Archive for 7 September 2009


PASTI AL-FURQAN, KINARUT

IMG_8082

Ketika hadir dalam Majlis Khatam al-Quran dan Berbuka Puasa di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Furqan Taman Pantai Lok Kawi semalam, ada beberapa perkara yang menarik minat dan perhatian saya.

1. PASTI ini dibuka pada 2005 dengan jumlah pelajar pertama seramai 9 orang, beryurankan RM50, dua orang guru dan sewa rumah RM500.

2. Sesudah memasuki tahun kelima penubuhan, jumlah pelajar PASTI kini meningkat kepada 32 orang.

3. Pada 2006, PASTI al-Furqan mengorak langkah dengan membuka kelas al-Quran dan JQAF pada sebelah  malam. Jumlah yuran yang dikenakan diantara RM10 hingga RM30 mengikut kategori.

4. Jumlah terkini pelajar malam adalah seramai 118 orang yang datang dari sekitar taman dan luar kawasan seperti dari Taman Teluk Villa Putatan dan Beringgis Papar. Tenaga pengajar pula seramai lima orang.

5. Dalam majlis yang diadakan semalam, 13 pelajar diraikan dalam majlis khatam al-Quran. Mereka adalah antara penuntut awal kelas al-Quran pada sebelah malam.

6. Antara guru al-Quran yang sangat dedikasi ialah Ust Mahari Abu Bakar. Beliau datang dari rumahnya di Likas menuju ke Kinarut dengan jarak lebih 20km setiap malam kelas diadakan pada isnin hingga khamis.

7. Dalam dialog terbuka bersama ibu bapa, ada permintaan pula untuk kelas al-Quran bagi orang dewasa. Pihak PASTI membuka ruang untuk mereka belajar bersama.

8. Sejak awal tahun ini pula, PASTI membuka kelas untuk muallaf @ saudara kita yang diadakan pada setiap hujung minggu. Mereka didedahkan dengan bacaan al-Quran mulai asas dan pengajian fardhu ain.

9. Saya menjangkakan dalam tempoh sederhana, dengan izin Allah PASTI al-Furqan akan menjadi pusat sehenti pendidikan Islam mulai kanak-kanak sehingga dewasa termasuk yang baru memeluk Islam, khususnya bagi penduduk taman dan sekitarnya. PASTI ini akan menjadi sebutan dan lokasi penting di sini.

10. Saya mencadangkan pengurusan PASTI al-Furqan terus meneroka pendekatan-pendekatan baru untuk menarik minat masyarakat terhadap pendidikan Islam.

Tahniah Cikgu Hameed, Ust Zainuddin, Ust Wan Zaidel, Ust Mahari, Cikgu Norlaila, Cikgu Rismah, Ustazah Mukminah serta semua yang terlibat sejak mula sehingga saat ini. Insya Allah ada ganjaran di sisiNya.

IMG_8033

IMG_8035

IMG_8037

IMG_8063

IMG_8069

IMG_8071

Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di Facebook

Sumber : http://www.bharian.com.my/

IA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka.

Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.

Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.

Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook.

Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.

Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.

Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa ‘perang suci’ Kristian-Islam semakin ketara.

Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu.

Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.

Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.

Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya.

Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.

Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka.

Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.

“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.

Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.

“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.

Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim.

Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.

Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya?

Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.

“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.

IMG_8031

Sepanjang 29 Ogos hingga 20 Sept 2009, sebuah kapal besar dari Amerika berlabuh di Kota Kinabalu. Khabarnya, mereka meronda dan melakukan persinggahan di seluruh dunia.

Ketika singgah di satu destinasi, orang awam dipelawa masuk melihat pameran serta jualan buku yang ada di dalamnya.

Pekerja kapal pula kelihatan dari seluruh dunia berdasarkan tanda nama di baju mereka. Ada dari Korea Selatan, Thailand, Filipina dan lain-lain.

Saya bersama Che’gu Jamil sempat membuat tinjauan dan masuk sendiri ke dalam kapal berkenaan. Kami menyertai orang yang berpusu-pusu masuk, termasuk juga ramai orang Islam.

Pengunjung yang tiba akan disambut dan disapa dengan ucapan selamat datang oleh petugas-petugas kapal.

Di atas, pengunjung boleh melihat pameran bergambar sejarah dan perjalanan kapal ini merentas benua, bermain pelbagai alat muzik serta mencuba pakaian dan fesyen budaya seluruh dunia. Juga ada tayangan video perjalanan mereka di satu ruang khas.

Masuk sahaja di ruang galeri buku, antara buku pertama yang dipamer dan dijual ialah bible bahasa inggeris dengan harga rm16 setiap satu. Ada ruang buku komik kanak-kanak berteraskan kisah-kisah kristian.

Gerakan misionary mereka juga kami perhati agak jelas apabila terdapat segmen untuk buku-buku bahasa, terselit juga di sana buku agama kristian.

Mungkin ada yang berpandangan itu untuk kemudahan mereka yang beragama kristian, Allah Maha Mengetahui niat dan tujuan mereka.

Ketika pelanggan berbaris untuk melakukan pembayaran di kaunter, terdapat pula buku atau risalah poket, antara lain bertajuk jesus. Secara jelas, ia menarik perhatian pelanggan yang beratur untuk membeleknya.

Saya hanya berdoa agar orang Islam yang datang dikukuhkan iman mereka, sekadar datang untuk membeli bahan bacaan yang berfaedah atau sekadar melihat sebuah kapal besar yang berlabuh.

Sambil tidak menafikan banyak bahan bacaan yang bermanfaat, umat Islam yang berkunjung tetap perlu berhati-hati, khususnya terhadap anak-anak.

IMG_7974

IMG_7975

IMG_7979

IMG_7988

IMG_8004

IMG_8018

IMG_8021

%d bloggers like this: