Bencinya kepada Islam bukan kepalang.

Pernah satu ketika kakaknya memeluk Islam, habis dibelasahnya sehingga si kakak menerima 40 jahitan di kepala.

Siapa masih ingat tragedi kepala babi diletak di Masjid Negeri Sabah pada awal 90an dahulu (betulkan tarikh & fakta jika tersilap). Lelaki inilah orangnya yang sanggup membeli kepala babi di pasar dan meletakkannya di Masjid Negeri.

Itu cerita 20 tahun dahulu.

Pagi rabu lepas, seorang lelaki berumur 45 tahun melarikan diri dari Penampang. Selama ini dia hidup di bawah tanggungan abangnya yang memang kuat agama.

Dia keluar dengan sedikit duit yang dikumpulnya. Katanya, dia tidak menerima sesen gaji pun hasil kerjanya di gereja. Apa yang diperolehinya hanyalah lebihan duit yang diberikan abangnya jika dia perlu membeli baju. Itu pun bukan banyak.

Dia menumpang lori menuju ke KK. Akhirnya dia berhenti dan turun di Sembulan. Dia kemudiannya ke Wisma MUIS. Di sana beliau bertemu dengan seseorang bertanya bagaimana cara masuk Islam.

Orang yang ditanyanya bukanlah orang yang ahli. Kata orang itu, hendak masuk Islam mesti dengan kebenaran abangnya yang menjaganya, sedangkan dia sudah berumur 45 tahun, bukannya berada di bawah umur.

Mendengar penjelasan itu, dia tidak jadi naik ke Wisma MUIS. Akhirnya dia berjalan kaki ke arah Putatan sehingga sampai ke Ketiau menjelang tengahari (dengan jarak kira-kira 15km). Tujuannya hanya mencari siapa yang boleh mengislamkannya.

Di sana dia bertemu sahabat saya, yang menceritakan kisah ini kepada saya kemudiannya. Kedua-dua mereka bertemu dalam keadaan mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain.

“Adakah Islam percaya injil?” Soalnya. Sahabat saya ini terkedu. Dia sendiri seorang muallaf.

“Eh, mestilah percaya. Sebab orang Islam mesti beriman dengan semua kitab-kitab”.

“Boleh Islamkan saya?”

“Kita cari imam atau pegawai agama”.

Mereka berdua menguruskan apa yang patut. Pergi semula ke Wisma MUIS dan membuat surat sumpah, kemudian ke JHEAINS Putatan.

“Hari tu, saya mimpi aneh. Tiga malam berturut-turut. Saya mimpi seorang yang berjubah dan berserban datang. Saya tanya dia, apa agama yang benar?

“Lelaki dalam mimpi itu bagitau tentang Islam. Hati saya tidak senang sehingga sekarang. Saya tidak tahu apa jadi esok. Jadi tolong Islamkan saya hari ini juga”.

Di JHEAINS Putatan, dia diislamkan. Nama Muhammad menjadi pilihan.

Malam itu, dia menumpang tidur di rumah sahabat saya. Dia membawa Muhammad solat tarawih di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang. Diberinya sepersalinan pakaian untuk solat.

Diajarnya tentang wudhu’ dan mereka ikut serta solat tarawih.

Selesai solat, Muhammad memberitahu dia sudah hafal 4 ayat daripada bacaan orang di hadapan itu. Dia tidak tahu orang yang bersuara nyaring itu dipanggil imam, sementara bacaan yang berulang-ulang itu adalah surah al-Fatihah.

Muhammad bercerita, ketika dia ditangkap di masjid hampir 20 tahun lalu, orang di sana tidak memukulnya. Mereka hanya menangkap dan menyerahkan kepada pihak berkuasa.

Esoknya, Muhammad meneruskan perjalanan.

Dia hendak mencari kakaknya. Dia hendak meminta ampun kerana telah memukulnya satu ketika dulu. Dia ingin belajar agama yang baru dianutinya ini.

Sahabat saya tadi menghantar ke stesen bas. Dia menghulurkan sedikit wang. Dia juga menitipkan sekeping kertas bertulis nama dan nombor telefonnya. Pesannya agar Muhammad menelefonnya nanti sesudah tiba di destinasi barunya.

Sehingga kini, Muhammad belum menghubunginya.