Archive for 14 September 2009


SOLAT WITIR

1) Dinamakan witir (ganjil) kerana ia diakhiri dengan satu rakaat, berbeza dengan solat-solat yang lain.

2) Solat witir adalah salah satu solat sunnat yang muakkad, yang terikat dengan waktu. Ulama’ Hanafi pula berpendapat witir hukumnya wajib.

3) Waktu mendirikannya ialah selepas solat isyak dan berakhir dengan terbit fajar. Yang paling afdhal ialah melewatkannya sehingga ke akhir solat malam.

Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dengan satu solat yang lebih baik bagi kamu berbanding harta yang banyak, iaitu solat witir. Dirikanlah di antara solat isyak sehingga terbit fajar” (HR Abu Daud, Ibnu Majah & at-Tirmizi)

4) Keadaan itu dilakukan sekiranya seseorang itu mengharapkan dapat bangun pada akhir malam. Jika dibimbangi tidak dapat bangun, maka dirikanlah witir selepas solat isyak dan sunnat ba’diyah isyak.

5) Sekurang-kurang witir ialah satu rakaat tetapi makruh melakukan dengan bilangan tersebut. Sekurang-kurang rakaat yang sempurna ialah 3 rakaat dengan didirikan 2 rakaat kemudian 1 rakaat.

6) Jumlah paling sempurna ialah 11 rakaat dengan memberi salam pada setiap dua rakaat. Kemudian diakhiri dengan satu rakaat.

7) Witir dalam bulan Ramadhan disunnatkan dengan berjamaah.

8 ) Sunnat bagi yang witir 3 rakaat agar membaca surah al-`A’la pada rakaat pertama, surah al-Kafirun pada rakaat kedua, dan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas pada rakaat ketiga.

9) Menurut mazhab Hanafi dan Hambali, disunnatkan membaca doa qunut dalam solat witir. Ulama’ Syafiiyyah pula menghukumkan sunnat berqunut dalam solat witir pada separuh akhir Ramadhan.

10) Sekiranya solat witir sudah dilakukan pada awal malam, dan kemudian bangun lagi pada akhir malam untuk mendirikan solat sunnat lain, maka tidak perlu lagi mendirikan witir dihujungnya kerana Nabi SAW memerintahkan witir hanya dilakukan sekali sahaja pada setiap malam.

11) Sunnat setelah solat witir membaca : “Subhanal Malikil Quddus” sebanyak 3 kali, dan berdoa sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali :

“‏اللَّهُمَّ إني أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وأعُوذُ بِمُعافاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وأعُوذُ بِكَ لا أُحْصِي ثَناءً عَلَيْكَ أَنْتَ كما أثْنَيْتَ على نَفْسِك‏”

“Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan ridhaMu daripada murkaMu, berlindung dengan kesejahteraanMu daripada siksaMu, berlindung denganMu, aku tidak dapat menghitung berapa banyak pujian untukMu sebagaimana Engkau memuji dirimu sendiri”

Rujukan :

Fiqh al-Manhaji (Fiqh Imam asy-Syafii),  Solat 4 Mazhab, al-Azkar & Fathul Mu’in.

IMG_8276

Datuk Ismail berkopiah kelabu

Sebenarnya apabila dijemput hadir dan mengisi program dalam majlis mereka sabtu lalu di Wisma MUIS, tidak jelas adakah terdapat tazkirah untuk mereka yang hadir.

Semahunya, saya ingin mengisi program dengan sedikit santapan rohani, bukan semata-mata jasmani dengan jamuan berbuka dan moreh saja.

Saya sendiri hadir kira-kira 10 minit menjelang maghrib, sementara warga SPANS belum begitu ramai. Sesudah maghrib pula mereka merancang makan berat. Fikir saya, bilakah tazkirah akan diadakan.

Ketika makan, banyak yang dibualkan khususnya bersama Pengerusi SPANS Datuk Hj Ismail Ag Besar yang sudah saya kenali sejak zaman sekolah lagi.

Secara umumnya beliau banyak membantu saya khususnya dalam perkhidmatan awam dan juga memberi nasihat dan perangsang dalam mengadakan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan. Beliau juga sering memberi sumbangan dalam bentuk kewangan dan material dalam program yang kami diadakan.

Beliau ada menceritakan kurang senangnya dalam satu majlis berbuka puasa di tempat lain sebelum kami bertemu malam itu, kerana di dalam majlis tersebut tiada tazkirah.

Itu satu peluang baik saya mencari ruang menyampaikan tazkirah.

Beliau juga jujur bercerita tentang keadaan masjid negeri kini serta cabaran-cabaran yang berlaku. Beliau adalah pengerusi JK masjid sejak 4-5 tahun lalu.

Saya tidak berhasrat menceritakan itu semua melainkan beliau mengharapkan pentadbiran masjid bangkit dengan aktiviti yang rancak seperti mana zaman Ust Nahar memimpin dahulu.

Beliau mengakui kesuraman itu kini.

Selesai solat isyak, tarawih dan witir, saya mengambil masa untuk menyampaikan tazkirah selama 10 minit.

Majlis berakhir dengan jamuan moreh sekitar 9.15 malam. Kami turun bersama dan beliau menceritakan beberapa harapannya terhadap saya.

Adalah.

%d bloggers like this: