IMG_6915

Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah dan beberapa NGO Islam di Sabah seperti Yayasan Amal Malaysia (AMAL) dan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) mengalu-alukan sumbangan beras daripada masyarakat berkemampuan yang akan diserahkan kepada fakir miskin.

Urusetia program, Che’gu Jamil Dayan sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang yang memberikan 206 kampit beras, beliau juga menjelaskan bahawa sebahagian besarnya telah diterima dan diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan.

Antara masyarakat yang telah menerima bantuan berkenaan ialah beberapa penduduk di Kg Damai, Kg Bukit Lalang, Kg Terorom di Kota Marudu; Kg Lobou, Kg Keliangau, Kg Kebayau dan Kg Kebagu (semuanya di Kota Kinabalu).

Antara objektif program ini ialah bagi memberi kemudahan  kepada umat Islam untuk bersedekah, membayar fidyah, nazar, niat, hajat, kafarah dan sebagainya.

Selain itu, ia juga menggalakkan para muslimin banyak bersedekah kepada fakir miskin khususnya semasa bulan Ramadhan yang mulia ini.

Chegu Jamil juga menjelaskan, ini adalah sebahagian pendekatan dakwah bilhal dengan mengagihkan barangan terus kepada sasaran yang berhak menerima dan memerlukan sedekah, fidyah dan sebagainya.

Walaupun telah menerima dan mengagihkan lebih 200 kampit dengan 2060 kg beras melalui 16 penyumbang, pihaknya masih kekurangan sumbangan lagi bagi disampaikan kepada masyarakat.

Sebarang keterangan boleh menghubungi beliau melalui 013-8517282, atau terus ke blog ini untuk pertanyaan.