IMG_1042

Banyak soalan-soalan yang tertangguh jawapannya. Ada soalan melalui SMS dan blog ini. Saya kumpulkan dan catatkan jawapannya secara ringkas sahaja dalam satu posting.

Kalau ada soalan lagi, saya akan kumpul dan jawab dengan cara begini.

Untuk pengetahuan, semua jawapan dirujuk kepada para tuan guru serta rakan-rakan yang ahli dalam bidang masing-masing dan ada sedikit rujukan kepada kitab-kitab. Wallahu a’lam.

1. Daripada Umie. Kalau orang tua kita masih ada, lepas tu kita nak bayar zakat sendiri kepadanya, boleh tak?

Jawapan : Tidak boleh. Antara syarat kelayakan penerima zakat ialah, ia bukan menjadi kewajiban pengeluar zakat untuk memberikan nafkah kepadanya. Dalam erti kata lain, penerima bukan berada di bawah tanggungan pengeluar zakat.

Contohnya ibu bapa, datuk nenek dan ke seterusnya atas, atau kepada anak-anak, cucu dan seterusnya ke bawah. Wallahu a’lam.

2. Daripada Umie. Assalamualaikum. Ustaz kalau kita bayarkan zakat untuk orang tua kita bolehkah?

Jawapan : Boleh. Bahkan itulah sebaik-baiknya, tambahan pula kalau kita sudah mempunyai pendapatan sendiri. Ini juga salah satu bentuk kita berbakti kepada mereka. Wallahu a’lam.

3. Daripada PP. Ada orang bertanya, perempuan selagi ia belum berkahwin dosanya akan ditanggung oleh bapanya. Betul ka? Atau kedua-duanya akan sama-sama berdosa?

Jawapan : Apabila seseorang sudah mencapai umur aqil baligh, ia menanggung dosa dan pahalanya sendiri. Seseorang tidak akan menanggung dosa orang lain.

Walaubagaimanapun, kalau ia melakukan kebaikan atau kejahatan kemudian diikuti oleh orang lain, maka ia mendapat sahamnya, sedikit pun tidak berkurang. Wallahu a’lam.

4. Daripada Babu Ika. Benarkah orang yang meninggal dunia dalam bulan Ramadhan diringankan siksaan kubur?

Jawapan : Saya merujuk kepada Tuan Guru Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan baru mendengar kuliah Dato’ Ismail Kamus beberapa hari lepas, bahawa benar, meninggal dunia dalam bulan Ramadhan akan diringankan siksaan kubur, seperti orang yang meninggal pada hari jumaat. Wallahu a’lam.

5. Daripada Aina Najwa. Saya ingin bertanya akan hukum menyimpan anak patung di dalam rumah. Benarkah malaikat rahmat tidak akan masuk ke rumah kita? Bolehkah ustaz sertakan hadis atau firman yang melarang kita menyimpan anak patung di dalam rumah.

Jawapan : Hadith Nabi SAW : “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan patung”.

Patung yang dilarang disimpan di dalam rumah ialah patung yang bentuknya dimuliakan. Kalau sekiranya dibuat permainan anak-anak, dipeluk ditendang dan sebagainya, itu tidak mengapa. Wallahu a’lam.

6. Daripada Comot. Saya lahirkan anak yang berusia 26 minggu 5 hari. Tapi anak saya meninggal sebab paru-paru tak kuat. Tapi semasa dilahirkan dia hidup lagi dan saya sempat memegang anak saya. Soalan saya.. adakah anak saya tu dikategorikan gugur?

Jawapan : Istilah gugur ialah kelahiran yang kurang 6 bulan. Anak puan tidak termasuk dalam kategori itu tambahan lagi semasa dilahirkan ia hidup. Keguguran ertinya bayi sudah meninggal dunia semasa dilahirnya.

Jadi hukum pengurusan janazahnya adalah seperti orang dewasa. Wallahu a’lam.

7. Daripada Syamsinar Jamarudi. Saya hamil pada bulan Ramadhan dan mengalami alahan teruk menyebabkan saya tidak dapat berpuasa.

Saya kemudian ingin menggantikannya tetapi masalah-masalah kehamilan terus berlaku dan saya tidak dapat menggantikannya. Ramadhan seterusnya saya menyusukan bayi pula dan tidak dapat menggantikannya juga.

Saya tahu fidyah wajib dibayar tetapi bagaimana dengan puasa, adakah puasa itu boleh dibayar bila-bila masa tanpa menunggu Ramadhan seterusnya (apabila sudah tidak hamil dan berhenti menyusukan) atau wajib menggantikannya sebelum Ramadhan berikutnya?

Berkenaan fidyah, di manakah harus saya membayarnya kerana saya diusul mencari fakir miskin tetapi usaha saya dan suami tidak berhasil.

Jawapan : Hukum orang yang tidak berpuasa kerana mengandung dan menyusukan anak terbahagi kepada dua.

Kalau ia tidak berpuasa kerana bimbangkan dirinya, ia wajib qadha sahaja. Jika ia tidak berpuasa kerana bimbangkan anak yang dikandung atau disusukan, maka ia wajib qadha dan fidyah.

Puasa fardhu wajib diqadha dengan segera. Jika terlambat qadha puasa dengan sengaja sehingga masuk Ramadhan berikutnya, maka wajib bayar fidyah. 

Jika puan berhalangan mengqadha puasa akibat masalah alahan yang teruk sepanjang setahun, puan wajib mengqadhanya apabila sudah sihat walaupun sudah melewati Ramadhan berikutnya.

Berdasarkan kes tadi, puan waijb qadha puasa, wajib fidyah kerana menyusukan bayi (jika tidak puasa kerana bayi) dan tidak wajib fidyah kerana terlewat qadha. Ini kerana puan bukan sengaja melewatkan qadha tetapi kerana sakit.

Masalah tempat membayar fidyah, boleh dirujuk kepada pusat zakat atau baitulmal terdekat untuk mendapatkan informasi. Wallahu a’lam.