IMG_7608

Malam ini saya bertarawih di Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan.

Saya tidak bermasalah dengan solat yang dipimpin oleh Ust Hj Mohammad Ibrahim dengan bacaannya yang baik, tidak laju atau terlalu perlahan. Jamaah juga masih ramai, khususnya pada 8 rakaat terawal.

Masjid dilimpahi ma’mum, sehingga saya sendiri berada di hujung tangga.

Komen saya bukan untuk masjid ini tetapi secara umum khususnya dalam masalah solat tarawih ini di dalam masyarakat kita.

1) Solat tarawih dilaksanakan dua-dua rakaat. Setiap dua rakaatnya adalah bersendirian. Oleh itu, bacaan doa iftitah masih disunnatkan setiap kali selepas takbiratul ihram.

Ada yang menganggap dan mengamalkan doa iftitah hanya pada rakaat yang pertama permulaan solat tarawih. Apabila memulakan solat baru pada rakaat 3, 5, 7 dan seterusnya, tiada lagi doa iftitah. Sebenarnya, doa iftitah tetap disyariatkan secara sunnat.

Kalau ada yang menganggap doa iftitah itu panjang dan melambatkan, ada pilihan lain. Dalam hadith-hadith Nabi SAW terdapat banyak senarai doa iftitah yang dibaca oleh baginda. Ada pendek dan ada panjang. Sebaiknya jangan diabaikan.

2) Saf tidak rapat merupakan antara masalah dalam solat tarawih di tempat kita. Saya menganjurkan agar para imam mengingatkan jamaah sebelum memulakan solat agar melurus dan merapatkan saf.

Ada masjid yang mempunyai sajadah-sajadah besar sehingga ma’mum yang jahil menganggap satu sajadah satu orang. Ada pula yang terpisah saf kerana ingin dekat dengan kipas dan sebagainya. Maklumlah apabila ramai jamaah, suasana panas terasa.

Tambah lagi selepas selesai 8 rakaat, sebahagian jamaah balik. Saf menjadi celaru dan kelam kabut tambahan imam terus mengangkat takbiratul ihram.

Imam sepatutnya menenangkan jamaah seketika dan mengingatkan ma’mumnya sekali lagi agar memenuhi saf yang lebih hadapan serta merapatkan saf semula.

3) Antara ciri bacaan fatihah (dan surah-surah lain) yang paling baik ialah waqaf pada penghujung ayatnya.

Menyambung-nyambung ayat dalam al-Fatihah tidak salah selagi betul tajwidnya. Bahkan kalau ada yang mampu dengan sekali nafas pun tidak mengapa.

Ketika saya bertalaqqi dengan Syaikh Muhammad Abdun Nabiy di Shoubra dahulu, beliau melarang saya menyambung pada hujung ayat yang sepatutnya waqaf. Membaca al-Quran mengikut Nabi SAW kata syaikh, berhenti waqaf pada tempatnya mendapat pahala.

Mad `Aaridh Lissukun boleh dibaca dengan 2, 4 atau 6 harakat. Kalau hendak laju sedikit, ambillah 2 harakat secara konsisten sehingga ke akhirnya.

4) Seperti bacaan doa iftitah, solawat ke atas keluarga Nabi SAW tetap disunnatkan ketika duduk tahiyyat akhir. Selesai bacaan tasyahhud dan solawat ke atas Nabi, tambahkan lagi solawat keatas keluarga baginda.

Ramai orang hendak meninggalkan atau meringkaskan ibadah yang telah mereka lakukan sebelum Ramadhan. Apabila masuk Ramadhan, mereka tinggalkan pula.

5) Seorang jamaah di sebuah surau datang  mengadu ke pejabat tentang gelagat imam yang laju memimpin tarawih. Ramai ma’mum tidak berkesempatan menghabiskan fatihah, bacaan ruku’ dan sujud.

Segan menegur imam berkenaan kerana merasakan mereka tidak berkelayakan. Nanti bermasam muka pula dalam bulan mulia ini. Saya cadangkan bertemu secara 4 mata dan diluahkan hati ke hati.

Imam laju-laju, hendak kejar apa?