Archive for 23 September 2009


SINGGAH RAYA

Ada beberapa rumah yang kami kunjungi pada hari raya kedua. Sesetengah rumah memang dirancang, dan ada juga yang dikunjungi tanpa rancangan awal menyertai rombongan sahabat-sahabat.

Rumah pertama di Taman Bersatu Putatan, Hj Amran Mohammad yang merupakan keluarga besar kami juga dari Labuan yang sudah lama bermastautin di sini.

Rumah Ust Zulhazmi Osman di Taman Mesra Kepayan, pemilik Siddqi Auto dan ahli HPA yang aktif. Kemudian beraya ke dua buah rumah di sebelah dan hadapan beliau. Ust Zul dan isteri baru menimang anak ke-7 pada 10 Ogos lalu.

Rumah keluarga Dr Nizam yang berasal dari Mauritius dan berkhidmat di QEH dan rumah seorang guru di SMK Kolombong berasal dari Perak, sudah belasan tahun di Sabah.

Kunjungan sebelah petang berakhir di rumah Ust Azman Mustafa yang bertugas di SK Pulau Gaya. Rumah beliau juga tidak jauh dari Sekolah Tinggi KK (KK High School).

Sebelah malam, rumah pertama kami kunjungi ialah saudara Seni Sibun dan Puan Ku Chin di Taman Seri Indah Sepanggar. Seni merupakan pemandu utama TYT, dan Puan Ku Chin pelayan Istana.

Kedua-dua mereka kini bercuti beberapa bulan mengurus anak keempatnya Sonia yang baru sembuh daripada penyakit ganjil.

Sonia 17 tahun, pelajar MRSM pernah saya catatkan kisahnya dahulu, beberapa bulan terlantar di ICU Hospital Queen, malahan sehingga sekarang pihak hospital belum dapat mengesahkan penyakit yang dialami Sonia.

Hati ibu mana yang dapat menahan emosi melihat anak yang periang sebelum ini tiba-tiba kejang begitu saja. Kalau tidak salah peristiwa itu berlaku pada akhir februari atau awal mac tahun ini.

3 Julai lalu, Sonia sudah keluar hospital. Keadaannya semakin baik dan stabil, cuma percakapannya masih perlahan dan sesekali dia kelihatan kebingungan khususnya melihat orang ramai mengunjunginya.

Saya diperkenalkan oleh ibunya kepada Sonia sebagai orang yang pernah berziarah dan mendoakan dia. Sonia banyak mendiamkan diri saja. Beberapa teman rapatnya dari MRSM hadir sama.

Satu yang menjadi kejutan kepada saya, bahawa mereka mempunyai seorang ahli keluarga yang berstatus OKU. Salim @ Afendi berumur 28 tahun, mengalami demam panas sejak umur 7 bulan.

Demi Allah sepanjang pergaulan dengan Kak Ku Chin dan Seni di Istana dahulu, saya tidak mengetahui ujian yang menimpa mereka ini sehingga malam itu.

Salim adalah anak sulung daripada 5 orang anak mereka. Sejak umurnya 9 tahun, Salim dijaga dan ditempatkan di sebuah rumah amal di Likas yang menempatkan anak-anak istimewa ini.

Semoga Allah memberikan kesabaran kepada keluarga ini.

Selepas rumah Seni, kami ke Kg Pulutan Menggatal, menziarahi keluarga Hjh Maria Louis dan Hj Muslim yang boleh dikatakan rapat dengan keluarga kami.

Hjh Maria punya kisah yang menarik apabila memeluk Islam lebih 20 tahun lalu. Rapatnya saya dengan mereka kerana Hjh Maria satu ketika dulu rajin mengikuti kelas Teratak Fitrah dimana saya salah seorang gurunya.

Dua anak mereka Fairuz dan Sazlee juga pernah mengaji al-Quran dengan saya ketika bertugas di Masjid Negeri Sabah satu ketika dahulu.

Rumah terakhir kami berkunjung ialah Cikgu Hashim Harun di Taman Sempelang yang bertugas di SMK Sanzac. Cikgu Hashim juga adalah ahli kumpulan kami dalam program kursus pemantapan aqidah kelolaan sahabat bible dalam PUM.

IMG_8555

IMG_8562

IMG_8570

IMG_8575

IMG_8577

IMG_8583

Sonia berbaju hijau tidak bertudung, sementara abangnya Salim yang terbaring. Dua lagi yang berdiri adalah rakan karib Sonia di MRSM.

IMG_8552

Pagi raya kedua kami menerima tetamu istimewa. Puan Sumayyah bersama dua anaknya Nurul Zinnirah Faizal (5 tahun) dan Ahmad Yasin Faizal (4 tahun).

Sumayyah orang Rhu Rendang Terengganu berkahwin dengan Faizal orang Membakut Sabah. Sumayyah pernah bertugas di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur Taman Austral satu ketika dulu.

Sumayyah sebenarnya adalah anak kemenakan kepada Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Ibu Sumayyah adalah adik kepada tuan guru.

Katanya, anak keduanya Ahmad Yasin itu diberi nama oleh Ayah Chik, gelaran masyarakat di sana kepada tuan guru. Ahmad Yasin adalah nama seorang tokoh pejuang di bumi Palestin yang mati syahid beberapa tahun lalu.

Sebelum ini mereka berhijrah ke Semenanjung dan mereka kembali ke Sabah sebulan lalu.

%d bloggers like this: