P8150020

1) Semalam, bersama seorang sahabat kami bersolat tarawih di sebuah masjid terkemuka di Kota Kinabalu. Secara keseluruhannya, bacaan imam dan salawat pimpinan bilal sangat menenangkan sekali.

Masuk ke masjid menjelang iqamah dilaungkan, ketika itu saya didahului oleh seseorang yang amat dikenali.

Saya teringat kisah lapan tahun lalu, ketika saya dikritik hebat menjadi imam tarawih di sebuah lagi masjid terkemuka di Kota Kinabalu. Puncanya, kerana ada dakwan jamaah saya memimpin terlalu laju.

Tidak apalah akan teguran itu, sedangkan saya baru berumur 22 tahun terlalu perlukan teguran dan nasihat. Seseorang memerli saya dengan berkata : “Budak semenanjung mana jadi imam tu?”

Saya bukan orang semenanjung. Tapi perlian itu macam dia bencikan orang semenanjung. Dia pula orang Sabah tetapi kini selalu terbang ke semenanjung untuk menghadiri mesyuarat di Dewan Rakyat.

Tersempak dengannya semalam, mengembalikan memori itu.

2) Keluar dari bangunan masjid, saya ternanti-nanti sahabat saya. Sebelumnya saya sudah melihat kelibatnya keluar tetapi dia masuk semula.

Masuk kereta saya bertanya kenapa masuk masjid semula? Katanya dia teringat akan pesanan dan isi ceramah saya supaya rajin bersedekah dalam bulan Ramadhan.

Terkena saya kerana saya sendiri lupa bersedekah.

Sahabat saya ini hanya seorang penghantar surat. Katanya sepanjang Ramadhan dia bersedekah seringgit setiap malam, dan menjelang 10 terakhir ini sedekahnya dinaikkan kepada dua ringgit.

Apa pun saya bersyukur kerana ada orang yang mengambil cadangan saya sebagai amalannya. Mudah-mudahan Allah memberi komisyen kepada saya atas amal baik sahabat saya itu.

Sementara sahabat saya bersedekah dengan duit, saya bersedekah dengan ucapan yang baik.

3) Seterusnya kami ke sebuah pasaraya di Putatan. Ada barang keperluan hendak dibeli. Keluar pulang, saya bertembung dengan seseorang penjawat awam berstatus ustaz yang namanya sedang meningkat naik.

Suaranya sering kedengaran di corong radio Sabah FM, khususnya selesai azan subuh dan zuhur setiap hari. Saya acah dia yang segak lengkap berbaju melayu : “Bila mau naik jadi pengarah?”

“Sehari lagi”, jawabnya. Menjelang esok atau lusa dia akan diangkat sebagai pengarah JASA yang baru. Katanya dia melepasi interview tempohari. Sebelum ini timbalan pengarah kami juga diura-urakan akan ke sana.

Semasa di Mesir dahulu, saya pernah melihat biliknya dipenuhi dengan kaset-kaset ceramah Anwar Ibrahim, Dr Haron Din dan ramai penceramah lain. Entah dia memang mendengar atau sekadar memerangkap kami.

Walaupun hubungan itu kekal baik dan mesra  sehingga kini atas hubungan pernah bersama-sama di bumi Mesir, kami tetap berhati-hati dengannya kerana cakap-cakap tentang dirinya terlalu banyak.

Kalau betul dia jadi naik, harapnya dia memegang amanah itu dengan jujur dan tulus.