IMG_7678

Bagi penggemar solat tarawih ekspress di Kota Kinabalu, sudah pasti mengetahui akan keekspresan tarawih di Masjid al-Kauthar, Kg Tg Aru Kota Kinabalu.

Ada ramai jenis ma’mum tarawih seperti saya yang suka meronda dan bertukar-tukar lokasi dari satu surau ke satu masjid pada setiap malam.

Ada masjid yang mengekalkan bacaan sejuzu setiap malam, ada yang setengah juzu setiap malam. Ada tarawih yang kekal meriah sehingga ke hujung Ramadhan, sementara kebanyakannya pula semakin maju ke hadapan.

Sejak 5-6 tahun lalu (setahu saya – mungkin lebih lama daripada itu), Masjid al-Kauthar Kg Tg Aru terkenal dengan tarawih ekspressnya.

Sebagaimana ramai orang hendak tenang dan relaks dalam bertarawih, tidak kurang juga yang minat dengan tarawih ekspress sebegitu. Imam champion, kata mereka.

Demikian Allah SWT menjadikan sifat manusia yang suka cepat dan segera. Di jalanraya bawa kereta cepat, ceramah hendak cepat (habis), solat hendak cepat (selesai), sehingga ada makanan yang namanya mi segera.

Solat isyak didirikan sekitar 7.35 lebih kurang, dan pada 7.58 imam sudah menyelesaikan tarawih 8 rakaat. Pada 8.18 malam, solat tarawih sudah selesai (sempurna?) dan menjelang 8.30 malam, jamaah sudah bersalam-salaman sebelum pulang ke rumah.

Puratanya 3 minit untuk 2 rakaat satu salam.

Teman saya yang pertama kali ke sana, betul-betul tidak puas hati.

“Imam tu ada kursuskah?”

Manakan tidak, kita baru rukuk, imam sudah sujud. Kita baru sujud, imam sudah sujud kedua. Kita baru  duduk antara dua sujud, imam sudah tahiyyat akhir. Kita baru bagi salam, imam sudah baca fatihah.

Saya yakin, bahagian berkenaan di JHEAINS mengetahui suasana tarawih di masjid berkenaan. Apabila saya menoleh selepas salam, saya ternampak pengerusi MUIS ada di belakang. Mungkin beliau ada pendapat sendiri tentang tarawih ekspress itu.

Perkara ini sudah berlarutan sekian lama, masihkah kita mengekalkan budaya tarawih laju sehingga meninggalkan ketenangan beribadah, ma’mum pula dipaksa melajukan fatihah sehingga tunggang langgang bacaannya, mengejar pergerakan imam.

Saya yakin, suasana sebegitu bukan hanya di masjid ini tetapi masih banyak lagi berlaku di tempat lain juga.

Bagi saya, itu bukan solat tarawih, itu main kejar mengejar namanya.

………

Terima kasih SMS ucapan hari raya.

Tuan Imam Sidin @ Masdin Saibin (Kg Tamau Kota Belud), Ust Hj Abdullah Din (Padang Terap, Kedah), Ust Md Khairul AnwarMd Yusob (Pekan Nabalu, Kundasang), Pakcik Onn & Family (Taman Layangan WP Labuan) dan Md Hussien Zakaria (Petagas, Putatan).

SMS yang diterima akan disiarkan di dalam blog ini.