show_image_in_imgtag

Kira-kira 150 orang hadir dalam Program Qiyamullail Perdana sempena 27 Ramadhan yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS Negeri Sabah dengan kerjasama Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan awal pagi semalam.

Ketua Dewan Ulama Negeri, Ust Nuruddin Ibrahim yang hadir sama dalam majlis berkenaan menjelaskan, kehadiran diluar jangkaan penganjur menunjukkan bahawa kesedaran umat Islam untuk menyertai program sedemikian adalah satu perkembangan yang sangat baik.

“Kita hanya mensasarkan kehadiran sekitar 30 orang, memandangkan khamis adalah hari bekerja, dan sesetengah orang telah kembali ke kampung halaman masing-masing”.

Dalam masa yang sama, program-program qiyamullail semakin mendapat tempat di masjid-masjid utama di ibu negeri ini.

Antara masjid yang mengadakan qiyamullail  menjelang 10 malam terakhir ialah Masjid Negeri Sabah, Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Jamek Kg Likas dan beberapa masjid lain.

Program qiyamullail perdana berkenaan dipimpin oleh pendakwah terkenal Dr Badrul Amin Baharon yang berasal dari Tawau Sabah. Beliau dalam persinggahan ke Kota Kinabalu sebelum ke Tawau untuk bercuti hari raya.

Dalam tazkirah ringkas selepas solat subuh, Dr Badrul Amin menekankan keperluan umat Islam untuk mengisi malam-malam terakhir Ramadhan dengan amal ibadah khususnya memohon keampunan Allah SWT terhadap segala dosa yang dilakukan.

Beliau juga menggesa umat Islam agar merenung kembali kehidupan masing-masing dan bersedia untuk berubah, memperbaiki diri, menggiatkan lagi aktiviti kuliah dan ceramah untuk memantapkan kefahaman Islam dalam diri masing-masing bagi menegakkan Islam yang syumul di negara yang tercinta ini.

Katanya di Sabah khususnya masih banyak fahaman-fahaman dan adat-adat khurafat yang perlu diperbetulkan, dan itu memerlukan kerjasama semua pihak khususnya para pendakwah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru dan pendakwah khususnya yang datang dari semenanjung dan lain-lain tempat untuk membantu menyampaikan risalah Islam sama ada di sekolah atau di masjid dan surau.

Sementara itu, tinjauan ringkas mendapati jamaah yang hadir begitu teruja dengan bimbingan solat sunnat dan zikir munajat yang dipimpin oleh Dr Badrul Amin yang sememangnya dikenali di pelusuk tanahair sering memimpin majlis qiyamulail.

Salim Karim yang datang dari Papar sejauh 40km menjelaskan beliau bersama keluarga begitu teruja dengan pimpinan Dr Badrul Amin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Dewan Ulama dan Masjid al-Hilal yang menganjurkan program seumpama ini.

“Walaupun qiyamulail boleh diadakan di rumah atau masjid berdekatan rumah, kesempatan hadir bersama pendakwah yang terkenal ini tidak sepatutnya dilepaskan”.

Cikgu Adiah Mustafa dari Penampang pula menyatakan kesyukurannya setelah lebih 10 tahun menanti untuk menyertai qiyamullail bersama tokoh yang dihormatinya.

Untuk rekod, masjid ini adalah tapak asal satu-satunya tempat cerapan anak bulan di Sabah.

Tempat cerapan itu kemudiannya didirikan masjid dan diberi namanya Masjid al-Hilal (anak bulan) yang diasaskan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah yang ketika itu bertugas sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Sabah (MUIS).

Kini bersebelahan dengan masjid ini, tersergam indah bangunan Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah yang dikendalikan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah. Ia dirasmikan pada akhir 2007 oleh Tun Ahmadshah sendiri.