. Khusus kepada Lyan pula, saya tegaskan tentang cabaran berkhidmat di tempat yang menjadi kontroversi.

Amanah dalam berkhidmat dan menegakkan kebenaran di atas segala-galanya.

TAK TAHU 2 KALIMAH SYAHADAH, SOLAWAT, ISTIGHFAR DAN MENGAJI

Selepas kepulangan Lyan dan Ibrahim, kami menerima beberapa kumpulan anak-anak berumur antara 10-14 tahun yang datang berhari raya bersilih ganti.

Ada Boboi, Fazudin, Shamrin, Syafiq, Hanafi, Hafizam, Syahrul, Afiq, Totong, Irwan, Ridhuan dan Haikal. Kehadiran anak-anak ini saya ambil peluang untuk bersembang dan menguji kemahiran agama mereka.

Kecuali Ridhuan, rakan-rakannya yang lain hanya menggelengkan kepala tidak tahu apa itu 2 kalimah syahadah, solawat dan istighfar. Sebahagian mereka langsung tidak tahu mengaji, manakala yang lain ada yang di pertengahan iqra’.

Di kalangan mereka, ada yang tidak pernah bersekolah sejak kecil, ada yang sudah berhenti selepas darjah 6 dan ada yang sudah bekerja sebagai buruh mengangkat simen dengan gaji antara RM500 hingga RM600 sebulan.

Saya tanya juga sebahagian mereka tentang rakaat sembahyang.

“Subuh?” “2 rakaat”.

“Zuhur?” “4 rakaat”.

“Asar?” “4 rakaat”.

“Maghrib?” “3 rakaat”.

“Isyak?” “4 rakaat”.

“Sembahyang raya?” “2 rakaat”.

“Sembahyang janazah?” Mereka kebingungan, saling berpandangan sesama mereka.

“Em.. tiga kaa.. atau empat rakaat”. Jawab salah seorang mereka.

IMG_8606

IMG_8602

IMG_8615

IMG_8653

%d bloggers like this: